Thursday, October 6, 2011

DOA PMR 2011


ِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِي
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ,
وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

ِ يا الله يا رحمن يا رحيم

Engkau Maha Mengetahui kami anak-anak pelajar Tingkatan 3 SMK Dato’ Mohd Yunos Sulaiman sebentar lagi akan melangkah ke dewan peperiksaan meneruskan agenda penting kehidupan kami menduduki Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2011 ini bagi Kertas....... yang akan mencorakkan masa hadapan kami bagi memenuhi harapan ibubapa
kami, guru-guru dan masyarakat keseluruhannya.

يا الله يا حى يا قيوم

Oleh itu, kami menadah tangan kehambaan kami memohon kepada Mu dengan penuh rasa tawaduk, Engkau cerdaskan akal kami supaya kami dapat memahami kehendak soalan, tenangkan hati kami agar kami tidak resah gelisah di dalam dewan, berilah ilham kepada kami di saat-saat kami menghadapi kebuntuan, ingatkanlah kembali segala yang kami telah terlupa daripada pengajaran guru-guru kami, bantulah kami dengan mengurniakan idea-idea yang bernas agar kami dapat memberikan jawapan yang terbaik demi melakar kejayaan yang cemerlang.

يا الله يا غنى يا حميد

Lindungilah anak-anak kami dari segala bentuk gangguan samada dari manusia ataupun jin yang tidak kelihatan. Dengan belas ihsan Mu, anugerahkanlah kejayaan kepada kami sebagai hadiah atas budi dan pengorbanan ibubapa kami yang mengharapkan kepulangan kami bersama keputusan yang membanggakan. Ampunkan dosa kami, dosa ibubapa serta guru-guru yang kami kasihi.

Sunday, October 2, 2011

CAKAP SEORANG AHLI POLITIK



Sebagai seorang ahli politik lebih-lebih lagi seorang yang memegang jawatan tertinggi Ketua Negeri sentiasa bekerja keras untuk memajukan negeri agar rakyat masih terus memberikan sokongan kepada mereka. Kita dapat menerima hakikat ini. Bekerjalah dengan apa cara sekalipun agar negeri terus makmur dan rakyat dapat menikmati hasil pemerintahan tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa dan juga agama. Termasuklah ke sana ke mari untuk menarik pelaburan asing.

Demikianlah kisah Lim Guan Eng anak Lim Kit Siang. Siapakah yang tidak dapat menafikan akan keceluparan mulutnya selama ini? Sebaik sahaja menjadi pemimpin nombor satu di Pulau Pinang, beliau menyamakan kerajaannya sebagai sama waktu dengan pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz dari segi Islamiknya kononnya. Mengapa dia sebut nama Khalifah Umar yang hebat, kenapa tidak mengambil contoh yang baik-baik katalah seperti Shih Huang Ti yang membina Tembok Besar Negara China yang merupakan antara tempat di bumi yang dapat dilihat dari bulan, kenapat idak ambil kata-kata mutiara hikmah Kung Fu Tze? Adakah ini sengaja dilakukan demi meraih sokongan politik murahan daripada orang Melayu yang rakus dan ingin segera menggapai impian menjadi wakil rakyat?

Perbuatan Lim Guan Eng ini saya anggap sengaja mempolitikkan nama khalifah tersohor dan perbuatan ini adalah “mempersendakan” agama Islam. Di mana peranan, di mana suara dan di mana fatwa para ulama dalam saf kepimpinan PAS? Kalaulah tidak kerana rakan sebantal mereka PAS Lim pasti tidak akan menggunakan nama khalifah yang warak ini sebagai permainan dan silat politiknya yang busuk itu lantaran ingin menyekat perkembangan Islam seterusnya melalui penafian kuasa politik Melayu di tanahair ini.

Kenapa Lim menyebut isu ini di Singapura? Kerana Singapura adalah abang kandung DAP. Sejak dari dulu PAP dan DAP mempunyai matlamat yang sama. Pada masa tersebut mereka tidak pernah terfikir bahawa orang Melayu akan sanggup bersama-sama mereka. Bolehkah ada mana-mana ahli sejarah akan bersetuju bahawa sejak dari dulu DAP di Tanah Melayu dan PAP di Singapura pernah menyebut bahawa mereka akan memberi ruang kepada agama Islam sekiranya Tanah Melayu merdeka?

Sejarah mencatatkan bahawa PAP telah berjaya menubuhkan kerajaan di negeri Tun Nila Utama itu. Mereka menumpang mendapat merdeka bersama Persekutuan Tanah Melayu. Lantaran inginkan sebuah negeri Cina untuk orang Cina mereka telah melakukan usaha bagi memisahkan diri dari Persekutuan Tanah MELAYU.

Presiden Singapura yang pertama Tun Yusof Ishak dan lagu kebangsaan mereka “Majulah Singapura” kononnya sebagai bukti bahawa orang Melayu masih mendapat tempat di hati pemimpin mereka.

