Tuesday, December 29, 2009

PUISI TERPILIH

Kalau cerdik hendakkan rundingan
Kalau tegap buat penopang
Kalau kaya hendakkan emasnya
Kalau miskin hendakkan kerjanya
Kalau alim hendakkan doanya
Kalau jahil hendakkan aminnya
Kalau guru hendakkan ilmunya
Kalau pelajar hendakkan kejayaannya

-Cikgu Zulaiha Paikon

DOA MESYUARAT GURU PERTAMA 2010

Ya Allah kami merafakkan kesyukuran di atas keizinan-Mu untuk kami meneruskan perjuangan hidup pada tahun 2010 dengan penuh kenikmatan dan kesejahteraan . Segala puji dan puja pada Mu Ya Allah Engkau izinkan kami menghadirkan diri , emosi dan roh kami supaya kami dapat menyempurnakan tugasan dan amanah dengan jaya.

Justeru itu, kurniakanlah kami kecintaan, keinginan dan kecenderungan bekerja dengan penuh iltizam dan dedikasi untuk mencapai kecemerlangan sepanjang tahun. Kurniakanlah kepada kami kesatuan hati dan perasaan dalam mengurus dan mengemudi organisasi kami ke arah memberikan kualiti pendidikan terbaik sepertimana hasrat kerajaan yang didokong bersama tanpa mengira latarbelakang dan kepercayaan anak murid kam

Jadikanlah kami para guru sentiasa ikhlas sewaktu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran, sentiasa memberi galakan dan pengharapan kepada anak didik kami, bersaing ke arah kecemerlangan secara sihat tanpa meninggalkan perasaan sentiasa ingin menghulurkan bantuan demi merealisasikan institusi pendidikan kami sebagai sebuah institsi kemasyarakatan yang disegani.

Jadikanlah kami pada awal tahun kebaikan, di pertengahannya keberkatan, dan disudahi dengan keampunan-Mu . Dan juga jadikanlah hari-hari yang kami lalui sepanjang tahun 2010 permulaannya hidayah, pertengahannya kemenangan dan diakhiri dengan kecemerlangan .

Ya Allah, kurniakanlah kami kekuatan kesatuan ashabul kahfi, sehingga kami mampu menunaikan segala tanggungjawab dan amanah menerusi kerja berpasukan , Suburkanlah hati-hati kami dengan berbaik sangka ,berlapang dada, bantu membantu, sokong mendokong rakan seperjuangan kami sehingga kami dapat menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.

Ya Allah, jadikanlah tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lepas dan jadikanlah hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari-hari yang telah berlalu. Amin Ya Rabbal Alamin.


Sunday, December 27, 2009

DOA IBU UNTUK ANAKNYA

Al-Rubai binti An-Nadhr ialah seorang wanita yang solehah. Adik-beradik beliau ialah Anas dan Ummu Hakim. Bapa saudaranya ialah Anas bin Malik iaitu seorang perawi hadis. Beliau adalah pembantu kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Ar-Rubai merupakan antara wanita yang awal memeluk Islam. Beliau berkahwin dengan Suraqah bin al-Haris an-Najjari. Hasil perkahwinan mereka lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Harisah.

Ar-Rubai atau dikenali dengan panggilan Ummu Harisah adalah seorang ibu yang bijak dalam mendidik anaknya. Beliau selalu mendoakan agar anak lelakinya itu menjadi seorang pahlawan Islam yang handal apabila dewasa nanti.

"Harisah, sekarang kamu sudah besar. Ibu mahu kamu ikut Nabi Muhammad berperang," kata Ummu Harisah kepada anaknya.

"Ibu, saya belum biasa memegang pedang. Apatah lagi menunggang kuda atau memanah," balas Harisah pula.

"Itu tidak menjadi masalah wahai anakku. Nabi Muhammad s.a.wuu. boleh menolong kamu. Ibu percaya Nabi Muhammad boleh menyelesaikan masalah kamu ini," kata Ummu Harisah.

