Tuesday, December 1, 2009

TUAN GURU DAN MACHIAVELLIAN?

Saya muatkan tulisan yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia untuk rujukan dan sumbangsaran semua. Ini juga boleh menimbulkan perbincangan kalau boleh bukanlah polemik kerana kita sayangkan ulamak. Sejarah negara mengaitkan peranan ulamak sebagai golongan yang celik dalam membangkitkan semangat nesionalisme menentang penjajah demi menuntut kemerdekaan negara.

Nik Aziz bagaikan seorang Machiavellian

KISAH Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam beberapa minggu lepas semakin seronok untuk diamati. Dalam satu perbincangan antara ahli dalam kelompok Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), yang diadakan baru-baru ini, salah seorang ahli kami mengemukakan idea bahawa semakin hari Nik Aziz semakin mendekati pemikiran (dan tindakan) menyerupai Machiavellisme.

Sewaktu diminta menjelaskan lebih lanjut, sahabat itu menyatakan bahawa dalam menggenggam kekuasaan dan memastikan kuasa itu berterusan, seorang pengamal kaedah itu akan menggunakan apa sahaja alat kuasa - malah agama sekalipun. Kepada pengikut Machiavelli, agama bukanlah kemuncak ketaatan dan tujuan seseorang, tetapi kekuasaan. Agama hanyalah alat untuk mencapai kekuasaan.

Semua ahli lain agak terpegun dengan penjelasannya. Seterusnya rakan tersebut memetik hujah penulis tersohor Indonesia, Gunawan Mohamed dalam blognya caping.wordpress.com di bawah artikel bertajuk Cesare, kerana kata sahabat itu tidak ada banyak bezanya antara Paus (pope) dan seorang ulama dalam mencintai kuasa.

Tulis Gunawan, "Sang Paus tak peduli. Ia tak mendengarkan apa yang dikatakan orang ramai tentang dirinya. Ia mengukuhkan takhta kepausan, dan untuk itu segala cara ditempuh." Sebab itu apabila dibandingkan kekuasaan seorang ulama dengan seorang paus nampak tiada kalah bandingnya apabila Paus dalam kisah Cesare cuba menghalalkan semua tindakannya atas nama agama.

Kisah bagaimana Nik Aziz cuba menyelamatkan menantunya yang sedang disiasat, hinggakan Ahli jawatankuasa Pas Pusat termasuk Presiden terpaksa turun berjumpa dan menasihatinya adalah bukti kukuh bahawa kaedah itu sedang berlangsung.

Apabila suatu perkara dianggap tidak kena dengan pandangan Menteri Besar Kelantan yang juga seorang ulama, maka ulama itu mengugut untuk mendoakan kecelakaan contohnya dalam isu tuntutan royalti minyak di Kelantan.

Apabila ditegur pihak lain bahawa selaku ketua eksekutif pentadbiran tertinggi sebuah negeri tidak boleh menerima tajaan (untuk tujuan apa sekalipun) apatah lagi pihak penajanya diragui sebagai mempunyai kepentingan tertentu dalam perbadanan negeri, Nik Aziz mencemuh pandangan tersebut dengan menyatakan bersedia untuk menerima tajaan lagi pada tahun hadapan.

Bagaimana menilai Machiavelli? Gunawan Mohamed cuba menjawabnya. Tulisnya, "...salahkah Machiavelli? Hegel memuji pemikir politik Italia dari abad ke-16 itu dalam hal "kesadarannya yang tinggi tentang hal-hal yang nescaya dalam membentuk sebuah negara". Semuanya harus bisa diperalat, juga agama.

Machiavelli mengambil teladan dari Numa Pompilius yang memimpin Roma: untuk menjinakkan sebuah masyarakat yang ganas dengan cara yang damai. Numa memakai agama sebagai "penopang yang paling perlu dan pasti bagi tiap masyarakat yang beradab" (caping.wordpress.com).

Nampaknya dalam penilaian Gunawan, kaedah Machiavelli sekalipun nampaknya boleh dihalalkan sekiranya matlamatnya betul, katakan dalam kes Roma adalah untuk negara. Tetapi dalam kes kerajaan dan pentadbiran Nik Aziz di Kelantan, tidak nampak kes menantu dan tajaan itu menjurus kepada kepentingan negeri.

