Wednesday, November 7, 2018

DOA APRESIASI PELAJAR TINGKATAN 5



Engkau Maha Mengetahui kami warga SMPN berhimpun dalam majlis Apresiasi Tingkatan 5 bagi mengenang, meraikan dan menghargai pelajar Tingkatan 5 calon SPM 2018.

Pelajar yang kami raikan telah berada selama 11 tahun dalam sistem pendidikan negara 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah di negara Malaysia.

Mereka melalui alam yang yang cukup indah bagi dikenang, mengikuti percambahan ilmu dalam medan intelek, memperkasa fizikal melalui aktiviti ko kurikulum , membaiki akhlak, mengasihi para guru, menyantuni kawan-kawan dalam persada pendidikan bagi mempersiap diri menjadi warga Malaysia baru penuh jati diri, menyintai negara, menjaga maruah bangsa, mempertahan watan penuh keimanan, meneruskan perjuangan nenek moyang bagi mewariskan negara tercinta ini dengan amat baik kepada waris seterusnya.

Kami mohon kepadaMu Ya Allah agar anak-anak didik kami ini menjadi insan-insan yang mampu memanfaatkan ilmu yang dipelajari bagi mencari bekalan hidup seterusnya, memamir akhlak terpuji anjuran Nabi dan menabur bakti demi pertiwi.

Engkau jadikan perjalanan hidup anak-anak kami di SMPN sebagai kenangan terindah dalam catatan suka duka kehidupan, pahit manis pembelajaran disulami kepenatan biasa seorang insan demi melakar kejayaan/.

Selamatkan anak didik kami dalam kehidupan mendatang penuh cabaran, menggapai impian penuh wawasan, budi pekerti mulia menjadi amalan agar Malaysia tetap harmoni serta mencintai keamanan dan kedamaian.     






No comments:

Post a Comment