"Baik ibu. Saya akan belajar bersungguh-sungguh teknik dan cara peperangan yang betul," jelas Harisah dengan bersemangat.

Harisah seorang anak yang soleh dan taat kepada ibunya. Berkat nasihat dan doa dari ibunya, Harisah akhirnya menjadi seorang pemuda yang gagah berani.

Anaknya itu tidak gentar menghadapi musuh. Bahkan dia sering mengharapkan untuk mati syahid di medan perang.

Pada suatu hari Nabi Muhammad berjumpa dengan Harisah lalu bertanya, "Apa khabar sekarang?"

Lalu Harisah menjawab, "Saya sihat dan sejahtera ya Rasulullah. Saya kini sudah benar-benar merasakan betapa agungnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Hidup dan mati saya hanya kerana Allah," kata Harisah.

Nabi Muhammad pun berkata lagi, "Hati awak kini sudah dipenuhi dengan keimanan kepada Allah".

Harisah bertambah semangat mendengar kata-kata Nabi Muhammad lalu dia menyambung lagi, "Wahai Rasulullah! Tolong doakan semoga saya berjaya mengalahkan musuh di medan perang. Sekiranya saya gugur di medan perang, doakan saya gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid".

Nabi Muhammad pun mendoakan semoga Harisah menjadi seorang yang syahid dalam peperangan melawan musuh Islam. Tiba masanya tentera Islam menghadapi musuh di Perang Badar iaitu pada tahun 2 Hijrah. Ummu Harisah tidak mahu anaknya melepaskan peluang keemasan itu untuk berperang bersama Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda.

"Wahai Harisah, pergilah ikut Nabi Muhammad dan tentera Islam yang lain ke medan perang Badar. Berjuang sehabis-habisan demi menegakkan agama Islam," kata Ummu Harisah kepada anaknya.

"Doakan semoga tentera Islam berjaya di medan perang Badar wahai ibu," kata Harisah sambil berjabat tangan lalu mencium tangan ibunya.

Harisah pun berangkat bersama angkatan tentera Islam ke medan Perang Badar.

Berkat doa Nabi Muhammad akhirnya Harisah mati syahid di medan Perang. Berita kematian anaknya sampai kepadanya. Ummu Harisah menerima berita itu dengan tenang. Dia berdoa semoga anaknya dimasukkan ke syurga.

Ummu Harisah terus berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata, "Ya Rasulullah! Bagaimana keadaan Harisah sekarang? Sekiranya dia kini berada di syurga alangkah gembiranya saya. Tetapi jika sebaliknya saya amat sedih mendengar kematiannya".

Rasulullah s.a.w. tersenyum lalu baginda bersabda, "Wahai Ummu Harisah, anak kamu kini sedang berseronok di dalam syurga Firdaus".

Alangkah gembiranya hati si ibu apabila mendengar Rasulullah s.a.w. menyebutkan demikian mengenai anaknya itu.

"Alhamdulillah. Cita-cita Harisah untuk mati syahid akhirnya tercapai. Harisah kini bahagia di syurga yang paling tinggi," kata Ummu Harisah sendirian.

Ummu Harisah juga meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. sepertimana juga Anas bin Malik r.a.

Sepanjang hidupnya Ummu Harisah banyak menghabiskan masa dengan melakukan amal ibadah kepada Allah.

Alangkah berbahagia ibu dan anaknya ini yang berada di dalam keredhaan Allah s.w.t. Kasih ibu membawa ke syurga.

MASA YANG LEPAS TAK AKAN KEMBALI

Anas bin Malik r.a. menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (riwayat Tarmizi)

Berdasarkan hadis di atas, masa dirasakan berlalu amat pantas. Masih terbayang kita seolah baru sahaja menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1430 kini kita telah berada pada tahun 1431H.

