Tuesday, May 18, 2010

DOA RASMI JABATAN PELAJARAN JOHOR

DOA HARI GURU 2010M/1431H

Segala puji hanya untuk-Mu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekelian.

Bersempena dengan Sambutan Hari Guru yang penuh keberkatan ini. Kami merafakkan rasa kesyukuran kepadaMu ya Allah kerana mengizinkan kami meraikan Hari Guru bagi tahun 2010m/1431H dengan tema “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Ya Allah, ya Rahim wa ya Ghaffar,

Wahai Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Kami menadah tangan dengan penuh keinsafan dan kehambaan, memohon keampunan kehadratMu, agar Engkau ampunkan dosa-dosa kami dan dosa guru-guru kami samada yang masih hidup atau yang telah kembali kepangkuanMu. Limpahkanlah taufiq dan hidayah kepada kami dan guru-guru kami agar sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan inayahMu. Kurniakan mereka rezeki yang luas, keimanan yang teguh, ketaqwaan yang tinggi serta kebaikan di dunia dan di akhirat. Berkatilah segala rezeki yang telah Engkau curahkan kepada mereka dan berikanlah keberkatan kepada ahli keluarga serta zuriat keturunan mereka.

Ya Rahman ya Rahim,

Anugerahkanlah kesihatan, kesejahteraan, keikhlasan, kekuatan dan kecekalan kepada para pendidik. Jadikanlah mereka para guru yang berdaya saing dalam mendidik dan mengasuh para
pelajar kami. Kami juga memohon kehadratMu Ya Allah, agar hasrat dan cita-cita kami melahirkan modal Insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial akan tercapai dengan berkat usaha gigih guru-guru kami.

Ya Allah, Ya Fatah,

Anugerahkanlah guru-guru kami sifat sentiasa berlapang dada menerima dan menjalankan tugas membangunkan anak bangsa. Tanamkan semangat keikhlasan dan kejujuran di kalangan mereka dan balaslah segala kejujuran dan keikhlasan ini dengan ganjaran yang tinggi di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment