Sunday, June 30, 2013

KERAJAAN BANI UMAYYAH



Bani Umayyah adalah sebuah kerajaan Islam yang memerintah selepas Khulafa al-Rasyidin. Walaupun banyak kezaliman dan pemerintahannya bercorak monarki dan dikatakan tidak mengikut sepenuhnya corak pemerintahan Khulafa yang mirip kepada cara Nabi Muhammad s.a.w. namun ianya telah banyak meninggalkan jasa dan iktibar kepada umat Islam sepanjang zaman. Perluasan kuasa Bani Umayyah telah meluaskan kuasa pemerintahan Islam sehingga ke Sepanyol dan pentadbiran kerajaan yang lebih kompleks lantaran wilayah-wilayah di bawah penguasaan Islam semakin meluas dengan aktiviti penaklukan. Kajian terhadap Bani Umayyah sangat penting bagi melihat kepada perwatakan umat Islam selepas zaman Rasulullah s.a.w. dan juga telah menyebarkan Islam sehingga ke Barat dan Timur.


Seramai 14 orang khalifah yang memerintah selama 91 tahun telah mencatatkan sejarah sebagai sebuah kerajaan yang maju serta bertamadun.

Rakyat Bani Umayyah berjumlah 49 juta orang dan luas wilayah penguasaan terbentang daripada Negeri China di sebelah timurnya dan membawa ke sempadan Negeri Perancis di sebelah Barat. Kerajaan yang berpusatkan Syam telah beransur-ansur menjadikan kemajuan dan kegemilangan sebagai peninggalan yang tercatat sebagai sebuah kerajaan yang telah mencapai tahap kemajuan yang tinggi dalam pelbagai bidang.

Bentuk Kerajaan Bani Umayyah

Kerajaan Bani Umayyah tidak mempunyai majlis khas atau badan yang menjalankan tugas pemerintahan. Secara umumnya, seorang Khalifah merupakan Ketua Negara, pembuat undang-undang, menjalankan undang-undang, menjadi hakim, panglima perang dan juga imam dalam masjid.

Walaupun khalifah bertanggungjawab ke atas kesemuanya namun adakalanya beliau melantik orang-orang tertentu untuk menjalankan tanggungjawab tersebut dan melapor kepadanya. Penentuan pegawai yang melaksanakan tugas ditentukan oleh khalifah sendiri dan pada kebiasaannya mereka yang dilantik adalah dari kalangan keluarga khalifah sendiri bagi mengelakkan berlakunya perebutan kuasa. Ini terbukti samada daripada keturunan Sufyani (keluarga Muawiyah bin Abu Sufyan) mahupun keturunan Marwani ( keluarga Marwan bin al-Hakam).



Jawatan Khalifah

Muawiyah bin bu ASufyan telah menjadikan jawatan khalifah sebagai jawatan yang dipusakai secara turun-temurun. Namun tidak semua khalifah mewarisi jawatan daripada bapa masing-masing sebagai contohnya khalifah Sulaiman mengambil alih jawatan khalifah daripada saudaranya al-Walid dan seterusnya berpindah pula kepada bapa saudaranya Khalifah Umar bin Abd Aziz.

                                                                      Istana dan masjid

Kerajaan Bani Umayyah tidak mempunyai bangunan yang khusus untuk menjadi pejabat khalifah sebaliknya khalifah menjalankan tugas di rumah masing-masing. Demikian juga dengfan para gabenor yang dilantik mewakili khalifah di wilayah yang jauh dari pusat pentadbiran di Syam.

 
Rumah khalifah menjadi tempat membuat undang-undang dan masjid menjadi tempat menjalankan hukum ataupun mahkamah.