Peringatan Rasulullah s.a.w. tersebut seharusnya membawa kita kepada hakikat akan dunia ini sudah tersangat tua dan telah sampai ke penghujung usianya.

Dengan beralihnya masa ke tahun baru maka bemakna semakin bertambah usia kita justeru semakin hampirlah kita dengan saat-saat yang pastinya tidak dapat dielakkan oleh kita apabila tiba waktunya iaitu mati.

Selain daripada mencipta pelbagai logo, slogan dan kata-kata indah bagi menggambarkan azam kita samada azam baru mahupun azam yang dperbaharui, sudahkah kita atau masih ingatkah kita untuk melakukan "muhasabah diri"?

Sudah cukupkah amalan kita?
Sudahkah kita bertaubat?
Sekiranya kita meninggal dunia hari ini, layakkah kita menjadi penghuni syurga?
Sanggupkah kita menanggung malu apabila rekod amalan kita dibacakan di Padang Mahsyar nanti?
Sanggupkah kita menahan azab api neraka yang kepanasannya jauh melebihi kepanasan api dunia?

Maksud Firman Allah di dalam al-Qur'an:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dilakukannya (sebagai persiapan) untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri , mereka itulah orang-orang yang fasiq. Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah mereka yang benar-benar beruntung).

Terjemah tafsir Surah al-Hasyr ayat 18-20


Abu Hurairah r.a menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hari Qiamat tidak akan berlaku sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku al-Harj. Sahabat bertanya, Apakah al-Harj itu hai Rasulullah? Nabi menjawab, peperangan demi peperangan demi peperangan". (riwayat Ibnu Majah)

Nabi s.a.w. telah mengingatkan kita lebih 1400 tahun dahulu akan fenomena ini. Peperangan dan bencana alam membuktikan akan peringatan baginda tersebut. Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran daripadanya?

Masa semakin singkat dan pantas berlalu. Apakah kita lebih cenderung agaknya ke arah keseronokan dan hiburan berbanding aktiviti yang dapat membina akal budi seperti menimba ilmu serta mempertingkatkan kemahiran bagi mendepani cabaran mendatang?

Maksud hadis Rasulullah s.a.w.: Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang. (riwayat Imam Bukhari).

Kesihatan yang ada tidak dimanfaatkan bahkan tidak dijaga dengan baik dan masa lapang yang ada tidak diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Demikian peringtan Nabi s.a.w. untuk umat yang sangat dicintai baginda.

Maksud hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah". (riwayat Al-Hakim).

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Hijrah dan Masihi ini di samping mengenang berlalunya tahun 2009M dan 1430H, moleklah kita bermuhasabah:

Cukupkah solatku pada tahun lepas?
Penuhkah puasaku pada tahun lalu?
Pernahkah aku menyesali dosa-dosaku?
Banyakkah aku membaca al-Qur'an atau lebih banyak membaca blog yang tidak memperkuatkan iman?
Pernahkah aku menangis kerana takutkan azab Allah di akhirat?

Diriwayatkan bahawa malaikat maut datang bertemu Nabi Yaakub a.s. Nabi Yaakub a.s. pun bertanya: "Wahai malaikat maut, apakah kamu datang ini kerana ingin mencabut nyawaku atau pun untuk menziarahiku? Malaikat menjawab: Kedatanganku ini hanyalah untuk menziarahmu sahaja. Nabi Yaakub berkata: Aku ada satu permintaan darimu. Malaikat maut bertanya pula: Apakah permintaanmu itu wahai Nabi Yaakob? Jawab baginda: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu. Kata malaikat maut: Baiklah! Kemudian malaikat maut pun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub. Lalu Nabi Yaakub bertanya: Kamu datang untuk menziarah atau mencabut nyawaku? Kata malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu. Lalu kata Nabi Yaakub: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya aku dapat bersedia dengan menambah ketaatan dan amal kebaikan? Jawab malaikat maut: Aku telah pun lakukannya. Kata Nabi Yaakub: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku. Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan belakangmu yang bongkok".

