Wednesday, August 24, 2011

DOA PENUTUPAN BULAN SAINS SOSIAL DAN PENGHAYATAN KEMERDEKAAN


Kami berhimpun meminta ampun, memohon restu, mengharap redha Mu dan menyusun segala rasa syukur kerana hanya Engkau sahajalah yang mengizinkan kami menjayakan Bulan Sains Sosial dan Penghayatan Kemerdekaan pada tahun 2011 ini.

Kami mohon Engkau berkati segala perencanaan yang diatur, semua perancangan yang disusun dan program yang dilaksanakan yang akan dirasmikan penutupannya sebentar lagi mendapat rahmat serta perlindungan dari Mu.

Bersempena dengan Bulan Penghayatan Kemerdekaan ini, kami pohon kepada Mu agar Engkau kurniakan kami nikmat keselamatan dan kesejahteraan serta lindungilah kami dari segala maksiat, perbuatan munkar dan bencana.

Bimbinglah anak bangsa kami agar mereka dapat memahami serta menghayati erti kemerdekaan sebenar, sentiasa bersyukur dengan nikmat kemerdekaan, menjunjung prinsip Rukunegara dan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan sebagai wahana keharmonian dan kemakmuran negara.

Cucurilah rahmat dan keampunan kepada para pejuang kemerdekaan terdahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Kenali serta para pejuang yang tidak kami kenali.

Lindungilah kami semua dari wabak penyakit, dari bencana peperangan yang menyiksakan dan dari segala fitnah dan perbalahan yang merugikan ummah.




























Friday, August 19, 2011

GIGIHNYA MUBALLIGH KRISTIAN



Sayyidina Ali pernah berkata: Kebenaran yang tidak dirancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang disusun dengan rapi. Maksudnya semua kita tahu iaitu benar tapi tidak dirancang dengan baik akan kalah dengan orang yang tidak benar namun menyusun strategi kerjanya.

Kata-kata ini diucap oleh baginda Sayyidina Ali selepas Perang Siffin dan Majlis Tahkim yang menyaksikan kemenangan lebih berpihak kepada Muawiyah.

Demikian kisah dua orang sahabat Rasulullah s.a.w. yang ulama tidak berani menghukum walau sebesar debu tapak kaki kuda yang berlari merentas padang pasir.

Antara pendakwah Islam dan penyebar ajaran Kristian, manakah yang lebih terancang? Jawabannya boleh sahaja diberikan oleh semua kita.

Penyebar ajaran Kristian menggunakan pendekatan lebih bersifat kemanusiaan. Mereka mencari golongan yang bermasalah yang perlu dibantu. Anak-anak orang miskin diberikan tuisyen percuma. Pada setiap ulangtahun kelahiran menghadiahkan wang tunai RM300 dan hadiah iringan, membantu menyelesaikan masalah hutang, memberi wang tunai bagi membeli makanan dan ubat-ubatan bagi mereka yang sakit, menyediakan pengangkutan percuma untuk ke gereja pada setiap minggu, menziarahi orang sakit, memberi perhatian kepada orang yang sedang nazak di wad hospital serta menghulurkan pertolongan kepada keluarga mereka. Semua ini mampu dilakukan kerana mereka adalah gerakan missionari yang mempunyai dana kewangan yang sangat besar di peringkat antarabangsa sehingga mampu membiayai keperluan dan membayar “gaji” para petugas tanpa mengira masa dan tempat.

Mereka bijak menggunakan “touching point” seperti pendidikan, kesihatan dan memerhatikan kebajikan kumpulan yang ingin ditarik.

Kepada golongan muda, yang suka bersosial kaedah “Social Club” sangat berkesan bagi merapati mereka. Remaja yang suka kepada hidup bebas lepas lebih mudah ditarik kerana mereka tidak mahu hidup mereka dikongkong dengan peraturan.