Dengan itu, Gunawan menyimpulkan, "...bagi Machiavelli dorongan pertama bukanlah dorongan relegius, bukan untuk mendekatkan diri kepada kebaikan yang kekal, melainkan dorongan politik: berkuasa dan melahirkan ketertiban. Nilai-nilai yang dianjurkan Tuhan tak penting kecuali untuk itu."

Kepada kami di Kelab Penyelidikan Politik Malaysia, dalam isu Nik Aziz hampir-hampir kami dapat rumuskan bahawa ia sudah terang lagi bersuluh, kesilapannya jelas kelihatan di pihak menteri besar itu. Namun siapalah kami untuk memberikan justifikasi dan hukuman. Mungkin hukuman terbaik adalah hukuman politik yang datangnya empat tahun sekali.

Namun siapa yang dapat menduga, dengan kesalahan sebesar Gunung Atlas sekalipun, pengikut tuan guru masih lagi sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga.

Umar Zain

Setiausaha, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia

p/s: Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, Dua golongan umatku kalau baik kedua-duanya maka akan baiklah umatku iaitu golongan umarak (pemimpin) dan ulamak (alim dalam hukum-hakam Islam).

WARGA PEKAN NANAS MEMELUK ISLAM

Alhamdulillah pada Hari Tasyrik 12 Zulhijjah, seorang warga Pekan Nanas beragama Hindu Encik Samoya a/l Alimulem bersama anaknya Anandan telah memeluk Islam. Encik Samoya, 67 tahun telah memeluk Islam dengan menggunakan nama Muslim, Muhammad bin Abdullah dan mendaftar di Pejabat Agama Islam Daerah Pontian dengan anaknya Anandan 30an disambut dengan gembira oleh ahli-ahli kariah Masjid Jamik Pekan Nanas, Pontian.

Hari Raya Qurban tahun ini menyaksikan Encik Samoya telah meninggalkan 'amalan' harian beliau sebagai penjaga kuil Jalan Sawah berhampiran asrama SMK Dato' Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas.

Hidayah telah mengetuk pintu hati Encik Samoya dan Anandan untuk menjejaki langkah seorang lagi anak Samoya iaitu Hishamuddin yang telah terlebih dahulu meninggalkan agama warisan nenek moyang mereka demi mendapat keredhaan Allah.

Bertuah lah kita yang mengenali Islam sejak lahir hasil keimanan ayah dan ibu kita.

Teringat juga pesanan abah ketika hidup, kadang-kadang manusia terlalu merancang seolah-olah berkuasa menentukan hala tuju hidup kita tetapi terlupa sejenak untuk berdoa kepada Allah Taala.

Maka janganlah kita mendoakan yang tidak baik untuk orang lain sebaliknya marilah bersama-sama kita kita mendoakan kesejahteraan umat manusia di sekeliling kita. Rasulullah s.a.w. mendoakan penduduk Taif walaupun baginda telah dibaling dengan batu serta dilontar dengan kata-kata penghinaan oleh penduduk Taif. Nabi s.a.w. kasihankan penduduk Taif kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengetahui.

Hari Raya Qurban mengajak kita supaya mengorbankan sifat-sifat keji dan berkasih-kasihan kerana Allah kepada manusia sejagat.

Musuh-musuh Islam tidak perlu mengusik tempat-tempat ibadah dan kitab al-Qur'an selain dijaga oleh Allah Taala, umat Islam dilalaikan oleh mereka supaya menjauhi amalan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Allah Akbar wa li Allah al-Hamd. Wassalam.

Monday, November 30, 2009

PANDANGAN BEKAS PESERTA KURSUS BTN

KURSUS BTN PADAT ILMU KENEGARAAN

Oleh ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM

TIBA-TIBA Biro Tata Negara (BTN) menjadi sasaran kritikan dan tohmahan tidak berasas para pemimpin parti pembangkang. Tuduhan BTN menjadi alat kerajaan dan UMNO mempengaruhi peserta kursus amat keterlaluan.

Tohmahan tanpa maklumat tepat itu amat dikesali kerana BTN pada asasnya medium untuk memberi kesedaran, ilmu serta bimbingan tentang kaedah kehidupan bernegara.

Pertamanya, kursus-kursus anjuran BTN bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi semua bangsa yang memegang tiket warganegara. Tohmahan yang menyatakan BTN adalah pentas politik UMNO amat tersasar. Tuduhan ini hanya bermotifkan politik dan tiada asas kebenaran. Ia lebih bersifat propaganda murahan politik pembangkang untuk mencetuskan isu dan dalam masa yang sama ingin menutup segala kelemahan yang yang ada.