Sama-samalah kita ingat-mengingati bahawa sesungguhnya masa yang lepas tidak akan kembali lagi.

SELAMAT TAHUN BARU MASIHI DAN MAAL HIJRAH.

NIKMAT AKAL

Saidina Ali karramallahu wajhah telah berpesan kepada anak baginda iaitu Hasan bin Ali. Kata baginda, "Akal adalah kekayaan yang paling besar diberikan oleh Allah kepada manusia."

Manusia dilantik oleh Allah Taala sebagai khalifah di atas mukabumi ini. Perlantikan sebagai khalifah ini bersesuaian dengan fitrah penciptaan manusia itu sendiri. Allah menghendakki insan menjadi khalifah lantaran itu Allah Taala mempersiapkan manusia dengan segala sifat-sifat yang melayakkan insan melaksanakan tugas sebagai khalifah.

Di dalam Surah al-Baqarah, Allah Taala telah menjelaskan bahawa Dia akan menciptakan insan sebagai khalifah di atas mukabumi. Para malaikat yang inginkan penjelasan lanjut bertanya kepada Allah apakah akan dijadikan sejenis makhluk yang nantinya melakukan kerosakan di atas mukabumi dan menumpahkan darah. Allah Taala menjawab bahawa Dia Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh semua makhlukNya.

Kemudiannya, Allah Taala telah memerintahkan Adam supaya mengajar kepada para malaikat nama-nama kesemuanya (al-asma'a kullaha). Kemampuan insan memberikan nama atau memberikan makna inilah yang melayakkannya menanggung tugas sebagai khalifah.

Antara tugas utama kekhalifahan insan ialah memakmurkan alam. Bagi melaksanakan tugas memakmurkan alam, insan diberikan akal. Dengan akal, insan mempunyai sudut pandangan (world view), mampu mentafsir, boleh menjangka dan meramal, membuat kesimpulan, mempunyai sifat ingin tahu bagi mencari jawapan kepada setiap persoalan yang wujud di alam nyata. Dengan kekuatan akal juga, insan bisa mencipta idea mahupun alat sebagai memenuhi fungsi kreativiti, berkeupayaan untuk melakukan penambahbaikan agar dapat melakukan inovasi dan kemampuan imaginasi menjadikan mimpi sebagai realiti.

Apa yang pada suatu ketika dahulu hanya mimpi seperti angan-angan manusia untuk terbang setelah melalui proses kreativiti dan inovasi telah membawa kepada penciptaan pesawat terbang. Angan-angan untuk berjalan meneroka alam di dalam lautan seperti yang diimpikan dalam buku Round The World In Eighty Days telah menjadi kenyataan pada hari ini.

Sekiranya insan tidak diberikan akal oleh Allah Taala maka kesemuanya ini tidak akan berlaku.

Dalam konteks ibadah khusus pula, akal berperanan dalam menentukan samada seseorang hamba wajib melaksanakan ibadah atau tidak. Muslim yang tidak berakal tidak diwajibkan untuk melakukan ibadat-ibadat tertentu. Solat tidak wajib ditunaikan oleh mereka yang hilang akal atau tidak siuman sementara ibadat haji terangkat kefarduannya kepada mereka yang tidak cukup akalnya.

Insan terbeza dengan haiwan kerana kemampuan akal, malaikat tidak diberi peluang memakmurkan alam kerana diciptakan bukan untuk berfikir bahkan untuk menurut sahaja tanpa bantahan, iblis tidak layak lantaran diciptakan daripada api yang panas membakar pastinya tidak setanding dengan kemampuan akal insan.

Islam juga mengharamkan pengambilan makanan dan pengamalan aktiviti yang bole merosakkan kehebatan akal.