Kaedah memberi wang, rokok, pakaian dan barangan keperluan kepada orang asli oleh muballigh Kristian sejak sekian lama mudah difahami. Ini kerana masyarakat orang asli tidak dapat melihat secara abstrak akan kepentngan aqidah yang benar. Pernah dikatakan seorang pendakwah Islam membawakan hadis bermula dengan “Qala..” dan seorang penyebar Kristian mebawa “Coca Cola”..maka orang asli lebih berminat dengan Coca Cola.

Saya pernah diajar oleh pensyarah saya bahawa kita berdakwah mesti menggunakan pendekatan yang menyebabkan orang asli tertarik kepada cara hidup Islam bukan kerana material yang kita mampu berikan kepada mereka. Ini kerana penghayatan aqidah Islam berasaskan kepada keimanan yang teguh dan nilai ini jauh lebih bermakna daripada kepentingan hidup duniawi. Kisah sahabat yang sanggup meninggalkan hartabenda di Mekah demi berhijrah ke Madinah, sumbangan para sahabat untuk berjihad dan sifat zuhud yang melingkari hidup mereka menjadi penyuntik motivasi berdakwah.

Apakah pemikiran orang Melayu Islam kini sudah menyamai pemikiran orang asli pada satu masa dulu? Lebih mementingkan Coca Cola daripada “Qala..”.lebih penting rokok dari solat, lebih mahu wang daripada aqidah yang benar?





Saturday, August 13, 2011

ISU JAIS DAN PEMERIKSAAN KE ATAS PREMIS IBADAT KRISTIAN



Dalam zaman yang penuh putar belit yakni spinning ini marilah kita lihat salah satu isu yang menjadi bahan bagi mengelirukan ummah berselindung di sebalik niat jahat politik golongan tertentu hingga sanggup mengenepikan kebenaran dan yang paling kita runsing ialah soal serangan ke atas aqidah umat Islam.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mendapat maklumat mengenai aktiviti menyebarkan ajaran agama lain kepada umat Islam. Sebagai sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan menjaga hal-ehwal agama Islam, siasatan mesti dilakukan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan orang Islam) 1988.

Majlis yang dimaksudkan diberi nama Thanksgiving Dinner atau dalam Bahasa Melayunya Majlis Kesyukuran.

Ketika pemeriksaan dilakukan di premis tersebut, ada lebihkurang 100 orang di dalam dewan tersebut. Seramai 13 orang penguatkuasa JAIS dan 20 orang anggota polis terlibat dalam pemeriksaan tersebut.

Pasukan penguatkuasa JAIS dan polis menunggu di ruang legar lebih kurang 20 hingga 25 minit sebelum mereka dibenarkan masuk.

Tidak ada serbuan, tiada pintu yang dipecahkan, atau sebarang bentuk keganasan, sebaliknya hanya pemeriksaan, dan diperiksa Kad Pengenalan masing-masing, dan orang Islam diambil butiran lanjut.

Terdapat tiga orang lelaki, sembilan orang perempuan dan lapan kanak-kanak beragama Islam dalam kalangan hadirin.

Selain dari kehadiran penganut Islam, tentatif program serta soalan kuiz mengenai pengetahuan agama Islam menimbulkan kecurigaan kepada kita penganut agama Islam.

Agendadaily melihat sendiri tentatif dan kertas soalan yang dikatakan sebahagian bukti didakwa mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Tentatif tersebut menunjukkan program yang bermula dari jam 6.30 petang dan sepatutnya berakhir pada 9.55 malam. Dari ucapan pembukaan, hidangan makan malam dan persembahan musik pada jam 7.15 malam. Pada pukul 7.15 petang, jamuan makan dimulakan. Bagaimana dengan ibadat puasa pada hari tersebut?

Turut mencurigakan adalah, nyanyian 'Alhamdulillah dan Allahuakhbar' dan sesi sembahyang yang diakhiri dengan nyanyian lagu Sejahtera Malaysia.

Ada pula sesi soal jawab mengenai apa dia agama Islam, tindakan orang Kristian Methodist perlu melakukan perkara ini menimbulka tandatanya kepada kita.

