Wednesday, September 30, 2009

JANGKA HAYAT AHLI POLITIK

Maksud jangka hayat ahli politik ialah berapa lama ahli politik mampu mempertahankan karier politiknya. Seorang diktator dapat menjaga kuasanya dengan menggunakan kuasa ketenteraan. Selagi tentera beliau setia maka diktator akan dapat meneruskan cengkaman kuku besinya ke atas rakyat terbanyak. Pengekalan kekuasaan diktator dibina di atas ketakutan rakyat akan penyiksaan yang sangat kejam tanpa perikemanusiaan. Semakin akyat idak berani menentang maka semakin panjanglah hayat pemerintahan diktator.

Jangkahayat ahli politik ini juga mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan jatuh bangunnya. Dalam menyelusuri ranjau pedih kehidupan politik, ada di antara mereka yang dipenjarakan. Pejuang politik yang hebat akan terus mendapat sokongan walaupun tubuhnya terpenjara. Perjuangannya tidak dapat dipenjarakan, ideologinya menjadi anutan, tulisannya di dalam penjara seolah salam perjuangan yang belum selesai menanti sinar kebenaran menerangi semula. Bila pejuang dibebaskan dari penjara, kehadirannya di tengah-tengah masyarakat mampu mengocak ketenangan sang pemerintah yang memenjarakannya.

Pejuang politik seperti itu tidak hidup mewah. Dia akan merasa puas kalau perjuangannya diteruskan orang lain. Kalau dia mati, dia mati sebagai bunga bangsa.

Tun Dr Mahathir Mohamad seorang ahli politik yang sangat menarik untuk dikaji dalam membincangakan mengenai jangka hayat politik. Beliau pernah kalah dalam pilihanraya tahun 1964 di tangan bekas Presiden PAS Tuan Haji Yusuf Rawa di Kubang Pasu. Beliau pernah berucap di atas pentas PAS tetapi tidak pernah menjadi ahli PAS. Beliau berucap di atas pentas pendirian sendiri. Tun Razak telah memberi peluang menyertai semula UMNO walaupun tidak disenangi oleh tokoh UMNO seperti Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar ketika itu. Sekembalinya Tun ke dalam UMNO memberi ruang untuk beliau akhirnya melonjak naik dan akhirnya duduk di kerusi empuk tapi panas, kerusi Perdana Menteri. Hayat politik Tun Mahathir disambung oleh Tun Razak. Mungkin Tun Razak mencari pemimpin pelapis yang akan meneruskan dasar atau impiannya sekiranya beliau menutup mata.

Seolah-olah Tun Husein Onn menretak menjadi belah.jadi PM sebagai persediaan untuk memberi laluan mudah Tun menjadi PM pada tahun 1981. Hayat politik terus diamuk badai dengan pelbagai cabaran sepanjang pemerintahan Tun Dr Mahathir hingga beliau meletak jawatan pada tahun 2003.

Zaman Mahahir terus panas apabila timbalannya, Datuk Musa Hitam meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri. Pentadbiran 2M menjadi renggang dan akhirnya retak menjadi belah. Mahathir digelar diktator dalam sebuah negara demokrasi.

Pada zaman Dr Mahathir, UMNO diharamkan. Perpecahan dalaman akibat sengketa politik dan tidak puashati terhadap keputusan Mahathir mensintuk limau Anwar Ibrahim yang pernah memaki dan memijak bendera UMNO, mengadakan demonstrasi mahasiswa ketika Dr Mahathir menjadi Menteri Pelajaran.

Dasar-dasar Mahathir dikritik hebat. Jambatan Pulau Pinang yang dirancang pembinaannya sejak dari zaman Tun Razak dikatakan membazir. Bangunan Dayabumi tidak bermanfaat kata penentang Mahathir. Dasar ekonomi Mahathir dikecam hebat oleh tokoh ekonomi lulusan universiti luarnegara yang berkhidmat d Universiti Malaya, Dr Jomo Kwame Sundaram. Projek pembinaan lebuhraya dituduh tidak membawa manfaat besar kepada orang kampung. Namun Dr Mahathir terus dengan rancangannya hingga rakyat dapat memahami apa yang tersirat dengan segala gagasannya.

Mahathir dicanang Mahazalim, Maha Fir'aun dan Mahakroni. Mahathir dikata anti Islam dan menggunakan segala kesempatan untuk menghalang parti Islam daripada berkuasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 16 tahun meningkat naik secara mendadak dan kini masih berusaha untuk menjadi PM. Hayat politik beliau dalam UMNO berakhir pada tahun 1998. Peristiwa September dipecat 1998 dan sehingga 16 September 2008 masih belum mendapat nyawa dalam politik kenegaraan.

Pak Lah tersingkir dari kerajaan selama 13 tahun akhirnya berjaya menjadi TPM seterusnya PM mungkin beliau sendiri merasakan hayat politik beliau sudah berkubur sedikit masa dulu. Takdirnya, Pak Lah menjadi PM kelima. Kini menumpukan masa nampaknya lebih ke arah keagamaan dengan menjadi Pengerusi IKIM.

Ada juga pemimpin politik yang nampak tenat hayat politik di negeri akhirnya ditarik ke Pusat dengan menjadi Menteri. Maka bernafaslah kembali hayat politik. Contohnya dapat dilihat dalam senario politik negara.

Jadi, apa dihairankan kalau seorang yang sudah tidak mendapat tempat atas apa alasan sekalipun kembali atau coming back ke dalam arena politik negara. Selagi hayat politik masih ada. Wassalam.

Tuesday, September 29, 2009

KONGSI KUASA PARTI ISLAM DENGAN PARTI BUKAN ISLAM

Dalam sebuah negara demokrasi, dibenarkan kewujudan parti-parti politik untuk bertanding merebut kerusi dalam pilihanraya. Parti yang besar keanggotaannya mungkin boleh meletakkan calon pada semua kawasan pilihanraya. Namun ianya tidak semudah yang disangka kerana komposisi penduduk atau pengundinya. Ini mungkin tidak menjadi masalah bagi sesebuah negara yang mempunyai masyarakat yang homogenous iaitu terdiri dari satu rupabangsa sahaja. Keadaannya berlainan apabila masyarakat berbentuk multiracial (berbilang bangsa) dan multireligious (berbilang agama). Salah sebuah negara yang bercirikan demikian ialah Malaysia yang seharusnya mempunyai formula bagi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran negara.

Sebelum merdeka lagi, Persekutuan Tanah Melayu telah dihuni oleh pelbagai etnik. Bagi maksud kemerdekaan, tiga parti utama mewakili tiga kaum terbesar iaitu UMNO, MCA dan MIC telah mengamalkan konsep kongsi kuasa. Perkongsian diberi nafas dalam satu parti dinamakan Perikatan dengan simbolnya kapal layar. Maka belayarlah kapal layar tersebut dalam Pilihanraya Umum 1955 menuju destinasi hubungan etnik yang baik hingga menghasilkan kemerdekaan negara.

Perkongsian kuasa diteruskan dalam siri pilihanraya berikutnya dan sekaligus menjadi formula perpaduan. Kesan Pilihanraya 1969 kembali menyedarkan rakyat bahawa tidak ada kaum yang boleh memerintah sendiri dan kesedaran ini membawa kepada kejayaan cemerlang dalam Pilihanraya 1974. Nama Perikatan kemudiannya ditukar kepada Barisan Nasional sebagai wahana perkongsian kuasa yang utuh.

Apa yang menarik konsep kongsi kuasa ini juga telah menjadi mainan tarik tali antara parti BN dan pembangkang.

PAS pernah bergabung dalam Barisan Nasional pada tahun 1970an era Tun Razak. Selama lebihkurang 10 tahun, PAS, DAP dan PRM bergabung dalam Barisan Alternatif. (BA) menentang BN. PAS pernah 'berkahwin' dengan Parti Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam Pilihanraya 1990. Dato' Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan gabungan PAS-PKR-DAP-PRM sebagai Pakatan Rakyat pada 1 April 2008 dan mewar-warkan untuk mengambil alih pemerintahan negara secepat mungkin kononnya seramai 30 Ahli Parlimen akan lompat parti ke Pakatan Rakyat.

Kita bahaskan penggabungan PAS dalam Pakatan Rakyat. PAS mengaku berjuang untuk menegakkan Islam. Matlamat akhir untuk menubuhkan Negara Islam (cara mereka). PAS bergabung dengan PKR (parti sekular) walaupun pemimpinnya bekas ketua sebuah Gerakan Islam. Bekerjasama pula dengan DAP. DAP ialah sebuah parti orang kafir. Penggabungan atau kerjasama ini berlaku kerana inginkan sebuah kerajaan dengan menumbangkan kerajaan sedia ada. Oleh itu, part-parti ini bekerjasama untuk merampas negara dengan mengenepikan dahulu soal prinsip perjuangan. PAS mengenaepikan dahulu soal Negara Islam, DAP lupakan dahulu Malaysian Malaysia dan PKR impikan DSAI menjadi Perdana Menteri. Bila berjaya (contohnya) nanti, bagaimana soal ideologi mahupun prinsip perjuangan yang suci murni itu?

Aspirasi DSAI pada 8 Mac 2008 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru pada 16 September 2008 setelah menjangkakan 30 orang Ahli Parlimen BN akan melompat parti. Oleh itu, PKR bertujuan untuk menubuhkan juga sistem yang sama dengan BN dan tidak menyebut pun mengenai Negara Islam. Ini kerana PKR tidak dapat memerintah sendirian tanpa PAS dan DAP. Mahukah DAP menerima konsep Negara Islam PAS? Sudah ada kenyataan DAP mereka tidak pernah berminat untuk Negara Islam atau melaksanakan undang-undang Islam. Bahkan DAP akan menentang habis-habisan hasrat tersebut. Kerjasama apakah seperti ini? Hanya untuk menjatuhkan BN sahaja dan akhirnya terperangkap dalam permuafakatan yang tidak akan menemui jalan penyelesaiaannya.

Pakatan Rakyat (PR) telah menawan lima negeri dalam PRU 12. Di Pulau Pinang, PAS tidak mampu bersuara di negeri tersebut. Penggabungan hanya menguntungkan DAP yang tidak mahukan Islam. Nasib orang Melayu tidak terbela dan cita-cita Islam pun hanya tinggal harapan sahaja.

Di Perak pula, PAS bekerjasama dengan mereka yang kufur. Tidak mahu kerajaan campuran dengan UMNO/BN dan akhirnya seluruh rakyat tahu orang bukan Melayu juga yang kenyang mendapat habuan dari kerajaan baru Perak yang hebat ini. Kenapa tidak disuarakan kep entingan Islam? Kerana hanya sekadar menjadi boneka semata. Tahniah Melayu!

Kerjasama PAS-PKR-DAP berjaya menawan Selangor Darul Ehsan. Apakah ada hukum Allah yang telah berjaya ditegakkan oleh PR? Industri khinzir lebih hebat diingini oleh kerajaan baru. Perbalahan Dr Hasan Ali merupakan manifestasi ktidakserasian perkahwinan mutaah ini. Umat Islam dan cita-cita keIslaman menjadi mangsa permainan perebutan kuasa.

Di Kedah pula, walaupun PAS menguasai majoriti pemerintahan, tidak ada apa-apa pun hukum hudud yang dijanjikan dapat dilaksanakan kerana takut kepada rakan dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang menariknya, dalam satu keadaan, parti UMNO dihentam dengan hebat kerana semangat kebangsaan Melayu yang sekular, tetapi mereka mendokong PKR yang lebih sekular. Parti sesama beragama Islam dihentam habis-habisan kerana UMNO tidak memperjuangkan Islam. Namun bagaimana pula dengan DAP yang memang jelas parti oang kafir yang tidak pernah mahu berkompromi dengan cita-cita Negara Islam. Karpal Singh pernah mencabar melangkah mayatnya yang tidak boleh berdiri lagi menyebabkan lebih mudah untuk melangkahi mayatnya sebelum menubuhkan Negara Islam cara atau kaedah PAS. Apakah ideologi dan Islam itu sendiri dikorbankan dan diganti dengan slogan lain demi menjaga perkongsian itu.

Kalau kahwin mutaah DAP-PAS-PKR tidak mampu menegakkan Islam, mengapa tidak PAS bekerjasama atau membentuk kerajaan perpaduan atau kerjasama perpaduan atau apa pun namanya untuk bekerjasama menyatukan umat Islam berbangsa Melayu dalam negara kita yang tercinta ini? Wassalam.







UMAT ISLAM DI AMERIKA

Walaupun bilangan umat Islam di Amerika kini lebih ramai daripada pengikut agama Yahudi, mereka menghadapi pelbagai masalah dalam masyarakat Amerika yang majoritinya beragama Kristian. Bilangan umat Islam di Amerika pada tahun 2000 seramai 6 juta orang. Lebih sejuta orang menetap di California.

Laporan pada tahun 1993 menunjukkan telah wujud sebanyak 800 buah masjid dan bilangannya meningkat sehingga 2000 buah.

