Sunday, January 3, 2010

ASRAMA SEKOLAH HARIAN

Hari ini merupakan hari pendaftaran pelajar asrama SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman.

Ibubapa dan pelajar mula melapor seawal jam 8.00 pagi untuk mendaftar, mendapat kunci yang berkenaan dan pastinya membuat bayaran sebelum memulakan kehidupan di asrama bagi tahun 2010.

Sudah menjadi pengetahuan umum, ramai dari kalangan ibubapa yang berminat untuk menghantar anak mereka ke asrama.

Dalam sistem pendidikan negara seingat saya, konsep asrama diperkenalkan supaya murid-murid sekolah terutama dari luarbandar tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan yang berorientasikan bidang sains dan teknologi yang menjadi keutamaan kerajaan untuk meramaikan kaum bumiputera dalam bidang tersebut sebagai pemangkin kepada ekonomi Melayu anjuran Dasar konomi Bar (DEB).

Dalam ceramah-ceramah kesedaran awal tahun 70an kerajaan menyeru supaya kaum bumiputera maju dalam bidang ini supaya mereka dapat menjadi doktor, peguam dan jurutera.

Selalu disebutkan dan ditanamkan semangat supaya anak-anak Melayu mempunyai cita-cita untuk menjadi doktor, peguam dan ada di antaranya ingin jadi juruterbang (pilot).

Hakikat ini dapat dibuktikan di mana filem Ibu Mertuaku lakonan Seniman Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee memaparkan bahawa calon menantu diukur dari segi pencapaian akademik dan kerjaya seperti kata Nyonya Mansur watak yang sangat berjaya dihidupkan,"Siapa Kassim Selamat? Doktor, lawyer, majistret?"

Maka salah satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan pada masa di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Razak ialah 'mengumpulkan' anak-anak Melayu dari kawasan luarbandar yang mempunyai potensi untuk berjaya dalam bidang pelajaran di sekolah-sekolah bandar. Lahirlah sekolah-sekolah menengah sains berasrama penuh seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Alam Shah, Sekolah Tunku Abd Rahman (STAR) dan lain-lain lagi sekolah berprestasi tinggi yang menjadi idaman dan impian anak-anak Melayu dan ibubapa mereka.

Keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima menjadi penentu kepada pemilihan ke sekolah-sekolah berasrama penuh tersebut. Murid-muridnya menjadi murid kelas elit serta menjadi kebanggaan kampung. Mereka dilatih bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan dari sudut kepimpinan, pengurusan diri dan ko-kurikulum. Murid-murid ini sangat bertuah pada masa itu memandangkan bilangan sekolah kategori ini boleh dibilang dengan jari sahaja. Murid-murid bertuah ini telah menyumbang kepada negara dalam bidang sains, kejuruteraan dan ada di antaranya telah menggilap bakat kepimpinan sejak dari bangku sekolah lagi seperti Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, old boy Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Dato Hj Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Johor.

Faktor luarbandar ini juga telah menjadi keutamaan kepada pemilihan kemasukan ke sekolah asrama harian. Murid-murid yang rumahnya jauh di luarbandar dan mempunyai potensi dalam akademik diberikan keutamaan untuk menghuni asrama jenis ini. Dasar jabatan telah memperluaskan kepada kategori pelajar Kelas Rancangan Khas (KRK), Rancangan Khas Sukan dan sebagainya.

Disiplin dan kepatuhan kepada jadual waktu asrama yang ketat dan juga agak ketat telah mengundang minat ibubapa memohon kemasukan anak-anak ke asrama harian lantaran rutin kehidupan di asrama tersebut juga tidak jauh berbeza dengan sekolah berasrama penuh walau syarat kemasukan berbeza.

Kepada anak-anak yang terpilih untuk menjadi penghuni asrama harian, tahniah diucapkan dan semoga dapat menghayati sebahagian konsep ASRAMA:

A = Amanah

Kehidupan di asama sepatutnya melatih supaya anak-anak dapat menghayati sifat amanah. Cerita kehilangan wang kadangkala bahkan selalunya menjadi cerita biasa asrama yang sukar untuk disabitkan pelakunya lantaran kekurangan bukti dan saksi. Murid yang tidak amanah tidak layak menjadi penghuni asrama kerana perbuatan mencuri itu umpama mencuri wang saudara sendiri. Semoga kehidupan asrama selama 3 atau 5 tahun menjadikan kita sebagai seorang Muslim yang memiliki sifat amanah.

S = Solat Berjamaah

Kehidupan asrama sangat indah sekiranya semua penghuninya dapat mengamalkan Solat Berjamaah setiap waktu pada setiap hari sepanjang tahun. Barakah yang diperolehi daripada solat ini akan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama pelajar dan boleh mengurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak menguntungkan diri pelajar sendiri seperti membuli, melepak, membuang masa, berdua-duaan antara bukan muhrim dan lain-lain lagi sifat mazmumah yang dibenci Allah. Amalan solat berjamaah sepatutnya disambung apabila pulang ke rumah kalau inya dihayati serta disempurnakan dengan sebaik mungkin.

R = Rajin

Ibubapa menghantar anak-anak ke asrama supaya dapat menjalani rutin kehidupan dengan mematuhi jadual waktu yang telah ditetapkan. Amat rugilah pelajar kalau tidak mengikuti semua program asrama yangt telah diatur kerana ianya diatur untuk menjadikan pelajar sebagai insan yang berguna dan tidak menyusahkan orang lain. Rajin dalam ertikata rajin belajar dan mengulangkaji dan rajin berpersatuan dan bukan sebaliknya rajin merokok, rajin bersembang sewaktu prep dan rajin memanjat pagar sekolah.

A = Ajak-mengajak

Kehidupan di asrama sangat indah kerana kita mempunyai ramai kawan. Ajak-mengajak ke arah kebaikan dan bukan ajak-mengajak ke arah perkara yang tidak berfaedah. Ajak ke surau untuk solat berjemaah dan bukan ajak panjat pagar untuk menonton konsert yang diadakan di Pekan Nanas misalannya.

M = Mawaddah.

Mawaddah ialah pekataan Arab yang bermaksud kasih sayang. Kalau semua penghuni asrama mempunyai sifat kasih sayang maka tidak ada kisah buli, ragging dan bertumbuk kerana berada dalam keadaan kasih sayang tulus ikhlas dan bukannya kasih sayang yang disalahtafsirkan sebagai cinta monyet.

A - Alhamdulillah

Bersyukur kerana terpilih menjadi penghuni asrama. Ramai lagi yang ingin masuk ke asrama tetapi tidak terpilih. Cara menunjukkan kesyukuran ialah dengan belajar bersungguh-sungguh dan mematuhi semua peraturan asrama dan mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Pelajar asrama harian boleh mencapai kejayaan yang cemerlang sekiranya diiringi dengan kesungguhan yang berterusan. Wassalam.




1 comment: