Semakin hari kita berhadapan
dengan berita kematian. Kematian yang sudah pasti tidak dapat dielakkan namun
yang lebih menggusarkan kita ialah seorang demi seorang ulama pergi meninggalkan
kita.
Pada zaman awal-awal
kemerdekaan, masjid-masjid kita diisi dengan pengajian kitab-kitab tradisi
diajar oleh tok-tok guru yang mendapat pengajian dari negara-negara Timur
Tengah. Semakin lama mereka mengaji di sana maka semakin alimlah mereka pada
sudut pandangan masyarakat.
Tidak dapat dinafikan bahawa
orang-orang pondok terlibat dengan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada
penjajah sejak awal-awal kebangkitan semangat nesionalisme. Tidak terdapat
pandangan yang mengaitkan perjuangan menuntut kemerdekaan ini dengan semangat
“asobiyyah” kerana bangsa penjajah yang ditentang merupakan golongan penjajah
kafir.
Madrasah Ihya’ al-Sharif,
Ustaz Abu Bakar Baqir dan beberapa pemimpin lain seperti Haji Abd Rahman
Limbong, Tok Janggut dan lain-lain orang agama meniupkan semangat benci kepada
penjajah. Perjuangan menuntut kemerdekaan disinonimkan dengan semangat jihad
membebaskan negara daripada pemaksaan sistem penjajah yang bertentangan dengan
Islam.
Tokoh-tokoh agama yang berjasa
mendidik masyarakat merupakan mereka yang mendapat pendidikan agama Islam
secara formal dan berguru dengan ulama-ulama tersohor dunia. Sheikh-sheikh
al-Azhar, guru-guru Universiti Islam Madinah, Kuwait, Morocco dan juga Sudan
serta Jordan.
Sebelum merdeka lagi,
Raja-raja Melayu telah bersetuju untuk menubuhkan Kolej Islam Malaya (KIM) pada
tahun 1955. Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah telah mewaqafkan istana
baginda di Klang untuk dibna bangunan kolej tersebut. Sultan Brunei Darussalam
telah berkenan berangkat ke sana dan pastinya memberi dana penubuhan kpd
institusi pengajian Islam tertinggi pada masa itu.
Tokoh-tokoh yang lahir dari
Kolej Islam Malaya telah menjadi ulama negara seperti Ustaz Haron Din, Ustaz
Daeng Sanusi Daeng Mariok, Tan Sri Harussani Zakaria sekadar menyebut beberapa
nama.
Ketokohan mereka sukar
ditandingi, tawadhu’ tidak meninggi diri, menasihat dengan hikmah dan mengajar
dengan amanah.
Mereka tidak mengejar
populariti dan berani memperkatakan yang hak walaupun mendapat tentangan
daripada sesetengah pihak yang menjaga kepentingan masing-masing.
Ustaz Haron Din tidak pernah
berceramah dengan menggunakan kata-kata seperti bodoh dop, menate beruk, kalu
bodoh ngaji lah wei tetapi menggunakan perkataan-perkataan yang memerlukan
pendengar menggunakan akal budi untuk memahaminya.
Pengajian Ustaz Haron Din
samada dalam kuliah universiti atau di masjid penuh dengan hikmah serta pengajaran
kepada pendengar yang mencari kebenaran dan bukannya keseronokan. Walaupun
tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan, Ustaz Haron Din tetap menggunakan
analogy serta penghujjahan yang sangat berhikmah. Sebagai contohnya Ustaz Haron
Din pernah berkata:
“Negara Islam ialah sebuah negara
yang perlembagaannya merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Kerajaan Bani
Umayyah dan Abbasiah merupakan Negara Islam Cuma ada dalam kalangan pemimpinnya
yang fasiq. Ini berbeza dengan mana-mana negara yang perlembagaannya tidak
Islamik maka pemimpinnya tidak boleh dikatakan fasiq kerana istilah pemimpin
fasiq apabila negaranya sudah menggubal Perlembagaan yang Islamik.”
Ustaz Haron Din juga mengajar
bahawa sekiranya negara mengamalkan undang-undang Islam maka Allah swt akan
menjaga negara dari sebarang keburukan dunia dan azab pada Hari Akhirat.
Pengajaran beliau disampaikan
dengan ilmiah dengan tiada lawak jenaka berlebihan, cerita-cerita yang lagha
jauh sekali daripada mengkafirkan orang lain, menyindir dengan tujuan
menjatuhkan orang lain dan mendakwa beliau lah yang paling alim dalam bidang
syariah Islam.
Sewaktu negara kecoh dengan
isu purdah, pandangan beliau cukup meyakinkan. Hujjah beliau: saya tidak
memakai serban, saya hanya memakai kupiah putih. Walaupun saya memakai kupiah
putih, saya tidak pernah mengatakan bahawa memakai serban tidak sesuai dipakai
di Malaysia. Nak pakai, pakai dan jangan menghukum orang lain.
Pada tahun 1988, saya
mengikuti kuliah Fiqah Harian Ustaz pada hari Rabu. Ustaz mengumumkan kuliah
ditangguhkan pada minggu berikutnya kerana dititah mengiringi Permaisuri Agong
berubat di luarnegara. Baginda permaisuri meminta ustaz untuk berdoa dan
membaca al-Qur’an sepanjang baginda menjalani pembedahan. Demikianlah
kepercayaan pemimpin negara terhadap keperibadian ustaz.
Sifat tawadhu’ ustaz begitu
terserlah hinggakan kad jemputan kahwin anak beliau hanya ditulis Ustaz Haron
Din dan Kak Jah mempersilakan…..
Generasi masakini memerlukan
pendidik agama seperti almarhum Ustaz Haron Din, Ustaz Mohd Nur Manuti,
almarhum Ustaz Abd Aziz hanafi, Prof Kamal Hasan, Dr Sidek Baba dan bukannya
ustaz celebriti, ustaz lawak jenaka dan yang seangkatan dengannya..
No comments:
Post a Comment