Tidak semua rakyat negara ini berpeluang mengikuti kursus-kursus anjuran BTN. Hasil kajian dan maklum balas menunjukkan peserta yang mengikuti kursus anjuran BTN amat berterima kasih kerana dipilih untuk mengikuti kursus yang berbentuk kenegaraan. Mereka mula sedar akan kepentingan memelihara, menjaga dan memastikan kedaulatan negara.

Peserta kursus didedahkan tentang ancaman-ancaman terhadap keselamatan negara yang langsung tidak disedari. BTN melalui khidmat tenaga fasilitator terlatih telah berjaya membawa kesedaran betapa pentingnya sebuah negara yang yang bebas merdeka seperti yang dinikmati sekarang.

Tugas untuk memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara bukan hanya dipikul oleh orang Melayu dan UMNO, tetapi setiap warganegara tidak kira bangsa. BTN menyediakan landasan terbaik untuk memberi keinsafan tentang nilai dan tanggungjawab menjaga keharmonian, kesejahteraan, keamanan dan perpaduan antara kaum.

Sebagai warganegara yang pernah mengikuti kursus anjuran BTN, penulis ingin menarik perhatian semua bahawa pengetahuan kenegaraan sebahagian rakyat Malaysia amat cetek. Misalnya fakta-fakta sejarah yang membawa kepada kemerdekaan tanah air tidak dapat diceritakan oleh peserta kursus. Sedangkan sukatan mata pelajaran Sejarah di sekolah menengah sudah jelas dimasukkan tentang aliran perjuang dan individu yang terlibat.

BTN dengan bantuan tenaga fasilitatornya terpaksa menceritakan satu persatu tentang rentetan dan urutan perjuangan wira negara yang berjuang menuntut kemerdekaan.

Sebagai individu yang memegang tiket warganegara mereka perlu mengetahui serba sedikit tentang sejarah kenegaraan. Tidak ada gunanya jika kita begitu cemerlang dan berjaya mengharungi kehidupan tetapi buta kepada asal usul negara sendiri.

Soal perpaduan kaum begitu diterapkan ketika sesi perbincangan dalam kumpulan. Tidak kira apa pun bangsa, kita perlu akur negara kita didiami oleh pelbagai kaum dan hidup dalam konteks berkongsi segala yang ada. Kita tidak mampu untuk mengecapi kehidupan seperti sekarang jika unsur perpaduan antara kaum diabaikan.

BTN begitu realistik dalam membimbing peserta kursus tentang betapa pentingnya perpaduan. Sejarah kemerdekaan negara dijadikan asas kepada kesedaran itu kerana perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air juga melibatkan para pemimpin Cina dan India.

Peserta kursus diterapkan kaedah terbaik untuk hidup bersama antara kaum di negara ini. Kesan dan implikasi buruk didedahkan jika aspek perpaduan dan kerjasama antara kaum disisihkan. Contohnya peristiwa 13 Mei dikupas dengan bijak oleh fasilitator BTN untuk memberi kesedaran kehidupan harmoni antara kaum.

Banyak lagi unsur atau objektif kenegaraan yang tersirat dalam modul kursus anjuran BTN. Ia padat dengan didikan ilmu kenegaraan yang amat penting difahami oleh rakyat. Ketaatan kepada negara adalah elemen terpenting untuk menerbitkan rasa dan semangat patriotisme bagi usaha bersama ke arah membawa negara ke puncak kejayaan.

Jadi tuduhan BTN menjadi alat kerajaan Barisan Nasional untuk mengindoktrinasikan ideologinya hanyalah mainan politik parti pembangkang yang semakin terdesak dalam cubaan menguatkan kedudukan mereka dalam keadaan sokongan rakyat yang semakin terarah kepada kerajaan Barisan Nasional.

Sunday, November 29, 2009

ISU BTN TIMBUL LAGI?

Saya dan keluarga sedang dalam perjalanan pulang dari Shah Alam ke Pekan Nanas, Pontian. Kami singgah di Restoran Jejantas, Ayer Keroh, Melaka untuk Solat Zohor, agenda makan di A & W dan berehat. Perjalanan sudah separuh kerana kami akan ke Benut terlebih dahulu. Sebelum berjuang berada dalam perbarisan panjang hanya untuk menikmati Rootbeer float dan coney dog (saya tak beratur tetapi menunggu tempat duduk supaya tidak dikebas oleh orang lain), kami lalu di kedai menjual makanan ringan dan cenderahati, tiba-tiba isteri saya menyuruh membeli akhbar Sinar edisi Melaka dan Negeri Sembilan.

Terpampang di muka hadapan akhbar Sinar, BTN atau 1 Malaysia. Lim Kit Siang cadang badan siasatan awam bebas selidik kursus. Pada ms 4 akhbar Sinar berkenaan, Pakatan Rakyat terus mendesak kerajaan menghentikan program Biro Tatanegara (BTN) yang didakwa menimbulkan perasaan benci dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, mesyuarat khas Kabinet amat perlu untuk menubuhkan badan siasatan awam bebas dan menyiasat program BTN yang disifatkannya tidak selaras dengan konsep 1 Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Lim Kit Siang rupanya menulis dalam blognya, "Kerajaan harus membuat keputusan samaada menghentikan program BTN atau Najib membuat pengumuman secara terbuka mengakui kegagalan dan membuang slogan 1 Malaysia yang dilaung-laungkannya."

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mengecam Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang berkata sukatan program BTN harus didedahkan kepada awam.

Beliau mempersoalkan tindakan 'berdiam diri' pemimpin Barisan Nasional (BN) lain terutama menteri yang menjaga Indeks Pencapaian Utama (KPI), Tan Sri Dr Koh su Koon dan empat menteri dari MCA.

Saya rasa pelik dengan pihak pembangkang yang sentiasa mengecam BTN sebagai sebuah agensi kerajaan yang melaksanakan latihan berunsur kenegaraan kepada setipa lapisan masyarakat.

Mari kita kaji perkara ini dengan menggunakan akal logik. Kita kena guna logik kerana Kit Siang tidak faham kalau kita bercakap tentang sejarah dan tentang pemikiran mahupun mengenai budaya kerana kita sendiri dapat mendengar di Parlimen jelas bahawa bapa kepada Lim Guan Eng ini tidak pandai berhujjah sebenarnya. Kalau dia hebat berhujjah, dia akan mendengar orang lain bercakap di Parlimen dan kemudian membahas secara akademik. Tapi apa yang dapat kita saksikan ialah Lim suka memotong cakap orang, berhujjah tidak rasional dan todak pernah memikirkan kesan ucapannya yang tidak bernas itu kepada orang lain. Apa idea bernas yang pernah diutarakan olehnya?

Cuba kita lihat Tan Sri Lee Lam Thye. Tan Sri Lee pernah mencadangkan satu bentuk latihan bercirikan Malaysia namun tidak seperti kerahan tenaga seperti di Singapura bagi melahirakan remaja yang mempunyai semangat patriotik. Cadangan beliau ini dikemukakan dalam Kongress Patriotisme anjuran bersama BTN dan UUM di Pusat Latihan KWSP di Bangi. Dalam ucapan penutup kongress, Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri mencadangkan program yang kemudiannya dinamakan Latihan Khidmat Negara. Kalau jadi pembangkang pun, berilah idea yang bernas walaupun bahasanya kesat maklumlah jangan salahkan Lim, mungkin pencapaian Bahasa Melayu dalam peperiksaan di Malaysia pun tidak pernah lulus agaknya. Tapi apa yang kita dapat lihat, idea yang membangun tidak ada, bahasa pula kesat, tidak hormat orang lain berucap dan membantu rakan-rakannya yang lain membuat kecoh di dalam Dewan Rakyat yang mulia. Tetapi penyokongnya yang fanatik dari kaum Cina tidak peduli kerana yang bercakap itu adalah pemimpin kesayangan mereka?

Apa yang penting kepada Lim ialah dia dapat membakar dan menyakitkan hati kaum Melayu dengan tidak mengira apa yang diperkatakan itu betul atau tidak.

Dia cuba pula untuk melakukan provokasi kepada Tan Sri Koh Tsu Koon dan empat menteri dari MCA supaya menyokongnya pula.

10 tahun dulu pihak cauvinis Cina telah mengecam BTN. Mereka senyap apabila keadaan tidak memihak kepada mereka. Sekarang, kecaman mereka ini pula sudah mendapat sokongan daripada kaum Melayu sendiri. Inilah bahana agaknya kesan dunia tanpa sempadan.

