Tuesday, January 13, 2015

DOA PERPISAHAN GURU BERPINDAH


Ya Allah Engkaulah Pengurnia kenikmatan dan kesejahteraan



Kami rafakkan kesyukuran atas izin dan inayah Mu , dengan nikmat kesihatan dan kesejahteraan Mu, dengan nikmat ketenangan dan ketenteraman Mu, kami dapat menghadiri Majlis sempena meraikan pertukaran Puan Zulaiha Paikon pada pagi yang berbahagia ini.



Ya Allah Tuhan yang menyampaikan segala hajat dan permintaan,



Sesungguhnya kami amat menyedari dengan penuh keisafan bahawa kami hamba Mu tidak terlepas dari sunnah alam kurniaan Mu, kegelapan malam disulami dengan siang terang benderang, setiap pertemuan ada detik perpisahan, justeru dengan kudrat dan iradah Mu serta kuasa kun fayakun Mu, jadikan majlis bersama insan yang diraikan sebagai pertemuan yang penuh keberkatan dan kasih sayang, perpisahan selepasnya, penuh dengan kesejahteraan dan keamanan.



Ya Allah Tuhan seru sekelian alam,



Sesungguhnya Engkau amat menyayangi hamba Mu yang apabila melaksanakan tugasan dan amanah dengan tekun dan teliti sehingga mencapai tahap cemerlang, oleh itu kurniakanlah kepada insan yangkami raikan, Puan Zulaiha Paikon, pejuang bahasa pendidik bangsa, penggiat sastera pencinta budaya untuk terus menyumbang bakti menabur jasa di tempat baru dengan penuh iltizam.



Ya Allah Tuhan Yang Maha Penyayang,



Jadikan tangisan perpisahan sebagai benteng kami daripada api neraka kerana titisan air mata yang tumpah ke tanah lantaran eratnya ukhuwwah, kukuhnya mahabbah dalam suasana kerja penuh mawaddah sesungguhnya hidup bersaudara tersangat indah.



Ya Allah berilah bahagia kepadanya, hapuskan dukanya, berkatkan rezekinya, sihatkan jasmaninya, ikhlaskan hatinya dalam melalui denai kehidupan semakin mencabar, kerja guru menuntut sabar insya Allah ganjaran menanti daripada al-Jabbar.



Semoga hari-hari yang telah berlalu di SMK DMYS dengan segala kenangan suka duka, susah senang, pahit manis melalui kesatuan hati dan emosi, keserasian minda serta tindakan, mendapat ganjaan dari al-Rahman, kepada Allah kita berserah moga amalan mendapat berkah.



Ampunkan dosa kami, dosa ibubapa kami dan dosa sekelian Muslimin dan Muslimat walau di mana berada..




No comments:

Post a Comment