Sunday, July 26, 2009

BANGSAKU MELAYU

Rasanya semua rakyat Malaysia berbangsa Melayu patut membaca tulisan mantan PM Tun Dr Mahathir dalam blog beliau kaki dalam kasut dan juga tulisan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sahabat lama saya di UKM dahulu. Saya ulangi patut membaca kerana ianya sudah tertulis dan tersiar dalam blog. Tulisan Dr Mohd Ridhuan Tee juga telah tersiar dalam akhbar utama negara Utusan Malaysia. Apakah kata-kata saya 'patut membaca' (belum membuat apa-apa komen atau ulasan) sudah boleh dianggap rasis. Mungkin malah dibolehkan oleh orang-orang tertentu membaca toeri komunisme, Marxis atau Leninis atas alasan mental atau academic exercise dan untuk mempelajari cara berfikir kononnya pemikir dunia yang akhirnya boleh membentuk negara dan mengeksport ideologi ke seluruh dunia bagi menentang sesuatu golongan atau kelas dalam masyarakat. Oleh kerana tidak ada salahnya membaca maka bolehlah kita membahaskan apa yang dibaca.

Orang Melayu sudah terlalu lama dan banyak berkorban. Orang Melayu berkorban untuk apa dan siapa? Adakah orang Melayu berkorban kerana mereka sedar mereka tidak mampu memerintah negara sewaktu menjelang kemerdekaan? Adakah orang Melayu berkorban kerana mereka menyedari mereka lemah? Orang Melayu berkorban kerana inginkan kemerdekaan. Orang Cina tidak kisah kalau Tanah Melayu merdeka atau tidak kerana mereka sudah hidup mewah jauh jika dibandingkan dengan hidup nenek moyang mereka di Tanah Besar Cina suatu ketika. Negara Cina pernah menjadi kuasa besar yang disebut 'Middle Kingdom' termasuk pada zaman pemerintahan Dinasti Ming yang membela kedaulatan Melaka dari gangguan Siam. Mereka sanggup berhijrah untuk mencari penghidupan baharu di dunia yang baharu. Kalau sudah senang lenang di kampung halaman sendiri kenapa sanggup berhijrah? Sanggup meninggalkan kekasih agaknya di Tanah Besar Cina untuk mencari gunung emas di tempat orang.

Dan jangan kaum Cina lupakan. Bukan semua orang Melayu setuju saat menjelang kemerdekaan untuk berkongsi negara dengan kaum pendatang. Sekali lagi saya sebutkan 'kaum pendatang' yang hari ini disebut warganegara. Namun Allah menentukan parti yang yang bersetuju dengan perkongsian kuasa dan negara telah mendominasi perjuangan dan akhirnya kita merdeka dengan cara begitu. Kalau ada orang Cina mengatakan kami tidak bersetuju, itu persetujuan MCA, orang Melayu pun tidak semua setuju namun tetap menghormati keputusan majoriti kaum yang diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC. Kalau orang Melayu boleh terima walaupun hati bak disayat sembilu, kenapa hari ini kaum pendatang persoalkan keputusan yang telah dibuat semasa kita belum lahir lagi ke dunia ini?

Ulasan mengenai tuntutan kaum Cina dan India yang mengguris hati orang Melyu telah banyak diperkatakan. Apa yang ingin saya tuliskan di sini ialah kaum bukan Melayu telah banyak mencabar kesabaran orang Melayu. Ingatan, teguran malah nasihat serta ajakan lembut pun yang dibuat oleh orang Melayu tidak dihiraukan. Bahkan sebarang kesempatan yang boleh digunakan oleh mereka akan tetap dilaksanakan tanpa mengira apapun yang mendatang seperti insiden pemberian kepada orang Cina walau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di Perak. Rupanya peribahasa Melayu "Dengar cakap enggang, terjun masuk lubuk" diamalkan oleh mereka dan Melayu tetap dengan "Dagang Melayu ditanakkan, anak sendiri mati tak makan."

Persoalannya kini apa lagi yang wajar kita lakukan setelah nasihat, teguran, ingatan malah gagasan 1 Malaysia masih tidak dapat memberi sebarang makna.

ANTAN BERLAGA AYAM JUGA YANG KENYANG

Saya amat menyanjungi Tun Dr Mahathir dan syabas atas keberanian sahabat lama saya di UKM saudara Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Apa agaknya kata sahabat lama saya juga Hj Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat. Saya belum ucapkan tahniah atas perlantikan Idris sebagai Ketua Penerangan. Wassalam.

No comments:

Post a Comment