Kerajaan Selangor pula kenapa takut dengan ceramah BTN? Bukankah mereka selalu melaungkan bahawa rakyat kini sudah matang dan mampu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Biarkan rakyat membuat pilihan kerana kini rakyat sudah cerdik, yang tetap bodoh ialah orang UMNO dan penyokong UMNO...rupanya bila rakyat sudah boleh berfikir dengan baik dan rasional, mereka suruh sebaliknya pula, semata-mata kerana rakyat sudah nampak tembelang DSAI dan PR. Ini cakap sudah terbalik...apa...macha..sudah tukar ka sekarannnggg....?

Agaknya Pakatan Rakyat sedang berfikir keras sekarang bagaimana nak membetulkan keadaan rakyat yang sudah matang berfikir.

Mereka nak sekat kursus BTN. Sedarkah PR berapa ramai pegawai kerajaan yang sudah jelas menunjukkan soongan kepada parti pembangkang, terang-terang menampal sticker di cermin kereta terang-terangan, memasang bendera parti pembangkang di rumah tetapi masih menjolok hujung bulan di ATM mengeluarkanj gaji kerajaan BN untuk membayar ansuran kereta import, membayar tuisyen anak dan memberi makan bersuap-suap nasi dan adakalanya menjamu selera anak-anak di KFC, A&W, Pizza Hut dengan gaji kerajaan yang kamu kutuk habis-habisan..

Sejarah kejatuhan Melaka dipelajari dari kecil hingga dewasa bahkan dapat masuk ke universiti pun dengan tajuk dan bab Melaka kerana nak masuk fakulti lain tidak layak, tetapi tidak mau belajar dari sejarah. Apakah kamu tidak berfikir?

Kepada Lim Kit Siang, baiklah memikirkan perkara lain termasuk bersedia menghadapi segala kemungkinan.. Wassalam.









Friday, November 27, 2009

HARI RAYA QURBAN

Hari ini adalah Hari Raya Korban pertama dalam hidup kami tanpa abah. Abah telah bersemadi di sisi Pencipta mulai 25 Oktober 2009. Masih teringat sewaktu hidup abah, aku memandu kereta untuk Solat Sunat Aidiladha, kami adik-beradik lelaki akan bertakbir mengikut abah sepanjang perjalanan ke masjid kebiasaannya kami solat di Masjid Jamik Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam selepas abah bersara.

Aku solat sunat di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam yang sepanjang masa pembinaannya, abah masih bertugas sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Waktu itu, Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Muhammad bin Hj Muhammad Taib, Menteri Besar Selangor. Rasanya waktu itu JAIS memang sudah terkenal dan sering mendapat liputan akhbar walaupun mungkin isunya sudah berbeza kini. Aku tidak pasti samada keratan akhbar yang dibuat dulu mengenai Pengarah JAIS oleh keluarga kami (waktu itu tiada kemudahan komputer yang canggih seperti pada hari ini) masih tersimpan untuk rujukan kemudian hari termasuk usaha untuk membukukan riwayat hidup abah.

Adik bongsuku, Imam Hj Basyiruddin al-Hafiz menunaikan solat di Masjid Klang tempatnya bertugas. Adik lelaki seorang lagi solat di Puchong bersama mertuanya.

Kami 3 adik-beradik lelaki Solat Jumat di Masjid Klang tetapi kebetulan solat tersebut diimamkan oleh imam yang lain (bukan adik bongsuku). Selepas solat Jumaat, aku membaca Surah Yasin menggunakan mashaf al-Qur'an masjid berkenaan.

Adikku Imam Basyir kemudiannya mengajak makan sup lembu yang dikorbankan di masjid itu dan kami pun makan dalam bilik rehat pegawai masjid.

Petang dan malam, anak-anakku membantu ibu saudara mereka menyediakan cenderahati perkahwinan Imam Basyir pada bulan Disember akan datang.

Hari Sabtu iaitu Hari Tasyrik 11 Zulhijjah, perancangan asal keluarga kami untuk mengadakan Majlis Tahlil telah diubah di mana makanan dihantar ke Surau Seksyen 9, Shah Alam dan Masjid Raja Tun Uda, Seksyen 16 sebagai santapan mereka yang bekerja untuk ibadah korban di kedua-dua masjid dan surau.

