Showing posts with label TAMADUN ISLAM. Show all posts
Showing posts with label TAMADUN ISLAM. Show all posts

Friday, October 21, 2016

HERMENEUTIKA BUKAN TAFSIR AL-QUR'AN

Al-Qur’an sebagai kitab rujukan dan sumber utama pengajaran Islam bukan sahaja menarik minat pemikir Islam tetapi juga bukan Islam untuk mengkaji isi kandungannya. Selama berkurun lamanya, umat Islam berpegang kepada tafsiran yang ma’thur iaitu tafsiran ayat al-Qur’an dengan ayat al-Qur’an, tafsir ayat dengan hadith, tafsir ayat denga pandangan sahabat dan tafsir ayat al-Qur’an dengan pendapat golongan tabi’in. Maksud tafsir bil ma’thur ialah tafsir ayat al-Qur’an dengan sandaran yang kukuh seperti sandaran kepada Nabi Muhammad saw, para sahabat dan tabi’in sahaja. Tafsir bil ra’yi yakni pandangan akal dalam mentafsirkan ayat al-Qur’an diikat dengan peraturan yang ketat mengambilkira keilmuan serta kefahaman para mufassir yang dikawal rapi dengan adab yang wajib diamalkan oleh mereka. Golongan pentafsir terdiri daripada golongan salaf mahupun khalaf tidak pernah mentafsirkan ayat al-Qur’an menggunakan logik akal semata-mata lebih-lebih lagi mentafsirkan ayat al-Qur’an mengikut hawa nafsu mereka.

Akhir-akhir ini, ada golongan yang mahukan supaya al-Qur’an ditafsirkan dengan metod baru kononnya tafsiran terdahulu sudah tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Golongan ini tidak berpuashati dengan tafsiran yang sedia ada dan mahukan perubahan. Sebenarnya ketidakfahama mereka ini disebabkan terpengaruh dengan pemikiran liberalisme Barat yang ternyata menyesatkan.
Metod yang dinamakan metod hermeneutika ini tidak pernah dijumpai dalam mana-mana metod tafsir ulama Islam terkemuka bahkan ianya digunakan dalam menghuraikan kitab Bible oleh pendeta Kristian. Sudah pasti ianya diambil dari budaya penulis Barat yang cenderung menafikan unsur wahyu dalam penulisan mereka. Kemudahan internet dan kegilaan manusia kepada mempercayai tulisan di alam maya memungkinkan metod hermeneutika ini diterima oleh pembaca yang tidak mempunyai asas ilmu yang kukuh.  Lebih membimbangkan beberapa penulis Indonesia menulis mengenai kepentingan hermeneutika dalam tafsir ayat al-Qur’an.

Dari aspek etimologi, perkataan “hermeneutika” berasal daripada perkataan Greek atau Yunani hermeneuin yang bermaksud tafsir, penjelasan serta penterjemahan (Fahmi Salim, 2010). Dari segi istilahnya pula, hermeneutika dikaitkan dengan pentafsiran kata-kata dan teks dan dapat diterjemahkan kepada bahasa dan keadaan semasa pembaca (Nashruddin Baidan, 2005).  
Hermeneutika sebagai modul analisis data, ia berkaitan dengan pengertian data teks  terutama berkaitan dengan pemaknaan suatu ungkapan teks.

Jelasnya istilah Hermeneutika tidak berkaitan sama sekali dengan tafsir al-Qur’an. Istilah hermeneutika ini merujuk kepada pentafsiran teks moden yang berbeza daripada metod pentafsiran yang menjadi amalan para ulama silam Islam. Bahkan Hermeneutika telah menjadi metod pentafsiran Bible kerana beberapa sebab antaranya  pakar Bible sendiri tidak yakin dengan kesahihan teks terebut, tidak wujud sebarang laporan mengenai teks Bible yang boleh diterima umum ditambah lagi dengan tiada kelompok manusia yang menghafal teks Bible yang telah hilang (Adian dan Abdurrahman, 2007).

