Tuesday, May 18, 2010

DOA MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL SEMPENA HARI GURU 2010

Segala puji dan puja hanya layak bagi Mu Ya Allah. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w. tokoh guru pendidik ummah tiada tandingan sepanjang zaman.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kami berhimpun pada pagi ini menyatakan kesyukuran kami kepada Mu atas segala nikmat kurniaan Mu yang tidak ternilai.

Ya Fattah Ya Alim

Dengan keizinan Mu kami dapat bersama-sama membaca Surah Yasin, kami akui kebesaran Mu dengan kalimah Takbir, memuji Mu dengan kalimah Tahmid, mengulangi menyebut kesucian Mu dengan bertasbih. Ucapan Tahlil yang kami hidup dan mati dengannya La Ilaha Illa Allah kami lafazkan dengan penuh keinsafan.

Ya Aziz Ya Jabbar

Sekiranya bacaan kami melayakkan kami mendapat pahala, kami hadiahkan pahala bacaan kami berserta dengan ganjaran yang kami perolehi kepada guru-guru kami yang telah mendahului kami menyahut panggilan berada di sisi Mu.

Ya Zal Fadhli Wal Ihsan

Sesungguhnya guru-guru kami telah banyak menabur bakti, mendidik kami sepenuh hati, memberi harapan kepada kami walaupun kami kadangkala seumpama tidak menghargai. Namun guru tetap menyampaikan ilmu dengan mengenepikan rasa jemu, terguris hatinya tiada siapa yang tahu. Oleh itu, Engkau ampunkan dosa-dosa kami sekiranya kami pernah menyakiti hati guru kami dan lembutkan hati mereka agar memaafkan kami.

Ya Zal Jalali wal Ikram

Kepada guru-guru kami yang masih berkhidmat, kami mohon kepada Mu Ya Allah, sekiranya sewaktu melaksanakan amanah perguruan, kami tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat kepada pelajar kami, tersasar dari landasan kebenaran, tersilap dalam mentafsir fakta, tidak mampu menarik perhatian pelajar yang menjadi tugas utama profession kami, kurang berjaya menyediakan suasana yang kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran, kami beristighfar mohon keampunan dan berilah kekuatan agar kami mampu melakukan penambahbaikan. Amanah yang terpikul ke atas bahu kami, kami telah cuba sedaya upaya melaksanakannya dan kami sandarkan pengharapan supaya keikhlaan kami akan dapat menyelamatkan kami dari azab api neraka.

Akhirnya Ya Allah selamatkanlah guru-guru kami, anak-anak murid kami dan institusi pendidikan negara keseluruhannya. Martabatkanlah profession perguruan agar dihormati oleh masyarakat.

DOA RASMI JABATAN PELAJARAN JOHOR

DOA HARI GURU 2010M/1431H

Segala puji hanya untuk-Mu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekelian.

Bersempena dengan Sambutan Hari Guru yang penuh keberkatan ini. Kami merafakkan rasa kesyukuran kepadaMu ya Allah kerana mengizinkan kami meraikan Hari Guru bagi tahun 2010m/1431H dengan tema “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Ya Allah, ya Rahim wa ya Ghaffar,

Wahai Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Kami menadah tangan dengan penuh keinsafan dan kehambaan, memohon keampunan kehadratMu, agar Engkau ampunkan dosa-dosa kami dan dosa guru-guru kami samada yang masih hidup atau yang telah kembali kepangkuanMu. Limpahkanlah taufiq dan hidayah kepada kami dan guru-guru kami agar sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan inayahMu. Kurniakan mereka rezeki yang luas, keimanan yang teguh, ketaqwaan yang tinggi serta kebaikan di dunia dan di akhirat. Berkatilah segala rezeki yang telah Engkau curahkan kepada mereka dan berikanlah keberkatan kepada ahli keluarga serta zuriat keturunan mereka.

Ya Rahman ya Rahim,

Anugerahkanlah kesihatan, kesejahteraan, keikhlasan, kekuatan dan kecekalan kepada para pendidik. Jadikanlah mereka para guru yang berdaya saing dalam mendidik dan mengasuh para
pelajar kami. Kami juga memohon kehadratMu Ya Allah, agar hasrat dan cita-cita kami melahirkan modal Insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial akan tercapai dengan berkat usaha gigih guru-guru kami.

Ya Allah, Ya Fatah,

Anugerahkanlah guru-guru kami sifat sentiasa berlapang dada menerima dan menjalankan tugas membangunkan anak bangsa. Tanamkan semangat keikhlasan dan kejujuran di kalangan mereka dan balaslah segala kejujuran dan keikhlasan ini dengan ganjaran yang tinggi di dunia dan akhirat.