Pagi Ahad, aku bersama adik-adik lelaki, Fakhruzzaman, Imam Basyir, ibu dan isteriku menziarahi pusara abah dan aku mengetuai bacaan Yasin dan Tahlil untuk abah buat pertama kali di maqam abah. Selalu aku membaca Yasin serta Tahlil dari kejauhan.

Kami akan ke Shah Alam lagi bulan Disember ini untuk Majlis Perkahwinan Imam Hj Basyiruddin bin Dato' Hj Mahmad Muhtar al-Hafiz. Adik bongsu ini yang mewarisi keilmuan dan ciri-ciri ulamak yang abah harapkan.

Ya Allah! Lindungilah keluarga kami dari sebarang malapetaka dan bencana dari musuh-musuh kami. Semoga Qunut Nazilah yang dibaca akan memusnahkan mereka yang irihati dan dengki. Amin Ya Rab al-Alamin. Wassalam.








Wednesday, November 25, 2009

PROGRAM MASJID RIMBA TERJUN

Hari Kelima Cuti Persekolahan Akhir Tahun 2009...

Hari ini saya bawa anak-anak tiga orang (memang ada tiga sahaja pun) ke Masjid Rimba Terjun, Pontian. Farhani mendaftar bagi acara mendeklamasikan sajak, Fathiyah pertandingan membaca dan Fadhilah masuk acara pertandingan mewarna.

Fadhilah mewarna sekejap sahaja, saya tanya, "Dah siap?" Jawabnya, "Adik warna cepat-cepat." Ayah, adik lapar sangat ni." Patutlah dia mewarna cepat-cepat sebab dia lapar. Waktu sarapan pagi sebelumnya dia tak nak makan sekadar minum teh tarik sahaja di warung Anjung Masjid. Saya pun belikan sedikit roti dan air minuman kotak di 7 Eleven, Tambak Pontian. Sampai sahaja pihak penganjur sedang menyediakan jamuan kerana pertandingan telah tamat sementara menunggu upacara penyampaian hadiah.

Farhani mendapat tempat ketiga dalam acara mendeklamasikan sajak, Fathiyah mendapat saguhati (agaknya tempat keempat) dan Fadhilah sudah tentulah hadiah saguhati sebab hantar cepat. Jangan marah Lah.

Apa yang penting..kerjasama...di samping mengisi masa lapang waktu cuti persekolahan, dapat melatih anak-anak berdiri di hadapan rostrum sebagai persediaan menghadapi masa hadapan. Maklumlah ayahnya membesar di hadapan rostrum, bersyarah, berpidato, berbahas dan berceramah dalam Biro Tatanegara yang telah pun diharamkan oleh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di bawah pimpinan Datuk Khalid Ibrahim.

Seronok anak-anak dapat hadiah dan berbagai cerita untuk disampaikan kepada ummi mereka bila pulang ke rumah.


Tuesday, November 24, 2009

PERTEMUAN TENAGA PENGGERAK BTN JOHOR

Malam ini saya bersama-sama dengan Tenaga Penggerak Biro Tatanegara dijemput untuk menghadiri satu lagi Seminar Tenaga Penggerak rasanya buat kali terakhir pada tahun 2009 ini.

Encik Sauti Abu, Pengarah BTN Johor sehingga 30 November 2009 telah menyampaikan taklimat Kursus Bela Nusa iaitu kursus yang akan dilaksanakan oleh BTN seluruh negara kepada semua pemimpin UMNO peringkat akar umbi. Kursus yang sangat signifikan ini telah diamanahkan oleh pucuk pimpinan negara kepada BTN yang telah lama melaksanakan kursus-kursus perubahan sikap sejak tahun-tahun 1980an lagi.

Kursus Bela Nusa yang telah mula dilaksanakan pada tahun ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari ahli-ahli UMNO termasuk dari YAB Menteri Besar Johor yang menurut khabarnya begitu gembira dengan hasil kursus sebelum ini termasuk dari Bahagian Ledang, bahagian YAB sendiri.

Tahun 2010 adalah tahun cabaran kepada semua Tenaga Penggerak BTN Johor untuk membantu menjayakan Kursus Bela Nusa. Sasaran peserta kursus menjangkau bilangan beribu-ribu orang. Pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat akar umbi akan didedahkan dengan analisis SWOT, Blue Ocean dan pembentangan Pelan Tindakan bagi bahagian masing-masing sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum 13.

