Thursday, November 25, 2010

KISAH 3 PEMUDA HITAM

Pada zaman dahulu, ada 3 orang pemuda berkulit hitam. Mereka bertiga adalah sahabat setia yang sentiasa bersama walau ke mana sahaja mereka pergi.


Pada satu hari, sedang mereka berjalan di tepi pantai, mereka terjumpa dengan sebuah botol yang agak pelik rupanya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk membuka botol tersebut.


Bila terbuka sahaja penutup botol itu, keluarlah asap yang kemudiannya bertukar menjadi jin.


Jin itu pun ketawa dan berkata ''Oleh kerana kamu bertiga telah membebaskan aku, aku akan penuhi permintaan kamu. Setiap kamu hanya boleh minta satu permintaan sahaja''


Jin bertanya kepada pemuda yang pertama, ''Apa yang kamu mahu?''


Pemuda yg pertama menjawab: ''Aku mahu kamu tukarkan kulitku yg hitam ini menjadi putih melepak''


Kata jin,''Itu senang sahaja.'' Pemuda pertama berubah menjadi putih dan kacak.


Pemuda pertama memandang kepada dua orang kawannya yg berkulit hitam,''Lihat aku sekarang sudah putih dan cantik tidak seperti kamu berdua.''


Jin bertanya pula kepada pemuda yang kedua,''Apa pula permintaan kamu?'' Jawab pemuda kedua,''Aku mahu kulitku menjadi lebih putih daripada dia'' sambil menunjuk kepada pemuda pertama tadi.


Jin pun menukarkan pemuda itu seperti permintaannya. Pemuda yg kedua itu berasa sangat seronok dengan perubahannya itu dan kedua-dua pemuda yang telah bertukar menjadi putih itu mentertawakan pemuda ketiga yang masih hitam kulitnya.


Jin pun bertanya kepada pemuda yang ketiga pula,''Tinggal kamu sahaja yang belum minta dariku, apa pula yg kamu mahu?''


Lalu jawab pemuda ketiga,''Wahai jin! Kamu tukarkan kedua-dua mereka kembali hitam bahkan lebih hitam daripada sebelumnya.'' Maka hitamlah kembali kulit kedua-dua pemuda tadi.


Apa pengajaran kisah ini?


Pemuda pertama adalah contoh seorang insan yg tidak bersyukur, pemuda kedua tidak boleh melihat orang lain melebihi segala-galanya daripadanya sementara pemuda ketiga busuk hati dan tergamak tidak mendapat apa-apa nikmat asalkan hatinya puas melihat orang lain ''jatuh'' dan sama-sama tidak mendapat apa-apa lantaran sifat dengki atau irihatinya.


Akhirnya permintaan semua mereka menjadi sia-sia sahaja lantaran sifat mazmumah yang masih bersarang dalam lubuk sanubari mereka.


Adakah orang Melayu termasuk ke dalam golongan pengamal sifat tercela ini?

MASALAH 3M LAGI

Memang mengejutkan bila kita dengar lebih 54000 murid tidak dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira setelah 6 tahun berada di sekolah lebih2 lagi dalam zaman ledakan maklumat dan kecanggihan teknologi ini.

Sudah pasti terdapat beberapa faktor yang boleh kita senaraikan namun apa yg penting ialah usaha mengenalpasti punca masalah dan langkah bagi menangani perkara tersebut.

Kementerian Pendidikan melalui pelaksanaan pendekatan Linus (Literasi dan Numerasi) dalam Program Transisi dapat dikatakan satu usaha yang sangat baik bagi mengenalpasti punca masalah tersebut.

Ini merupakan reformasi dalam sistem pendidikan negara bagi mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan penduduk negara.

Murid-murid ini akan melalui Ujian Saringan dengan kekerapan dan tempoh tertentu bagi mendiagnos tahap penguasaan mereka.

