Wednesday, July 30, 2014

ISTIQAMAH VS KARAMAH




Seorang ulama telah mengajar di sebuah madrasah selama 40 tahun tanpa jemu. Namun ketekunan ulama tersebut tidak pun dihargai oleh sebahagian besar anak muridnya.

Seorang anak muridnya berkata: “Dah lama kita belajar dengannya. Tidak ada sedikit pun terserlah perkara yang luarbiasa.”

Tambah anak murid yang lain pula: “Kalau kita bandingkan guru kita dengan guru-guru yang lain, guru kita ini biasa-biasa saja. Aku ada dengar yang guru di kampung sebelah pernah mengeluarkan cahaya dari celah-celah jarinya. Kita ni dah tersalah guru agaknya....”

Sungutan dan rungutan anak murid akhirnya sampai juga ke pengetahuan guru mereka.

Guru bertekad untuk memberi pengajaran kepada anak-anak muridnya itu.

Pada satu hari, guru mengajar dan dengan sengaja telah melepaskan kapur ketika menulis di papan hitam. 

Namun yang peliknya, kapur tidak jatuh sebaliknya terus menulis perkataan demi perkataan yang hendak ditulis oleh ulama berkenaan.

Semua anak muridnya berdiri dan melopong kehairanan. Mereka tidak sangka bahawa guru yang mereka pandang rendah sebenarnya memiliki karamah yang tidak terduga.

Guru terus menepuk papan hitam dengan kuat lantas berkata: “Kamu kagum melihat kapur ini menulis buat beberapa ketika. Bagaimana dengan aku yang telah menul,is selama 40 tahun di papan hitam ini?”

Istiqamah lebih hebat daripada Karamah. Ramai orang yang diberikan Karamah akhirnya tersesat lantaran iman yang tidak istiqamah.

SUAMI YANG WARAK




Seorang wanita cantik yang ingin berkahwin telah meletakkan tiga syarat untuk mencari seorang suami yang warak.

Suami warak yang dimaksudkan oleh wanita cantik itu mesti mempunyai tiga syarat yang mampu dilaksanakan.

Pertama.
Dia mahu bakal suami yang mampu beribadat sepanjang malam.

Kedua.
Bakal suaminya mestilah sanggup berpuasa sepanjang tahun.

Ketiga.
Lelaki tersebut juga mestilah dapat Khatam Qur’an pada setiap hari.

Ramai lelaki yang ingin memperisterikan wanita cantik tersebut namun terpaksa membatalkan hasrat mereka kerana tidak sanggup memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Muncullah seorang lelaki yang menyanggupi syarat-syarat tersebut. Imam pun menikahkan mereka berdua.

Setelah beberapa minggu, si isteri mendapati bahawa si suami tidak beribadat sepanjang malam, tidak berpuasa sepanjang tahun dan tidak menamatkan pembacaan al-Qur’an pada setiap hari.

Wanita tersebut berhasrat untuk menuntut cerai daripada suaminya.

Tiba hari perbicaraan, Tuan Hakim bertanya kepada si suami:

“Apakah syarat-syarat yang diletakkan untuk perkahwinan ini?”

Jawab si suami:
“Syaratnya ialah aku mesti bermunajat kepada Allah setiap malam, berpuasa sepanjang tahun dan khatam al-Qur’an pada setiap hari.”

“Adakah kamu melaksanakan syarat-syarat itu?” Tanya hakim.

“Ya.” Jawab suami dengan tenang.

Tuan hakim membalas:

“Kamu bohong! Isteri kamu menyatakan bahawa kamu tidak melaksanakan kesemua syarat yang ditetapkan. Sebab itu beliau mohon cerai.”

Hakim bertanya:
“Adakah kamu khatam al-Qur’an pada setiap hari?”

Jawab suami:
“Aku membaca Surah al-Ikhlas tiga kali sehari. Menurut Nabi Muhammad s.a.w. membaca Surah Ikhlas 3 kali menyamai dengan membaca seluruh isi al-Qur’an.”

Hakim tertarik lalu bertanya lagi:
”Bagaimana kamu berpuasa sepanjang tahun?”

Jawab suami:
“Aku berpuasa sepanjang bulan Ramadan dan meneruskan berpuasa selama enam hari di bulan Syawal. Ia seumpama berpuasa sepanjang tahun.”

Tuan hakim terdiam dengan jawapan suami lalu bertanyakan soalan terakhir:
“Bagaimana pula kamu bermunajat sepanjang malam sedangkan isteri kamu mengadu kamu tidur sepanjang malam?”

Dengan tenang suami menjawab:
“Aku solat Isyak berjemaah dan pada keesokan paginya, aku solat subuh berjemaah. Rasulullah s.a.w. mengajar, sesiapa yang melakukan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah, dia seumpama berjaga sepanjang malam untuk bermunajat kepada Allah.”

Hakim pun berkata kepada isteri:
“Kamu sungguh bertuah kerana bukan sahaja mendapat seorang suami yang warak tetapi juga yang mendalam ilmu agamanya. Pulanglah dan hidup dengan bahagia sepanjang hayat kamu.”

 


JALAN KE SYURGA




Seorang paderi Kistian yang baru tiba di sebuah kampung bertanya kepada seorang budak lelaki berkopiah.