Ramai Tenaga Penggerak BTN Johor tidak menyangka majlis pada malam ini diadakan serentak dengan ucapan akhir Pengarah BTN Johor yang akan tamat tempoh kontrak peminjaman ke Jabatan Perdana Menteri pada akhir bulan ini. Majlis taklimat kursus kepada pemimpin akar umbi UMNO yang dirasakan begitu mencabar bertukar menjadi Majis Perpisahan Pengarah BTN Johor yang tidak disangka-sangka oleh para penceramah, fasilitator dan jurulatih.

Terima kasih diucapkan kepada Encik Sauti bin Abu yang telah meyumbangkan khidmat bakti serta berkongsi pengalaman di Negeri Kelantan kepada warga TP BTN Johor selama lebihkurang dua tahun.

Kepada semua Tenaga Penggerak BTN Johor, perjuangan kita masih sangat jauh. Walaupun tanda-tanda UMNO dan BN telah mula meraih semula keyakinan rakyat, usaha-usaha sabotaj parti pembangkang tidak boleh di pandang enteng.

Oleh yang demikian, usaha-usaha BTN mesti melangkaui usaha pembangkang. BTN mesti memberi fokus kepada penyebaran maklumat yang tepat berkenaan usaha-usaha kerajaan memerintah dalam meneruskan tradisi membela rakyat dan kerugian yang akan ditanggung oleh semua anak cucu zaman berzaman kalau BN dibiarkan menjadi pembangkang dalam sebuah negara yang kemerdekaannya diperjuangkan oleh UMNO.

Antara cabaran yang mesti ditangani oleh BTN bagi membantu BN menang besar (insya Allah) dalam PRU 13 ialah memanfaatkan sesungguhnya rangkaian ICT. Kalau kita lihat pada hari ini, boleh dikatakan semua Ahli Parlimen mempunyai jaringan hubungan mereka sendiri dengan pengundi atau rakyat seperti laman web, facebook, blogspot dan sebagainya. Pengundi-pengundi muda akan lebih merasa dekat dengan kerajaan melalui kaedah ini. Langkah Perdana Menteri sendiri mewujudkan laman web 1Malaysia dan kemudiannya www.facebook.com/najibrazak memberi peluang kepada semua rakyat tanpa mengira darjat dan keturunan mengakses kepada info dan bahan-bahan yang tersedia didalamnya. Mereka dapat melihat aktiviti PM di luar tugas rasmi sebagai contohnya. Satu cara bekas Presiden Saddam Hussin mendekatkan dirinya kepada rakyat Iraq ialah dengan memasang papan-papan tanda yang memaparkan gambarnya di mana-mana jalan seluruh Negara. Kaedah yang paling sesuai buat masa ini ialah dengan memasang ‘papantanda PM Najib’ di media maya. Kaedah boleh sahaja berubah namun tradisi UMNO memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak tidak akan akan terubah walaupun dinafi sentiasa oleh pembangkang.

Dengan kata lain, kita mesti meningkatkan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Kita perlu meningkatkan rangkaian sahabat dan rakan taulan dalam semua bidang-pendidikan, birokrat, korporat, seniman dan sebagainya. Rangkaian maklumat dan sumber informasi harus pelbagai. Saluran komunikasi mesti menyeluruh dan sampai tepat ke sasaran.

Sikap berkomplot mesti dihapuskan. Semua pejuang BTN seharusnya meletakkan kepentingan peribadi di belakang kepentingan organisasi. Kita seharusnya boleh menjalankan LDK dengan sesiapa sahaja asalkan objektif kursus tercapai. Tidak ada istilah kroni tetapi istilah sahabat yang sudah tentu membawa makna yang lebih mendalam dan mendasar ke dalam jiwaraga kita.

Untuk menjadi pejuang BTN, jatidiri dan semangat setiakawan antara aspek paling penting. Perjuangan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan tidak boleh ditebus melainkan dengan darah dan nyawa. Biar diri miskin (tapi jangan miskin sangat) asal maruah agama, bangsa dan negara tidak tergadai.

Membina kepercayaan masyarakat juga sangat penting. Pembangkang selalu menimbulkan isu-isu yang sengaja direka untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap BTN.

Kepercayaan pucuk pimpinan negara kepada BTN jangan sampai disia-siakan. Sebab itu, Mat Sabu selalu menyerang BTN…katanya kalau tiada BTN, UMNO akan diisytiharkan kalah sebelum jam 10.00 pagi esok. Wassalam.