Kepentingan program pendidikan peringkat sekolah rendah sangat penting sebagai asas kepada pembinaan modal insan hinggakan saya pernah terbaca seorang pakar menyimpulkan bahawa kita sebenarnya boleh mengagak apakah profession yang akan menjadi masa depan murid apabila umurnya mencecah 12 tahun. Teori sarjana ini sudah cukup menjadi asas walaupin mungkin tidak boleh secara mutlak diangkat sebagai indikator sebenar pencapaian murid dalam hidup mereka.

Cuba bayangkan kanak-kanak yg tidak menguasai kemahiran mengira yang mudah - campur, tolak, kali dan bahagi mampu mentafsir data pertumbuhan ekonomi dan peningkatan dalam eksport komoditi utama negara dalam kelas statistik nanti bila meningkat ke peringkat pengajian tinggi.

Antara perubahan dalam program transisi ialah ada murid yang akan mengulang peringkat Darjah 6 sekiranya iudak mencapai tahap yang disasarkan dan mereka yg tidak mampu meneruskan pelajaran dalam bidang akademik akan disalurkan lebih awal ke sekolah vokasional iaitu Tingkatan 1 berbanding selepas SRP pada tahun2 70 dan 80an dulu.

Tugas berat ini memerlukan kesediaan pengorbanan para guru dengan kerjasama erat dari kalangan ibubapa. Sama-samalah kita bantu visi dan misi pendidikan negara.

Wednesday, November 24, 2010

PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN YANG MELINDUNGI KEDUDUKAN AGAMA ISLAM



Artikel 3 (1) Islam sebagai agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Ulasan:

Islam adalah agama bagi Persekutuan dan diperkukuhkan lagi dengan peruntukan-peruntukan lain yang digubal dalam perlembagaan.

Artikel 12 (2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Ulasan:

Peruntukan ini memberi kuasa kepada Persekutuan dan Negeri menubuhkan institusi-institusi Islam, mengadakan ajaran agama Islam dan menggunakan peruntukan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk dibelanjakan bagi mengadakan majlis berkaitan agama Islam.

Artikel 74 (2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana perkara lain, Badan Perundangan sesuatu negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.

Ulasan:
Perlembagaan memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk menubuh, mengurus, mentadbir dan menyelenggarakan Mahkamah Syariah.
Artikel 121 (1A) Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Ulasan:

Peruntukan yang digubal pada tahun 1988 ini memberi kuasa tertinggi kepada Mahkamah Syariah mengenai Islam (satu peruntukan yang melindungi bidang kuasa Mahkamah Syariah).

Artikel 160 (2) Orang Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan-

(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian

Ulasan:

Takrif orang Melayu dikaitkan dengan agama Islam.

Artikel 150 (6A) Fasal (5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau Adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan juga Fasal (6) tidak boleh menjadikan sah mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan perlembagaan ini yang berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa.

Ulasan:

Islam turut dilindungi ketika darurat yang menyekat kuasa Parlimen daripada menganggu apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau mengubah apa-apa perkara berhubung dengan agama seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan.

Artikel 11 (4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya , undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Ulasan:

Usaha untuk menyebarkan doktrin atau dakyah agama lain kepada orang Melayu yang beragama Islam boleh disekat bagi menjaga kemurnian aqidah bagi mempertahankan takrifan Melayu seperti dalam artikel 160 (2).


CARA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MELINDUNGI KEDUDUKAN ISLAM DI MALAYSIA

1. Meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan peruntukan ini membolehkan kedudukan agama Islam diperkukuhkan melalui peruntukan perlembagaan yang lain.
2. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri boleh menubuhkan dan menyelenggara institusi-institusi Islam
3. Peruntukan kwangan kerajaan boleh disalurkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti Islam termasuk sambutan perayaan hari-hari kebesaran Islam.
4. Individu dan mana-mana organisasi boleh mengajar agama Islam sudah pasti dengan mendapat kelulusan (tauliah) daripada kerajaan.
5. Kerajaan boleh menubuhkan Mahkamah Syariah dan melantik pegawai bagi memastikan keadilan dari sudut Undang-undang Syarak terlaksana dalam kalangan umat Islam.
6. Mahkamah Syariah mempunyai kuasa membicarakan perkara di bawah bidang kuasa Mal dan Jenayah Syar’ie dan ianya tidak boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Sivil.
7. Kedudukan Mahkamah Syariah sama taraf dengan Mahkamah Sivil di mana sebelum ini keputusan mahkamah Syariah boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil.
8. Seseorang itu ditakrifkan sebagai orang Melayu sekiranya beragama Islam sahaja dan ini berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu melalui artikel 153.
9. Kedudukan agama Islam terpelihara dan tidak boleh digugat walaupun ketika dalam keadaan darurat.
10. Orang Islam boleh berdakwah kepada orang bukan Islam sebaliknya orang Melayu tidak boleh ditukar iktiqad mereka kepada agama selain Islam kerana dilindungi oleh perlembagaan.

Monday, November 22, 2010

KEUNIKAN INSTITUSI RAJA DI MALAYSIA

1. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan.

2. Amalan demokrasi tidak sahaja diamalkan dalam pemilihan Ahli Dewan Rakyat tetapi juga diamalkan dalam pemilihan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara.

3. Peraturan-peraturan dalam pemilihan Yang Dipertuan Agong adalah seperti berikut:

i. Hanya Raja-raja Melayu sahaja yang layak bertanding.
ii. Hanya Raja-raja Melayu sahaja yang dibenarkan mengundi.
iii. Menurut lazimnya, Raja Melayu (Sultan) yang paling kanan (senior) akan dipilih.
iv. Tuan Yang Terutama Yang DiPetua Negeri-negeri turut hadir dalam majlis pemilihan/pengundian.
v. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan hadir bersama Raja-raja Melayu
vi. Kertas undi bagi pemilihan YDPA tidak diberikan nombor.
vii. Raja yang paling muda antara Raja-raja Melayu dipilih untuk mengira undi bersama dengan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja
viii. Raja atau Sultan yang layak dipilih menjadi YDPA kecuali raja yang masih belum cukup umur dan baginda telah memaklumkan Penyimpan Mohor Besar bahawa baginda tidak mahu bertanding.
ix. Raja-raja Melayu yang tidak berhajat untuk bertanding akan memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan giliran negeri baginda diletakkan di senarai bawah.
x. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan memaklumkan keputusan pemilihan YDPA secara bertulis kepada Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Perdana Menteri Malaysia.

(Sumber Tun Suffian Hashim mantan Ketua Hakim Negara)

PENDULU DALAM MENULIS RENCANA

1. Pendulu lukisan

“Hari sudah siang, kesibukan di kompleks MDP sudah dimulai. Namun bangunan bertingkat empat itu senyap. Para petugas keamanan di lobi tetap tekun, biarpun pengnnjung sepi.

Gedungnya sendiri terlihat gagah dan mewah. Berada di sebelah utara bangunan Nusantara, bangunan ini didominasi warna krim.. Dari luar, gedung ini tampak siap dipakai. Nah inilah gedung buat para anggota perwakilan Daerah, senator yang terpilih dari seluruh pelosok Indonesia.”

2. Pendulu soalan

“Telur rebus tidak berbahaya”

“Sejauh manakah telur berbahaya pada kesihatan sesetengah orang sehingga ramai kni meragui untuk mengelak memakannya?” (Munir Ghazali: Mastika).

3. Pendulu kutipan

“Imelda Marcos: Isteri pemimpin Asia paling boros”

“Selepas pemberontakan kuasa rakyat menggulingkan kerajaan Presiden Marcos di Filipina pada tahun 1986, Istana Malacanang dibuka kepada orangramai untuk memperlihatkan pembaziran isterinya, Imelda.

Antara bahan yang dipamirkan ialah koleksi barang peribadi Imelda terdiri daripada 3000 pasang kasut, 2000 helai gaun labuh, 1000 helai seluar ketat yang masih belum dibuka bungkusannya, 200 helai seluar bengkung berjenama Mark & Spencer dan 500 helai coli termasuk sehelai coli kalis peluru…semasa berkuasa sebagai Wanita Pertama pada zaman pemerintahan Marcos selama 20 tahun, Imelda memang dikenali dengan sifat borosnya.”

4. Pendulu ringkasan

“Petani hadapi tiga cabaran penting.”

“Sejak beberapa tahun lalu, kedudukan petani agak tenggelam dalam arus kemajuan industri negara ini. Sumbangan petani dalam pertanian kepada pembangunan negara, jarang diberi perhatian serius kerana bidang itu lebih menumpukan kepada gunatenaga manusia berbanding bidang industri yang menekankan kejenteraan sains dan teknologi.”

(Abd Razak Jaafar)


5. Pendulu penglibatan peribadi

“Tak terbayangkan rumah itu kini musnah! Sebulan lalu saya masih bisa tidur nyenyak di lotengnya kini tinggal selembar dinding menuding langit.”

6. Pendulu madah, peribahasa, pantun atau perumpamaan.

“Ibarat mencari jejak di lumpur basah. Itulah tamsil perkara perburuan dua terroris Azhari an Noordin Md Top..”

7. Pendulu perwatakan

“Raut mukanya yang agak bulat, kening yang lebat, kumis yang yang tebal dan dipenuhi …. “

8. Pendulu dialog

“Di mana anakku..di mana anakku..perempuan 35 tahun itu meluncurkan kata-kata dalam bahasa Aceh berulangkali..perempuan itu tak peduli orang di sekelilingnya…”

(Dipetik dari buku Buat Duit Dengan Menulis terbitan PTS Pendidikan karangan Jeniri Amir,Ph.D)

Friday, November 19, 2010

KAEDAH DAN ADAB TADARUS AL-QUR'AN

  1. MENGAMBIL WUDUK TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENYENTUH MASHAF AL-QUR’AN.
  2. DISUNATKAN MENGADAP QIBLAT SEKIRANYA MEMBACA SEORANG DIRI.
  3. SEMUA AHLI KUMPULAN TADARUS DUDUK DALAM BULATAN ATAU HALAQAH DALAM JARAK YANG BERSESUAIAN AGAR BACAAN DAPAT DIDENGAR OLEH SEMUA AHLI.
  4. SEMUA AHLI HALAQAH TADARUS AKAN MEMBACA AYAT-AYAT SUCI AL-QUR’AN SECARA BERGILIR-GILIR DAN BACAAN AKAN DISEMAK OLEH AHLI-AHLI YANG LAIN. BACAAN SECARA TALAQQI MUSYAFAHAH INI ADALAH AMALAN TAHUNAN NABI MUHAMMAD S.A.W. BERSAMA MALAIKAT JIBRIL A.S. SEWAKTU HAYAT BAGINDA.
  5. BACAAN MESTILAH MENGIKUT HUKUM TAJWID DAN TIDAK DIBACA TERLALU LAJU SUPAYA CEPAT HABIS.
  6. SEMUA AHLI HALAQAH BERLAPANG DADA MENERIMA TEGURAN DARIPADA AHLI-AHLI YANG LAIN DEMI MENINGKATKAN MUTU BACAAN AL-QUR’AN.
  7. SEKIRANYA QARI MEMBACA AYAT SAJADAH, QARI DAN AHLI HALAQAH YANG LAIN BERSAMA-SAMA SUJUD MENGADAP KIBLAT.
  8. SEBAIK-BAIKNYA HALAQAH TADARUS MENUMPUKAN KEPADA BACAAN SEMATA-MATA DAN BOLEH DICARI MASA LAIN YANG BERSESUAIAN BAGI MAKSUD MEMPELAJARI TAFSIRAN AYAT YANG DIBACA.

WALLAHU A’LAM.

SOLAT DAN KESIHATAN

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:

AKTIVITI OTOT - Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

ISYARAT OTAK - Ng Siew Chok

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

KOMPOSISI TUBUH - Dr Fatimah Ibrahim

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.