Di dalam al-Qur'an, banyak ayat-ayat yang mencabar insan supaya menggunakan fakulti akal mereka dengan ayat-ayat seperti,"Apakah kamu tidak berfikir?" "Apakah kamu tidak berakal?""Ambillah pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai pandangan""Ambillah iktibar wahai orang-orang yang mempunyai pengetahuan."

Di antara kebijaksanaan akal ialah mengetahui batas kemampuan akal yang dijadikan Allah s.w.t. dan wahyu mesti memandu perjalanan akal. Wallahu a'lam.










Friday, December 25, 2009

FATWA DAN MUFTI

Menurut Ensaiklopedia Islam, definasi fatwa ialah keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan) berdasarkan al-Quran, hadis dan sumber hukum lain termasuk ijtihad mufti (atau mereka yang berhak tentang membuat keputusan hukum syarak).

Pada zaman Rasulullah s.a.w., segala permasalahan yang timbul begitu mudah untuk mendapat jawapannya. Segala kemusykilan segera akan mendapat jawapan kerana Rasulullah s.a.w. masih hidup dan segala keputusan baginda adalah muktamad.

Para sahabat ridhwanullahi alaihim mendapat penjelasan yang sungguh tepat dan memuaskan hati mereka lantaran jelasnya penerangan daripada Rasulullah s.a.w. Tempoh selama 23 tahun pengutusan Rasulullah s.a.w. sudah cukup bagi menjelaskan prinsip-prinsip Islam atau hukum-hukum Islam untuk dilaksanakan sepanjang zaman hingga ke saat-saat akhir kewujudan dunia ini iaitu Qiamat.

Selain penerangan Rasulullah s.a.w. yang sangat jelas berkaitan dengan prinsip aqidah dan syariah, para sahabat yang tidak ada masalah langsung kerana mereka dilahirkan dalam keadaan “bi lisanin arabiyyin mubin” yakni kefahaman mereka terhadap Bahasa Arab yang jitu telah menanamkan ruh keIslaman dengan begitu kuat hingga mereka mampu berhujjah dengan prinsip-prinsip Islam walau di mana dan di hadapan sesiapa pun jua.

Peristiwa Jaafar bin Abi Talib yang begitu fasih memberikan penerangan mengenai Islam di hadapan Raja Najjasyi yang beragama Kristian termasuk apabila ditanya mengenai Nabi Isa menurut pandangan Islam telah diterima dengan baik oleh raja tersebut. Jaafar menyatakan isi kandungan pengajaran Islam yang sebenar tanpa menimbulkan kemarahan raja tersebut.

Begitu juga sejarah telah menukilkan bahawa sejak abad pertama hijrah lagi, telah ada pendakwah seperti Saad bin Abi Waqqas yang pergi ke negara Cina untuk mengembangkan agama Islam dan mendirikan masjid di sana. Sudah tentu antara tugas utama para pendakwah di situ ialah menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh mereka yang ingin tahu mengenai agama yang baru ini.

Gabenor-gabenor yang dihantar oleh Khulafa al-Rasyidin ke tempat-tempat yang jauh dari Madinah bertugas antara lainnya ialah mempastikan pengajaran Islam dapat disampaikan dengan jelas terutamanya kepada orang-orang ‘ajam iaitu golongan yang bukan Arab yang perlukan penjelasan lebih-lebih lagi latarbelakang mereka yang begitu jauh berbeza daripada orang Arab.

Dalam Tasawwur Islam atau “Islamic World View”, konsep al-Thabat dan al-Murunah sangat penting difahami dan wajar dimengerti kerana di sinilah terlihat akan keindahan Islam. Islam itu indah kerana ianya sesuai dengan segala zaman dan semua tempat.

Maka tanggungjawab untuk memberikan kefahaman kepada umat Islam dan bukan Islam adalah terletak kepada bahu ulamak. Di antara aspek yang mesti diberikan perhatian ialah aspek hukum-hukum Islam yang perlu diberikan makna dan tafsiran sebagai penyelesaian kepada masalah-masalah semasa.