Dalam kertas kuiz, soalan yang terpapar menjurus kepada fahaman agama Islam secara keseluruhannya seperti mengenai Nabi Muhammad, Al-Quran, Rukun Islam, kitab, solat dan lain-lain.

Kertas soalan kuiz tersebut terdiri daripada dua mukasurat mengandungi 12 soalan dan diberi kepada para hadirin majlis makan malam tersebut termasuk individu yang didakwa orang Melayu penganut beragama Islam.

Kertas tersebut mengandungi empat bentuk soalan iaitu isi tempat kosong, jawapan ya/tidak, padanan jawapan dan soalan anika pilihan jawapan.

Apabila JAIS masuk ke dalam dewan, kertas soalan sudah berkecai dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Ia kemudian telah disita oleh pihak JAIS untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah.

Persoalan saya:

1. Mengapa dan bagaimana orang Melayu beragama Islam boleh berada dalam perkumpulan tersebut dan apa tujuan mereka ke sana?
2. Mengapa dikemukakan soalan-soalan mengenai dasar dan prinsip ajaran Islam? Sekiranya inginkan penjelasan boleh dirujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.
3. Tentatif program tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan lantaran adanya orang Islam dalam program tersebut. Kalau ianya program dalaman mengapa ditanya soalan mengenai ajaran Islam?
4. Mengapa dibuang kertas soalan kuiz ke dalam tong sampah bila pegawai penguatkuasa masuk ke dalam dewan?

Rakyat Malaysia tidak begitu bodoh sehingga boleh dipermainkan sebegitu rupa. Gerakan missionary Kristian tidak pernah “cuti” dalam melaksanakan niat mereka.

HIKAYAT DARI LONDON


Pernahkah kita fikirkan padahnya bila kita mentertawakan orang lain kononnya orang yang kita ketawakan tidak mampu menyelesaikan masalah yang bagi kita begitu mudah untuk menanganinya.

Mungkin inilah yang patut kita katakan kepada negara Great Britain yang tebal dengan hak asasi manusia dengan kebebasan yang bernaung di bawah payung demokrasi ciptaan mereka.

Queen Elizabeth II memakai baju berwarna kuning sewaktu menerima kunjungan Datuk Seri Najib sebelum rusuhan tercetus.. Samada ianya sindiran kepada negara kita di hadapan PM kita atau sebaliknya dunia Melayu sekurang-kurangnya di Malaysia merasa tersindir sementara mereka yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0 seolah mendapat kekuatan semangat atas nama hak asasi manusia.

Allah swt menunjukkan keganasan yang berlaku di Kota London serta beberapa buah bandar di Britain lebih besar rusuhan termasuk melibatkan kecederaan dan kematian. Di negara kita, ada puak-puak yang inignkan kematian supaya dapat melemparkan tuduhan kononnya polis Malaysia bertindak ganas ke atas para perusuh.

Kalau dalam hidup seharian seseorang individu tidak mampu mengamalkan nilai murni apakah jaminan kita bahawa mereka akan “bersopan” dan mampu mengawal perasaan marah yang membuak-buak ketika berada dalam perhimpunan aman. Kalau mahu secara aman bukankah lebih baik diadakan dalam kawasan yang tidak menganggu ketenteraman awam seperti di stadium umpamanya.

Rusuhan tersebut membuka peluang kepada perbuatan mencuri dan merompak premis perniagaan dan pembakaran kenderaan, bangunan, pasar raya malah balai polis oleh ribuan perusuh itu, juga seharusnya membuka mata rakyat negara ini betapa cekap dan tepatnya tindakan polis di Malaysia dalam menangani perhimpunan haram pada 9 Julai yang lalu.

Rusuhan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak hati penduduk terhadap tindakan polis di Tottenham menembak mati seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah pada 4 Ogos.

Kira-kira 200 anggota keluarga lelaki dikenali Mark Duggan, 29, rakan-rakannya dan penduduk mengadakan perarakan bantahan yang bermula dengan tenang tetapi dalam beberapa jam kemudiannya bertukar menjadi rusuhan ganas.

Keganasan itu merebak ke beberapa bandar lain yang menyaksikan tindakan membakar harta benda awam, memecah masuk premis perniagaan dan merompak pelbagai barangan, malah ke tahap mengancam keselamatan dan nyawa pejalan kaki yang kebetulan lalu di situ.

Seorang pelajar Malaysia di London, Mohd Asyraf Haziq, 20, turut menjadi mangsa serangan ganas perusuh. Selain menjalani pembedahan rahang akibat dipukul, basikal dan beberapa barang lain miliknya telah dilarikan perusuh.

Rusuhan yang terburuk di England sejak beberapa abad itu mungkin disebabkan perusuh melihat polis di sana lemah. Ramai dari kalangan perusuh berkecenderungan untuk melakukan jenayah atau sememangnya penjenayah yang hanya menunggu kesempatan merompak.

Jika PDRM tidak bertindak cekap dan pantas menangani perhimpunan haram 9 Julai lepas, rusuhan seperti di sana boleh berlaku di Kuala Lumpur.

Anggota PDRM bersabar, bertindak tegas dan bijaksana sehingga perhimpunan haram selesai dalam masa beberapa jam sahaja dan tidak berhari-hari seperti di England.

Walau apapun puncanya. Kata Nurul Izzah punca perhimpunan di London akibat masalah ekonomi sedangkan di Malaysia terbit dari rasa tidak puashati penyokong pembangkang terhadap SPR. Soalnya, perhimpunan haram dengan janji secara aman bila disertai oleh mereka yang berkecenderungan mengganas akan memberi impak kepada keamanan serta keselamatan negara.

Sewaktu saya di Indonesia pada tahun 2000, kelihatan kumpulan “reformasi” sedang berarak ketika bersarapan pagi, seorang pekerja hotel beritahu saya, “Mereka dibayar untuk berarak”. Apakah di Malaysia juga dibayar?

Pembangkang terus ambil keempatan kata berapa banyak yang mesti dibayar kerana bilangan yang hadir terlalu ramai, jawab saya, mereka dibayar dengan janji-janji manis kalau PR berkuasa mentadbir Kerajaan Persekutuan. Kasihan mereka golongan kecewa yang tersisih dari arus perdana politik mahupun ekonomi. Jarang orang bersyukur atas apa yang mereka miliki hasil keamanan negara.

Thursday, August 11, 2011

LONDON BRIDGE IS FALLING DOWN







Saya pernah membaca sebuah buku yang menyebutkan bahawa Kota London sentiasa dekat di hati sesiapa sahaja di dunia ini. Mungkin penguasaan British sehingga 2/3 kawasan dunia sewaktu zaman penjajahan menyebabkan seluruh dunia merasa begitu.

Sejak zaman pentadbiran Margaret Thatcher "wanita besi" sudah dikatakan Britain bermain dengan polisi ekonomi yang sudah ketinggalan. Dasar Malaysia di bawah Tun Dr Mahathir "Buy British Last" menunjukkan kota "London Bridge" tidak lagi menjadi ikutan negara bekas tanah jajahan.

Zaman John Major seramai 30,000 pencari kerja merunsingkan pentadbiran kerajaan tuan tanah Commonwealth seperti kata Tun "but the wealth is not common".

Sebuah rencana pernah menceritakan mengenai keadaan tandas awam di Kota London yang menjadi tempat tidur kerana rakyat tidak mampu memiliki rumah. Seorang pelancong yang ingin membuang air terpaksa berjalan perlahan-lahan bagi mengelakkan "pengganas" yang sedang tidur terjaga dan mungkin mereka akan merompak. Demikian lah keadaan di negara yang membayar "gaji" kepada penganggur.

Kini masalah ekonomi negara "Great" mengundang rasa tidak puashati golongan remaja. Masuk hari ke lima rusuhan, seluruh dunia sedang memerhatikan negara yang pernah menakluk sebahagian benua di dunia satu ketika dulu..

Saturday, August 6, 2011

DOA PASAK TUJU GEMILANG


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kami berhimpun pada pagi ini menyatakan rasa syukur dapat menjayakan Program Pasak Tuju Gemilang anak-anak didik kami bersama ibubapa cemerlang.

Ya Allah Ya Aziz Ya Jabbar

Berilah kami kekuatan agar kami dapat menggunakan seluruh tenaga dan pemikiran menjana nafas baru bagi berkongsi ilmu dan maklumat menangani keperluan dan tuntutan semasa selari dengan era globalisasi masakini.

Ya Fattah Ya Alim

Engkau gembelingkan seluruh tenaga kami untuk melakukan anjakan paradigma bagi merealisasikan impian kami memperolehi skor sempurna pelajar-pelajar kami dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM bagi tahun 2011.

Allahumma Ya Zal Jalali wa al-Ikram

Engkau mantapkan hati kami dengan semangat memburu kejayaan, anugerahkan kami keupayaan berfikir melangkaui zaman, melakukan perancangan melepasi kebiasaan demi membuahkan keputusan yang gemilang.

Akhirnya Ya Allah,

Kami mohon pada Mu agar kami dapat mengaplikasikan pengisian program sepanjang hari ini dalam perjalanan harian hidup kami, membudayakan ilmu dalam kehidupan, bersandarkan adat dan hukum Tuhan, berpandukan hadis dan firman, melandasi hidup dengan akhlak dan ihsan bagi mendapat reda Ilahi.

Sunday, July 31, 2011

AGENDA KUASA MELAYU


Hari Sabtu lepas, saya berpeluang hadir dalam Majlis Bicara Eksklusif bersama seorang pemimpin kanan kerajaan.

Menurut beliau, keputusan PRU ke 12 pada tahun 2008 tidak terduga sebelumnya. Ianya bukan sahaja mengejutkan pemimpin dan penyokong BN tetapi juga memeranjatkan pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat. Sebagaimana UMNO dan BN tidak bersedia dengan kekalahan maka PR juga telah menang dalam keadaan tidak bersedia.

Realitinya:

1. Barisan Nasional telah dinafikan majoriti 2/3 penguasaan dalam Dewan Rakyat
2. Majoriti BN merosot hampir di semua tempat
3. BN terlepas lima buah negeri
4. Calon BN yang tidak pernah kalah sebelum ini sekurang-kurangnya kalah dalam dua peti undi dalam kawasannya

Persoalan yang berlegar di kotak pemikiran saya:

1. Adakah ini bermakna telah berlaku satu anjakan paradigma dalam pemikiran rakyat?
2. Adakah ini satu protes terhadap kepimpinan Pak Lah yang kebetulan menjadi Perdana Menteri pada masa itu?
3. Adakah ianya “bom jangka” yang telah dipasang pada masa pemerintahan Tun Dr Mahathir dan meletup pada waktu Pak Lah?
4. Adakah ianya manifestasi penolakan orang Melayu terhadap kepimpinan UMNO?
5. Benarkah kepercayaan orang Cina kepada parti MCA sebagai komponen BN telah terhakis sehingga menyebabkan mereka beralih mengundi DAP?
6. Apakah sokongan orang Cina terhadap BN telah berakhir menyebabkan mereka menggunakan kuasa undi untuk menjadi pemerintah pula bagi menggantikan kerajaan orang Melayu?
7. Apakah ini tanda awal ke arah penubuhan Republik Malaysia?

Menurut Tun Dr Mahathir, antara faktor kekalahan BN ialah sabotaj di kalangan ahli BN sendiri, Perak dan Kedah juga terlepas kerana sabotaj ahli UMNO di sana, faktor Tengku Razaleigh Hamzah di Kelantan serta kelantangan Tun Dr Mahathir sendiri yang mengkritik Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.