Tanya paderi Kristian: “Boleh kamu tunjukkan saya jalan untuk pergi ke rumah Ketua Kampung? Saya baru saja tiba di sini”

Budak itu menjawab: “Boleh tuan. Tuan ikut jalan ini kemudian jalan lurus. Apabila tuan nampak serumpun pokok buluh, tuan belok ke kanan. Sampai saja di tepi sungai, tuan seberang sungai itu. Tuan jalan terus ke depan dan tuan akan ternampak rumah yang ada telaga di sebelah kiri. Itulah rumah Ketua Kampung tuan..”

Paderi mengucapkan terima kasih kepada budak itu. Lalu dia berkata: “Sebagai membalas budi baik kamu, mahukah kalau saya tunjukkan jalan ke syurga?”

Tujuan si paderi itu tidak lain tidak bukan adalah untuk menyampaikan ajaran Kristian kepada kanak-kanak tersebut.

Budak Muslim itu bertanya: “Benarkah tuan boleh menunjukkan saya jalan ke syurga?”

Paderi menjawab: “Memang itulah tugas saya setiap hari.”

Budak pintar menjawab:
“Bagaimana tuan mahu menunjukkan jalan ke syurga kepada saya sedangkan tuan sendiri bertanya kepada saya untuk pergi ke rumah Ketua Kampung?”

Hanya mereka yang telah berada pada jalan kebenaran sahaja yang mampu membimbing orang lain ke jalan yang benar.





SHEIKH ABD QADIR AL-JAILANI


Pada satu hari, Syeikh Abd Qadir al-Jailani terlewat bangun daripada hari biasa kerana terlalu letih.

Syaitan telah menyamar sebagai seekor kucing  dan menggigit ibu jari kaki syeikh.

Sheikh Abd Qadir terjaga dari tidurnya dan waktu Subuh baru sahaja masuk. Melalui pandangan hatinya, sheikh dapat melihat syaitan yang menyerupa sebagai kucing itu.

Sheikh bertanya: “Mengapa kau kejutkan aku untuk Solat Subuh sedangkan kau sangat benci kepada orang yang solat?”

Jawab syaitan: “Aku bimbang kau akan terlewat bangun untuk solat subuh.”

Sheikh hairan lalu bertanya: “Kenapa pula begitu?”

Syaitan menyambung: “Jika kau terlewat bangun untuk solat subuh, kau akan menampung kelewatan solat subuh itu dengan amalan lain yang lebih banyak dan lebih bersungguh-sungguh.”

Terus syaitan lagi: “Kau akan bersedekah. Kau akan banyak membantu orang lain. Kau akan mengajar lebih lama. Kau akan mengajak orang lain ke arah kebaikan. Kau akan lebih banyak membaca al-Qur’an. Semata-mata untuk menampung kesalahanmu yang sedikit. Aku dan kawan-kawanku akan menjadi bertambah susah. Kerja akan bertambah banyak dan sukar. Oleh itu, lebih baik kamu solat subuh tepat pada waktunya daripada kami susah menghadapi banyak kerja untuk menyekat amalan-amalan baik kamu itu.”

Begitulah kreatifnya syaitan dalam usaha menyesatkan manusia.

Monday, January 13, 2014

DOA MAJLIS ANUGERAH KO KURIKULUM



Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim



Engkau limpahkan rahmat dan hidayah

Hikmah dan inayah

Nikmat dan barakah

Sepanjang kami melaksanakan

Majlis Anugerah Kokurikulum bagi kali ke

Sekolah kami pada tahun 2013 ini.



Ya Aziz Ya Jabbar



Engkau jadikan majlis ini

Permulaannya segala kemudahan

Pertengahannya segala ketenangan

Penghujungnya kemenangan dan kecemerlangan serta pencapaian

Di sepanjangnya keselamatan dan keharmonian



Ya Zal Fadhli wal imtinan



Kejayaan ko kurikulum di beri pengiktirafan

Pelapis pimpinan masa hadapan

Agar agama terus didaulatkan

Moga bangsa tidak ketinggalan

Aktiviti persatuan menjadi keutamaan



Pada Mu Tuhan kami panjatkan

Sihat tubuh ibadat ditunaikan

Supaya kami berlumba membuat kebajikan

Tolong-menolong sewaktu kesusahan

Gagah perkasa mempertahan watan

Lantaran tubuh badan dibaluti kesihatan

Riadah kami mohon syafaatkan

Demi menurut sabda junjungan



Kami mohon pada Mu Tuhan

Kejayaan kami Engkau lanjutkan

Komitmen kami Engkau perhebatkan

Kecemerlangan kami Engkau pertahankan

Persaudaraan kami Engkau kekalkan



Ya Hayyu Ya Qayyum



Kurniakan kami tubuh badan sekuat Ali bin AbiTalib

Semangat juang sekental Khalid al-Walid

Mampu bekerjasama seperti Suhaib al-Rumi

Tanpa mengira bangsa seperti Bilal bin Rabah



YaZal Fadhli wal Ihsan



Jadikan perhimpunan ini

Perhimpunan yang dirahmati

Perpisahan selepasnya

Perpisahan yang diberkati