Saturday, September 29, 2012

PANTUN NASIHAT


Lepas dijemur baju dilipat,
Disimpan dalam almari lama,
Jangan kita tinggalkan solat,
Kerana Solat tiang agama.

Jangan kita tinggalkan solat,
kerana solat tiang agama,
Hidup mesti bermuafakat,
Barulah harmoni sepanjang masa.

Berbudi bahasa amalan mulia,
Tanpa mengira tua dan muda,
Tiada kejayaan tanpa usaha,
Untuk berjaya jangan mudah berputus asa.

Indah perkataan kerana bahasa,
Indah akhlak kerana agama,
Jasa ibu bapa jangan dilupa,
Kerana ia tidak ternilai harganya.

Hidup berjiran mesti sepakat,
agar hubungan harmoni sentiasa,
Bertaubatlah sebelum terlambat,
kerana ajal datang tak kira usia

PANTUN JENAKA


Pasang pukat di tepi kali,
Kali terletak di kampong seraya,
Hitam pekat kopi Pak Ali,
Hitam lagi wajah jantannya.

Daun ketum asam kandis,
Buah betik letak di para,
Ros sekuntum untuk si gadis,
Dipetik oleh si anak kera.

Bau kasturi harum dicium,
Jemuju mari dijemur dahulu,
Angkat besi pergi gymnasium,
Berbaju gaun kaki berbulu.

Cari umpan diteman Pak Isa,
Tangkap belanak sampai ke petang,
Wajah tampan tubuhnya sasa,
Giginya rongak tinggal sebatang.

Pulau Pandan jauh di hilir,
Nampak dari Tanjung Bidur,
Kalau tuan bijak berfikir,
Tidur apa yang tak boleh tidur?

Pangkas dahan semut melata,
Halau kerengga diletak kapur,
Tangkas sungguh bermain senjata,
Walau Cuma golok di dapur.

Pantun ini dihadiahkan oleh sahabat saya Puan Zulaiha Paikon, salah seorang pemenang Pertandingan Mengarang Cerpen Peringkat Negeri Johor..

Monday, September 3, 2012

DOA KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN 2012



Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Engkau limpahkan rahmat dan hidayah
Hikmah dan inayah
Nikmat dan barakah
Sepanjang kami melaksanakan
Kejohanan Padang dan Balapan bagi kali ke 29
Sekolah kami pada tahun 2012

Ya Aziz Ya Jabbar

Engkau jadikan kejohanan ini
Permulaannya segala kemudahan
Pertengahannya segala ketenangan
Penghujungnya kemenangan dan kecemerlangan serta pencapaian
Di sepanjangnya keselamatan dan keharmonian

Matlamat kami mencari redha Mu Tuhan
Melempar segala keburukan
Melompat demi kecergasan badan
Merejam hasutan syaitan
Supaya kami dapat bersaing berlumba membuat kebajikan
Tolong-menolong sewaktu kesusahan
Gagah perkasa mempertahan watan
Lantaran tubuh badan dibaluti kesihatan

Ya Hayyu Ya Qayyum

Kurniakan kami tubuh badan sekuat Ali bin Abi Talib
Semangat juang sekental Khalid al-Walid
Mampu bekerjasama seperti Suhaib al-Rumi
Tanpa mengira bangsa seperti Bilal bin Rabah

Ya Zal Fadhli wal Imtinan

Jadikan kejohanan ini
Perhimpunan yang dirahmati
Perpisahan selepasnya
Perpisahan yang diberkati