Kekurangan undi calon BN hampir sama jumlahnya dengan peningkatan undi parti pembangkang. Bukankah ini bermakna bahawa pengundi BN telah lari kepada parti pembangkang?

Satu lagi perkara yang menjadi sejarah ialah terdapat sebanyak 300,000 undi rosak. Mungkin ini jumlah yang paling besar dalam sejarah pilihanraya negara. Adakah kerana mereka tidak tahu cara mengundi yang betul setelah lebih 50 tahun dan telah melalui sebanyak 11 pilihanraya umum? Atau mereka terpaksa menghantar mesej dengan cara begitu sebagai peringatan kepada pucuk pimpinan negara?

Mungkin 300,000 orang ini adalah pengundi BN sebelumnya. Namun usaha mengenalpasti 300,000 orang perlu dilakukan bagi menarik mereka kembali ke pangkuan pengundi BN.

Touch point

Masalah ekonomi orang Melayu

Sasaran DEB untuk menjadikan orang Melayu memiliki 30% daripada ekuiti Negara tidak tercapai walauopun semangat DEB diteruskan dalam pengenalan dasar ekonomi seterusnya. Tidak dinafikan melalui dasar ini telah wujud jutawan serta usahawan Melayu tapi orang Melayu miskin bandar dan miskin luarbandar masih belum selesai.

Sekolah Cina

Orang Cina tidak berpuashati dengan bantuan kerajaan selama ini kepada sekolah-sekolah Cina. Mereka tetap mahukan penyaluran bantuan kepada sekolah-sekolah Cina yang jelas bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tanpa 10-15 peratus sokongan daripada pengundi Cina tidak dapat menjamin kemenangan calon BN dalam pilihanraya.

Serangan psikologi pengundi melalui media alternatif

Kuasa media alternaif mampu membentuk corak pemikiran serta sikap manusia. Kejatuhan beberapa negara Arab melalui saluran maya seperti facebook dan twitter dimanfaatkan melalui kemahiran spinning fakta dan imej termasuk klip video.

Pengundi Tamil

Sebagai kaum minoriti dalam negara, sokongan orang India bergantung kepada kelompok politik yang dapat memberikan bantuan kebajikan kepada kaum yang membentuk 8% daripada populasi rakyat.

Harga barang naik

Sebarang kenaikan harga barang memberi kesan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Walaupun pihak kerajaan boleh memberi pelbagai alasan mengenai kenaikan harga barangan keperluan, rakyat menuntut slogan “Rakyat Didahulukan.”

Konsep Negara Berkebajikan

Pengisytiharan konsep Negara Berkebajikan menunjukkan kononnya PAS bukan golongan pelampau, extremist dan bersifat perkauman sempit. Penggunaan istilah ini menarik minat orang bukan Melayu dan penerangan kepada orang Melayu pula istilah “Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur” digunakan sebagai konsep yang tertera dalam al-Qur’an.

Aspirasi pengundi muda

Antara ciri pengundi muda ialah mereka terdiri dari kalngan professional serta mempunyai kemahiran ICT sebagai wahana menyampaikan pemikiran dan rasa hati mereka. Dunia cyber juga memberi kesan kepada keputusan pilihanraya lalu.

Strategi memenangi hati rakyat

YAB Perdana Menteri Malaysia telah menyebutkan samada “Berubah atau Rebah.” Juga “Change or to be changed.”

Ianya menuntut kepada proses transformasi melibatkan transformasi dalam politik (PTP), dalam bidang ekonomi (ETP) dan dalam bidang sosial (STP). Baru-baru ini PM telah mengeluarkan arahan supaya ETP (Economic Transformational Programme) dibuat dalam bahasa Melayu.

Sejauhmanakah program transformasi serta NKRA dapat mengembalikan sokongan kepada BN dalam PRU 13 perlu dibuat secara teliti dan tuntas bagi meyakinkan rakyat.