Apa yang dimaksudkan dengan masalah-masalah semasa ialah perkara-perkara yang tidak timbul secara khusus dan nyata pada zaman Rasulullah s.a.w. sedangkan apa yang disampaikan oleh baginda telah lengkap atau syumul. Pengajaran iaitu risalah kenabian telah lengkap sempurna sebagaimana maksud hadis Rasululleh s.a.w.”Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya iatu Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnahku.”

Prinsip al-Thabat (tetap dan tidak boleh berubah) dan al-Murunah (mudah lentur dan boleh berubah) sangat penting difahami oleh umat Islam seluruhnya. Namun dalam kepelbagaian peringkat dan tingkat kefahaman ummah, mereka mengharapkan penjelasan segera kepada isu-isu baru yang tidak timbul secara khususiyyah pada zaman Nabi s.a.w. tetapi mereka pasti Islam ada jawapan kepada setiap permasalahan ummah.

Salah satu daripada institusi yang diharapkan oleh masyarakat Islam ialah institusi fatwa. Jawatan yang berkaitan dngan nstitusi fatwa ialah Mufti. Ada di antara jawatan mufti di sesetengah negeri yang bertaraf ahli Exco Kerajaan Negeri. Jangan nafikan kedudukan mufti didalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) adalah antara jasa kerajaan memerintah sejak merdeka demi mengangkat martabat institusi agama di negara ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad serng menyebutkan tafsiran Islam perlu dibuat bagi menjelaskan isu-isu terkini. Ini bukan bermakna Islam disesuaikan dengan keperluan semasa tetapi bagaimana jawapan Islam kepada perkara-perkara berbangkit masa kini. Bagaimana keadaan semasa dapat di”Islam”kan supaya kita kekal hidup dalam syariat Islam?

Sebagai misalannya, apakah hukum memindahkan kornea mata si mati kepada orang lain yang masih hidup? Bolehkah dilakukan pemindahan jantung kepada orang lain? Itu antara contoh-contoh dalam bidang perubatan. Suatu waktu dahulu, ada kes di mana seorang doktor wanita hanya memeriksa pesakit lelaki dengan menggunakan hujung pensil sahaja kerana menurut pandangannya tidak boleh menyentuh anggota tubuh pesakit berlawanan jantina kerana hukumnya haram. Hukum haram tetap kita katakan haram namun apa penyelesaiannya?

Dalam sistem ekonomi Islam, apakah hukum yang ada sekarang ini terlibat dengan riba atau tidak? Saya teringat kepada Prof Madya Dr Faisal Othman, seorang kolumnis dalam Majalah Massa yang menyebutkan bahawa pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada sistem bank seperti yang ada pada hari ini. Oleh itu, bagaimana yang dikatakan riba atau setakat manakah batasan yang dikatakan riba itu?

Dalam bidang politik pula, mungkin akan menimbulkan masalah lagi kerana masing-masing ingin menegakkan benang masing-masing.

Bagaimana sistem politik Islam? Adakah Negara Islam berbentuk republik atau monarki? Adakah sistem pilihanraya atau demokrasi sesuai untuk menegakkan undang-undang Islam? Bagaimana model negara industri menurut pandangan Islam? Rasanya Tun Dr Mahathir Mohamad telah lama menyedari hal ini lantas mencadangkan penggunaan matawang sendiri bagi Negara-negara Islam.

Maka adalah menjadi tanggungjawab institusi mufti dan Majlis Fatwa untuk membukukan fatwa-fatwa berbentuk penyelesaian isu-isu semasa bagi menggambarkan keindahan Islam sesuai dengan konsep al-Thabat (tetap) dan al-Murunah (boleh berubah) sebagai wadah memperjelaskan keindahan Islam.