Orang-orang Islam yang mula-mula tiba di Amerika ialah golongan kulit hitam yang dirantai dan dijual sebagai hamba abdi mulai tahun 1530 di Afrika Barat. Mereka dijual kepada pedagang-pedagang kulit putih dan seterusnya dibawa ke Brazil, Kepulauan Caribbean dan Amerika.

Peninju terkenal Muhammad Ali telah memeluk Islam pada tahun 1964 dengan menggugurkan nama asalnya Cassius Clay dan pengislamannya telah diumumkan dalam satu sidang akhbar. Beliau memberitahu hadirin bahawa nama Cassius Clay adalah nama hamba abdi.

Seorang lagi pejuang kulit hitam ialah Malcolm X yang menukar namanya kepada Abdul Malik Shabaz. Beliau sewaktu dalam penerbangan untuk mengerjakan haji di Mekah mencatat: 'Pesawat ini penuh dengan penumpang pelbagai warna kulit. Kesemua mereka bersaudara dan menyembah Tuhan Yang Esa'.

Fasa yang penting dalam kehidupan perjuangan Malcolm X ialah sekembalinya beliau dari menunaikan ibadah haji. Kesan ibadah haji ini sangat besar dalam jiwa Malcolm X dan menajamkan pemahamannya terhadap konsep universaliti Islam. Lantas beliau menulis: 'Amerika perlu memahami agama Islam kerana ia satu-satunya agama yang mengenepikan masalah suku kaum. Saya tidak pernah melihat sebelum ini amalan persaudaraan oleh manusia pelbagai warna kulit.'

Presiden Amerika kini berketurunan Afro-Amerika. Beliau telah berucap di Mesir yang ucapannya dinanti-nanti bagi mengetahui dasar Amerika terhadap Islam dan umat Islam. Kenyataan jelas bahawa dua perkara penting tidak dapat diubah iaitu Amerika tetap sebagai super power dunia dan dasar Amerika terhadap Israel tidak dapat diubah. Msej ini jelas sesiapa sahaja yang menjadi Presiden Amerika terpaksa akur dengan tradisi ini.

Mengapa Amerika memusuhi Islam tidak dapat tidak mempunyai hubungkait dengan Israel Israel telah menggunakan Amerika sebagai alat untuk menghalalkan pembunuhan umat Islam. Yahudi inginkan sebuah 'Negara Israel' lebih besar iaitu bersempadan dari Sungai Nil ke Sungai Euphrates.

Apa yang boleh dibuat oleh umat Islam dunia bagi membetulkan tanggapan salah terhadap Islam termasuk di Amerika? Mungkin ini adalah peranan badan-badan Islam di Amerika seperti Islamic Centre di Washington, Chicago Islamic College,badan-badan penyelidik Islam, peranan masjid-masjid dengan kegiatan dakwah bagi memperhebatkan penerangan. Islam difahami sebagai agama perdamaian yang menganjurkan persahabatan dengan semua penganut agama, benci kepada keganasan dan menyokong hak asasi manusia yang tidak bercanggah dengan prinsip manusia bertamadun. Islam menentang sebarang bentuk penindasan dan kezaliman bahkan mengimpikan kedamaian sejagat.

Bekas Presiden Bush pernah berucap di atas rostrum yang tertulis: "We stand with Israel".




Sunday, September 27, 2009

NASIHAT MAHATHIR MASIH PERLU

YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad masih hebat. Dalam usia beliau 80an, beliau masih boleh menulis, mengingati fakta, memberi ucapan yang punya pesona tersendiri, berhujjah dengan begitu baik yang mungkin tidak dapat ditandingi oleh orang lebih muda.

Beliau seorang pejuang nasionalis. Hidupnya penuh dengan ranjau sehingga diterima sebagai seorang negarawan ulung. Ucapannya dinanti oleh seluruh dunia.

Setelah bersara dari jawatan Perdana Menteri, beliau tidak bersara daripada terus memberikan pandangan. Selain dari memenuhi undangan untuk memberi ucapan, beliau juga menulis dalam blog. Banyak isu disentuh dan pendirian Tun konsisten sama seperti ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Apa yang perlu kita pelajari dari Tun? Antaranya ialah semangat perjuangan yang kental. Semangat kental ini terbentuk kerana beliau pernah hidup sengsara dalam zaman penjajahan. Penjajahan Siam dan Jepun serta British banyak memberi kesan kepada jiwa nasionalis beliau. Azam begitu kuat untuk mendapatkan pemerintahan sendiri lantaran tidak rela melihat bangsa dijajah.