Metod hermeneutika hanya sesuai dengan pentafsiran teks Bible sebagaimana tertera dalam Ensiklopedia Britannica 1985 sebagai “kajian tentang kaedah-kaedah umum untuk mentafsir Bible dan tujuan utama hermeneutika  dan metod-metod takwil  Yahudi dan Nasrani sepanjang sejarahnya adalah unuk menyingkap kebenaran  dan nilai Bible (Fahmi Salim, 2010).   




   

Sunday, June 30, 2013

KERAJAAN BANI UMAYYAH



Bani Umayyah adalah sebuah kerajaan Islam yang memerintah selepas Khulafa al-Rasyidin. Walaupun banyak kezaliman dan pemerintahannya bercorak monarki dan dikatakan tidak mengikut sepenuhnya corak pemerintahan Khulafa yang mirip kepada cara Nabi Muhammad s.a.w. namun ianya telah banyak meninggalkan jasa dan iktibar kepada umat Islam sepanjang zaman. Perluasan kuasa Bani Umayyah telah meluaskan kuasa pemerintahan Islam sehingga ke Sepanyol dan pentadbiran kerajaan yang lebih kompleks lantaran wilayah-wilayah di bawah penguasaan Islam semakin meluas dengan aktiviti penaklukan. Kajian terhadap Bani Umayyah sangat penting bagi melihat kepada perwatakan umat Islam selepas zaman Rasulullah s.a.w. dan juga telah menyebarkan Islam sehingga ke Barat dan Timur.


Seramai 14 orang khalifah yang memerintah selama 91 tahun telah mencatatkan sejarah sebagai sebuah kerajaan yang maju serta bertamadun.

Rakyat Bani Umayyah berjumlah 49 juta orang dan luas wilayah penguasaan terbentang daripada Negeri China di sebelah timurnya dan membawa ke sempadan Negeri Perancis di sebelah Barat. Kerajaan yang berpusatkan Syam telah beransur-ansur menjadikan kemajuan dan kegemilangan sebagai peninggalan yang tercatat sebagai sebuah kerajaan yang telah mencapai tahap kemajuan yang tinggi dalam pelbagai bidang.

Bentuk Kerajaan Bani Umayyah

Kerajaan Bani Umayyah tidak mempunyai majlis khas atau badan yang menjalankan tugas pemerintahan. Secara umumnya, seorang Khalifah merupakan Ketua Negara, pembuat undang-undang, menjalankan undang-undang, menjadi hakim, panglima perang dan juga imam dalam masjid.

Walaupun khalifah bertanggungjawab ke atas kesemuanya namun adakalanya beliau melantik orang-orang tertentu untuk menjalankan tanggungjawab tersebut dan melapor kepadanya. Penentuan pegawai yang melaksanakan tugas ditentukan oleh khalifah sendiri dan pada kebiasaannya mereka yang dilantik adalah dari kalangan keluarga khalifah sendiri bagi mengelakkan berlakunya perebutan kuasa. Ini terbukti samada daripada keturunan Sufyani (keluarga Muawiyah bin Abu Sufyan) mahupun keturunan Marwani ( keluarga Marwan bin al-Hakam).



Jawatan Khalifah

Muawiyah bin bu ASufyan telah menjadikan jawatan khalifah sebagai jawatan yang dipusakai secara turun-temurun. Namun tidak semua khalifah mewarisi jawatan daripada bapa masing-masing sebagai contohnya khalifah Sulaiman mengambil alih jawatan khalifah daripada saudaranya al-Walid dan seterusnya berpindah pula kepada bapa saudaranya Khalifah Umar bin Abd Aziz.

                                                                      Istana dan masjid

Kerajaan Bani Umayyah tidak mempunyai bangunan yang khusus untuk menjadi pejabat khalifah sebaliknya khalifah menjalankan tugas di rumah masing-masing. Demikian juga dengfan para gabenor yang dilantik mewakili khalifah di wilayah yang jauh dari pusat pentadbiran di Syam.

 
Rumah khalifah menjadi tempat membuat undang-undang dan masjid menjadi tempat menjalankan hukum ataupun mahkamah.











                                                                                                                              

Sunday, December 2, 2012

PEMIKIRAN HAMKA

HAMKA permata nusantara yang tiada gantinya sehingga kini
 Hamka adalah seorang tokoh dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik politik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama' dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal.

Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Almarhum juga rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal. Almarhum juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Bermula pada tahun 1928, beliau mengetuai cawangan Muhammadiyah di Padang Panjang.

Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.

Pada tahun 1953, Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia. Kegiatan politik Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota parti politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan.

Pada tahun 1947, Hamka diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960.

Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Hamka dipenjara oleh Presiden Sukarno kerena dituduh pro-Malaysia. Hasilkan pelbagai karya besar Semasa dalam tahanan penjara, beliau telah mula menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, Hamka diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.

Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.

Sepanjang terlibat dalam kerjaya sebagai seorang ulama/sajana/tokoh ilmuan Islam, al-marhum Hamka telah menubuhkan Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka atau singkatannya (UHAMKA) yang merupakan pengembangan (Konversi) dari IKIP Muhammadiyah Jakarta yang didirikan pada 25 Rabiul Awwal 1377 H bertepatan dengan 18 November 1957. Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia. Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. 

Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura.
 

Tuesday, November 6, 2012

ISLAM DI LONDON

Pemandangan dalam salah sebuah masjid di London
Satu yang menakjubkan negara bekas penjajah iaitu Britain menyaksikan pertambahan rakyat British yang memeluk Islam secara puratanya ialah seramai 5000 orang setiap tahun. Angka ini dapat disaksikan melalui limpahan umat Islam yang mengerjakan Solat Jumaat sehingga melimpah ke jalanraya serta lorong-lorong di Kota London.

Jemaah yang melimpah ruah menunaikan solat
Datuk Bandar London Ken Livingstone dari Parti Buruh dalam kempen mempertahankan jawatannya telah berjanji akan menjadikan kota London sebagai sebuah bandar yang adil, harmoni dan sejahtera.
Beliau menarik perhatian umat Islam dengan menyatakan hasrat untuk mengikut model bandar Nabi Madinah iaitu dengan melahirkan masyarakat yang berakhlak, bersatupadu dan sejahtera melalui perjanjian baginda s.a.w.  dengan penduduk bukan Islam.

Keindahan Islam inilah yang disebut oleh Livingstone yang mungkin tidak dapat dilihat oleh orang Islam sendiri.


ISLAM DI AMERIKA SYARIKAT

Bas yang memaparkan imej Islam
Papantanda iklan Islam

Menurut ASARB (Association Of Statisticians of American Religious Bodies), bagi jangkamasa tahun 2001-2012, bilangan umat Islam di Amerika bertambah sebanyak 66.7 peratus menjadikan Islam sebagai agama yang paling pesat berkembang di negara tersebut. Agama Katholik menurun sebanyak 5 peratus dan Protestan menyusut sebanyak 12.85 peratus.

Strategi untuk menakutkan dunia mengenai keganasan umat Islam dalam peristiwa 11 September 2001telah memberi impak sebaliknya di mana orang Amerika mula mengkaji mengenai kemurnian ajaran Islam lantas menyebabkan Islam semakin diminati.

Masjid bertambah, buku mengenai Islam mendapat sambutan yang sangat tinggi, orangramai keluar menunaikan solat di tempat terbuka, papantanda yang memaparkan iklan Islam dan bas menayangkan mesej Islam kelihatan di sana-sini. Kebangkitan Islam seperti ini mungkin tidak terduga oleh sesiapa pun. Demikianlah perancangan Allah s.w.t.

ISLAM DI KUTUB UTARA

Masjid Inuvik

Masjid Inuvik terletak di wlayah barat laut Kanada dikenali sebagai” Masjid Cahaya Matahari Tengah Malam” kerana mengalami purata 56 hari sinar matahari terus menerus setiap musim panas dan selama hampir 30 hari gelap gelita setiap musim dingin. 

Sumber tidak rasmi menyatakan bahawa umat Islam bertambah di wialyah Northwest, Kanada mencapai 300 peratus setiap dekad. Masjid Inuvik ini menerima pembiayaan daripada umat Islam Kanada.

Benar lah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Urusan Islam akan sampai ke mana sahaja ada siang dan malam... (Riwayat al-Hakim)