Dan amatlah malangnya seandainya ianya juga dipolitikkan oleh orang Islam sendiri yang obsess kepada kuasa. Masya Allah!




CARA MENETAPKAN MATLAMAT

Kita akan menyambut kedatangan tahun baru 2010 dalam masa beberapa hari lagi. Tahun 2009 sudah pasti meninggalkan kenangan manis mahupun pahit yang barangtentunya menjadi pengajaran dan suri teladan dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan walau masih lama ataupun tidak saki-baki nafas kita. Nabi s.a.w. mengingatkan kita supaya membuat perancangan seolah kita akan hidup seribu tahun lagi.

Bersempena dengan terbitnya fajar tahun baru 2010 ini, marilah kita merenung apakah matlamat yang kita tetapkan supaya masa-masa yang akan datang tdak akan berlalu begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi.

Saidina Ali menyebutkan selepas berakhirnya Peperangan Siffin dan Majlis Tahkim, “Kebenaran yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.” Demikianlah pentingnya perancangan menurut Islam.

Sebagai permulaan, marilah anak-anak kita merenung kepada matlamat kita. Bagaimanakah cara untuk kita menetapkan matlamat?

1. Tuliskan matlamat anda

Menurut pakar-pakar pengurusan, sesuatu matlamat mesti ditulis. Antara sebabnya ialah supaya kita dapat melihat dengan mata kita yang akan sentiasa mengingatkan kita akan matlamat tersebut. Walaupun kita dapat mengingatkan dalam hati, namun kajian mendapati tulisan kita akan menjadi lebih bermakna dan memberi kesan kepada minda dan jiwa kita. Ini tidak menghairankan kita kerana jelas dapat kita lihat organisasi-organisasi besar menulis dengan cantik akan logo dan “mission statement” mereka dan diletakkan di tempat yang strategic agar dapat dilihat oleh sesiapa sahaja. Oleh itu, matlamat anak-anak jangan disimpan di dalam hati sahaja malah hendaklah ditulis. Bukankah TOV (take off value) dan ETR (expected targeted result) diminta ditulis di kulit hadapan buku nota dan buku kerja supaya sentiasa dapat dilihat? Fikirkanlah matlamat anda dan cuba mula menulis matlamat anda tersebut.

2. Gunakan ayat yang positif.

Matlamat anak-anak hendaklah ditulis dengan menggunakan ayat yang positif. Sebagai contohnya, jangan gunakan ayat atau pernyataan seperti: “Saya tidak akan melepak lagi.” Sebaliknya gunakan ayat seperti:”Saya akan mula membaca buku,” Saya akan membuat semua kerja rumah yang ckgu berikan.”

3. Matlamat mestilah tepat dan mempunyai kerangka masa.

Apa yang dimaksudkan dengan matlamat yang tepat ialah matlamat msti terperinci seperti tarikh, masa dan kuantiti supaya anak-anak boleh membuat penilaian terhadap pencapaian sendiri. Contohnya: “Saya akan melengkapkan tajuk Haji pada 30 April 2010.”

4. Tentukan keutamaan.

Jika anak-anak mempunyai lebih daripada satu matlamat, pastikan anak-anak mengagihkan mengikut keutamaan. Ini membantu anak-anak meringankan beban dan memberi focus kepada matlamat yang paling penting.

5. Matlamat anda mesti realistik.

Matlamat yang anak-anak gariskan mesti realistik maksudnya apa yang anak-anak sasarkan mesti dapat dicapai berdasarkan kemampuan dan realiti serta persekitaran anak-anak.

6. Berdoa minta Allah berikan petunjuk.

Akhir sekali sebagai hamba Allah yang sangat memerlukan pertolongan Allah s.w.t., banyakkan berdoa kepada Allah semoga Allah memberikan ilham kepada kita semua bagaimana menetapkan sasaran atau matlamat dan kaedah terbaik mencapai kejayaan.

Wallahu a’lam bi al-sawab.