Saya rasa Tun antara orang yang boleh dijadikan rujukan untuk melihat bagaimana Muslim minoriti ditindas di negara lain sedangkan minoriti bukan Islam di negara kita diberikan layanan begitu baik. Tun boleh menunjukkan fakta bagaimana dulunya orang bukan Melayu diberikan kerakyatan sebagai balasan penerimaan mereka terhadap Kontrak Sosial. Keberanian ini amat dikagumi hinggakan beliau tidak kisah kalau ada orang yang tidak bersetuju dengan beliau termasuk memberikan gelaran yang tidak enak didengar kepada eorang negarawan.

Dalam soal hubungan antara kaum di Malaysia, nasihat Tun juga drasakan sangat berkesan. Kita tentu masih ingat bagaimana Tun dapat menyelesaikan masalah dalam parti komponen Barisan Nasional dengan baik. Segala masalah apabila mendapat 'sentuhan' dari Tun ianya akan senyap dan selesai. Maka komponen pun terus bekerja untuk mendapat sokongan rakyat berbilang kaum.

Sewaktu negara berhadapan dengan krisis kewangan pada tahun 1997 dan 1998, pendekatan Tun telah diakui oleh pakar-pakar ekonomi dunia. Dalam keadaan kemelesetan ekonomi, kakitangan awam masih mendapat bonus setengah bulan pada satu tahun. Namun selepas itu, kembali menikmati bonus sebulan gaji.

Tun DrMahathir percaya ekonomi negara perlu di'generate'. Contohnya kalau kita simpan air dalam tempayan, air tersebut tidak akan berkembang. Ianya tidak berfaedah sebaliknya boleh menjadi sarang nyamuk aedes. Sebaliknya sekiranya air tersebut digunakan untuk menyiram tanaman, kita akan dapat hasilnya dan dapat lebih banyak air lagi berbanding kita simpan sahaja air tersebut tanpa menggunakannya. Teori ekonomi Tun ternyata berjaya membawa kemakmuran negara.

Dalam hubungan negara serantau, diplomasi Tun disegani oleh negara jiran. Pandangan beliau dihargai oleh pemimpin ASEAN dan negara Dunia Ketiga. Apabila beliau berucap mengenai hubungan Malaysia-Singapura, rakyat di kedua-dua negara dapat menerima dengan baik.

Apa yang dimaksudkan di sini, pandangan Dr Mahathir masih sangat diperlukan dengan tidak menafikan kehebatan pemimpin semasa. Cuma janganlah disalahgunakan perlantikan Tun Dr Mahathir sebagai penasihat kepada parti dan kerajaan. Wassalam.


INDIA MUSLIM

Golongan India Muslim pernah mengemukakan beberapa kali permohonan untuk menyertai Barisan Nasional melalui parti mereka KIMMA.

Parti KIMMA mahu berada dalam komponen Barisan Nasional bagi memperjuangkan nasib mereka dalam Barisan Nasional. Ini menunjukkan bahawa kaum India Muslim yakin kepada kerajaan BN. Mereka kaum India yang beragama Islam mungkin ada sedikit perbezaan dengan tuntutan kaum India yang beragama Hindu. Keadaan mereka tidak sama dengan orang Melayu yang dikira menganut Islam kesemuanya. Maka tuntutan orang Islam dikira juga sebagai tuntutan orang Melayu juga. Namun di kalangan orang India Muslim mereka juga ada tuntutan yang tidak sama seratus peratus dengan orang India beragama Hindu. Samada mereka Islam keturunan atau pun convert memeluk Islam.

Ini menunjukkan bahawa Islam boleh menjadi faktor penyatu umat di negara Malaysia. Sekiranya kita melihat kepada sejarah di negara India, ada di antara supai (tentera) Inid yang beragama Islam yang enggan menggunakan senapang tentera British kerana mendengar khabar peluru senapang disapu minyak khinzir. Perbalahan yang begitu panjang di India sendiri antara golongan Islam dan fanatik Hindu kerana faktor aqidah. Di negara yang ramai penganut Hindu itu juga, lahirnya ramai golongan Hafiz al-Qur'an. Pusat pengajian Islam tersohor di Deoband, Shahranpur menjadi tempat tumpuan menuntut ilmu termasuk oleh Tuan Guru Nik Aziz ketika muda dahulu. Pembunuhan Ghandi juga dikaitkan dengan ketidakpuasan hati golongan fanatik Hindu kerna kononnya Ghandi terlalu baik kepada orang Islam. Bukan niat saya untuk melagakan antara dua golongan kaum India ini sekadar ingin menunjukkan bahawa golongan India Muslim juga adalah antara kaum yang banyak menyumbang kepada sejarah negara. Bukankah Kesultanan Melayu Melaka juga ada hubungkaitnya dengan keturunan India Muslim dengan gelaran Mamak Bendahara..

