Seorang wanita cantik yang ingin
berkahwin telah meletakkan tiga syarat untuk mencari seorang suami yang warak.
Suami warak yang dimaksudkan oleh
wanita cantik itu mesti mempunyai tiga syarat yang mampu dilaksanakan.
Pertama.
Dia mahu bakal suami yang mampu
beribadat sepanjang malam.
Kedua.
Bakal suaminya mestilah sanggup
berpuasa sepanjang tahun.
Ketiga.
Lelaki tersebut juga mestilah
dapat Khatam Qur’an pada setiap hari.
Ramai lelaki yang ingin
memperisterikan wanita cantik tersebut namun terpaksa membatalkan hasrat mereka
kerana tidak sanggup memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Muncullah seorang lelaki yang
menyanggupi syarat-syarat tersebut. Imam pun menikahkan mereka berdua.
Setelah beberapa minggu, si
isteri mendapati bahawa si suami tidak beribadat sepanjang malam, tidak
berpuasa sepanjang tahun dan tidak menamatkan pembacaan al-Qur’an pada setiap
hari.
Wanita tersebut berhasrat untuk
menuntut cerai daripada suaminya.
Tiba hari perbicaraan, Tuan Hakim
bertanya kepada si suami:
“Apakah syarat-syarat yang
diletakkan untuk perkahwinan ini?”
Jawab si suami:
“Syaratnya ialah aku mesti
bermunajat kepada Allah setiap malam, berpuasa sepanjang tahun dan khatam
al-Qur’an pada setiap hari.”
“Adakah kamu melaksanakan
syarat-syarat itu?” Tanya hakim.
“Ya.” Jawab suami dengan tenang.
Tuan hakim membalas:
“Kamu bohong! Isteri kamu
menyatakan bahawa kamu tidak melaksanakan kesemua syarat yang ditetapkan. Sebab
itu beliau mohon cerai.”
Hakim bertanya:
“Adakah kamu khatam al-Qur’an
pada setiap hari?”
Jawab suami:
“Aku membaca Surah al-Ikhlas tiga
kali sehari. Menurut Nabi Muhammad s.a.w. membaca Surah Ikhlas 3 kali menyamai
dengan membaca seluruh isi al-Qur’an.”
Hakim tertarik lalu bertanya
lagi:
”Bagaimana kamu berpuasa
sepanjang tahun?”
Jawab suami:
“Aku berpuasa sepanjang bulan
Ramadan dan meneruskan berpuasa selama enam hari di bulan Syawal. Ia seumpama
berpuasa sepanjang tahun.”
Tuan hakim terdiam dengan jawapan
suami lalu bertanyakan soalan terakhir:
“Bagaimana pula kamu bermunajat sepanjang
malam sedangkan isteri kamu mengadu kamu tidur sepanjang malam?”
Dengan tenang suami menjawab:
“Aku solat Isyak berjemaah dan
pada keesokan paginya, aku solat subuh berjemaah. Rasulullah s.a.w. mengajar,
sesiapa yang melakukan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah, dia
seumpama berjaga sepanjang malam untuk bermunajat kepada Allah.”
Hakim pun berkata kepada isteri:
“Kamu sungguh bertuah kerana
bukan sahaja mendapat seorang suami yang warak tetapi juga yang mendalam ilmu
agamanya. Pulanglah dan hidup dengan bahagia sepanjang hayat kamu.”
No comments:
Post a Comment