Maka sewajarnyalah KIMMA diterima sebagai parti komponen Barisan Nasional..



JANGAN GUNA BAHASA KESAT DALAM KEMPEN

Alhamdulillah Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat mengingatkan mereka yang berkempen supaya tidak menggunakan bahasa yang kesat dalam siri kempen pilihanraya DUN Bagan Pinang. Agak saya bahasa kesat itu contohnya ialah menggunakan kalimah beruk, sesat, asabiyyah jahiliah termasuklah mendedahkan peribadi yang tidak elok untuk santapan khalayak ramai.

Semoga kempen-kempen sebelum ini termasuk pembangkang yang menggunakan kaedah al-maki wal hamun akan berbeza kali ini. Sudah tentu rakyat masih dapat mengingat siapakah penceramah yang gemar menggunakan style ini seperti mengatakan Mahathir terlalu berkuasa sebagai Tuhan, UMNO parti haram, UMNO parti sesat, fahaman UMNO sama dengan ajaran Ayah Pin, sanggup berdebat dengan UMNO supaya rakyat dapat tahu di mana kesesatan UMNO, UMNO lah yang enggan melaksanakan undang-undang hudud dan banyak lagi.

Retorik yang enak didengar bukan lagi menjadi penawar kepada permasalahan umat Melayu Islam. Hak Melayu Islam mesti dipertahankan dan apa yang mampu diperkuatkan. Takut nanti apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Melayu dan Islam pula akan terhakis sedikit demi sedikit dari kuasa orang Melayu.

Tok Guru perlu mengingatkan supaya para penceramah dari kelompok mana pun agar menelaah kitab Imam al-Ghazali Ihya' Ulumiddin mengenai bahaya lisan yang tidak bertulang. Semoga kempen orang Melayu akan lebih beradab. Orang bukan Melayu bertepuk tangan mendengar Melayu maki hamun sesama Melayu. Wassalam.

Saturday, September 26, 2009

AL-FATIHAH UNTUK DATO ABD RAHIM BAKAR

Seorang lagi pemimpin telah meninggalkan kita. Bezanya pemimpin yang baru meninggal ini tidak melibatkan perlu diadakan Pilihanraya Kecil lagi. Ini adalah kerana beliau bekas Menteri Besar Pahang.

Saya masih ingat lagi walaupun pada waktu itu saya masih di bangku sekolah. Saya dengar Allahyarham adalah seorang pemimpin yang sanggup menanggung akibat ketidaksetujuannya terhadap orang atasan beliau. Demi rakyat dan demi kebenaran, beliau sanggup dipecat dari jawatan yang memang sukar untuk didapati. Mengetuai sebuah negeri. Bolehkah kita mendapat seorang pemimpin sebegini yang sanggup mengorbankan jawatan yang sebegitu besar? Pada masa beliau menjawat jawatan Menteri Besar Pahang, beliau masih sangat muda hingga ramai orang meramalkan nasib karier dalam bidang politik masih sangat jauh. Inilah pemimpin masa hadapan negara. Dari negeri Tun Razak.

Nasib tidak menyebelahi beliau dalam bidang politik. Beliau terus menabur bakti dalam banyak bidang yang lain. Dalam bidang sastera, sukan dan lain-lain lagi.

Apa yang telah menimpa beliau dapat saya sebutkan beliau telah menahului zaman. Apa yang telah beliau alami mendahului zaman. Perjuangan beliau menjadi isu negara sewaktu zaman Tun Dr Mahathir. Sejarah membuktikan mereka yang mendahului zaman terpaksa menemui 'ajal' perjuangan lebih awal.

Masih adakah atau sanggupkah calon pemimpin melalui 'track' Allahyarham Dato Rahim Bakar dengan tanpa menyesal, merajuk atau meninggalkan parti? Malah masih terus berjuang hingga ke denyut nadi terakhir...al-Fatihah untuk pejuang bangsa ini...semoga rohnya berada di tempat yang diredai Allah s.w.t.....