Lee Kuan Yew dalam usaha mendapat sokongan orang Melayu di Singapura mengeluarkan kenyataan “Malay Singaporean are different”. Maknanya Melayu Singapura tidak seperti Melayu Malaysia. Gula-gula ini telah menyebabkan sebahagian orang Melayu di Sngapura mendabik dada dan mengatakan “ Kita orang tak sama dengan awak orang.” Hebatnya psywar yang digunakan dan dijalankan oleh LKY.

Dan kini cucunya pula Lim Guan Eng menyebut bahawa pemerintahannya menyamai kerajaan di bawah pimpinan Khaifah Umar bin Abd Aziz. Kalau orang Melayu Singapura terpesona dengan kata-kata LKY di Singapura malangnya orang Melayu di Malaysia pula jangan lah teruja dengan kata-kata “mempersendakan bangsa Melayu dan agama Islam” oleh Lim Guan Eng.

Singapura agen Yahudi di Asia Tenggara kini menjadi mentor kepada kerajaan Yahudi Pulau Pinang..

INSAFLAH WAHAI SAUDARA SEAGAMA DAN SEBANGSA KU..

Tuesday, September 27, 2011

AJARAN SESAT DI MALAYSIA



Kadang-kadang kita terfikir juga mengapa masih ada orang Melayu beragama Islam tertarik untuk mengikuti ajaran sesat yang jelas mengubah bentuk-bentuk ibadah dalam Islam?

Nafsu manusia tidak suka kepada perkara-perkara yang dianggap mengongkong kebebasan. Tidak payah beribadah. Cukup solat dengan niat sahaja. Boleh melakukan maksiat atas nama agama. Pasti menyeronokkan nafsu bejat lantaran maksiat dibolehkan. Dan yang paling menarik minat mereka ialah perbuatan maksiat ini di”halal”kan atas nama ajaran Islam.

Ajaran sesat bermaksud semua ajaran dan juga amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikat yang sebenarnya ialah bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah. Ianya merupakan satu penipuan atas nama agama Islam yang suci kerana membuat tafsiran yang menyeleweng daripada ajaran sebenar.

Mengelirukan juga apabila istilah-istilah seperti solat, niat, puasa, haji digunapakai namun kaedah melaksanakan ibadat tidak seperti yang diajarkan oleh Islam. Contohnya seperti puasa Cuma 19 hari, solat sudah cukup dengan niat sahaja, haji boleh ditunaikan di tempat selain Mekah dan yang paling menarik minat ialah mungkin dengan nikah cara batin tidak perlu melalui prosedur pejabat agama.

Apakah orang Melayu boleh menerima istilah Rasul Melayu seperti yang berlaku di Selangor sedikit masa lalu. Mungkinkah pengikutnya akan lari setelah rasul ini disabitkan bersalah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun termasuk tempoh 6 bulan tahanan di Pusat Pemurnian Aqidah serta denda RM16,500 bersama 6 sebatan? Ataupun pengikutnya masih menyembunyikan amalan mereka secara tanpa diketahui oleh pegawai pejabat agama? Di tempat-tempat yang terlepas dari serbuan pula.

Ajaran sesat muncul dalam tiga bentuk iaitu bentuk ajaran, tariqat dan kepercayaan.

Melalui bentuk ajaran, ajaran-ajaran ini selalunya direka atau dicipta oleh seorang guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan nama-nama tertentu.

Ajaran sesat dalam bentuk tariqat menggunakan nama-nama tariqat yang masyhur yang menjadi amalan ulama terdahulu seperti tariqat Ahmadiyyah, Naqsyabandiyyah, Sazaliah, Samaniah, Qadariah, Mufarridiyyah dan lain-lain sedangkan ianya berlawanan dengan tariqat asal tersebut jika dilihat dari sudut amalan dan kepercayaan yang terpesong daripada al-Qur’an dan al-Sunnah.

Ajaran sesat juga disebar melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang berhubung dengan amalan mistik dan kultus. Bentuk kepercayaan seperti ini telah menjadi perkara lumrah dalam kalangan orang Melayu di negara kita.

Antara kepercayaan seperti ini ialah:

• Pemujaan tempat-tempat yang dianggap keramat
• Pemujaan terhadap wali-wali yang dianggap mempunyai kelebihan
• Kepercasyaan kepada kuasa sakti melalui amalan seni mempertahankan diri
• Kepercayaan kepada dukun dan bomoh yang mendakwa mereka mendapat ilmu dukun dalam mimpi dan orang halus melalui amalan menurun dan sebagainya.

Sehingga tahun 2008, pihak JAKIM telah mengenalpasti sebanyak 55 jenis ajaran sesat dan ajaran-ajaran tersebut telah diwartakan sebagai haram kerana boleh memesongkan aqidah umat Islam. Menurut maklumat masih terdapat 12 ajaran sesat yang masih aktif. Pihak berkuasa Berjaya mengawal ajaran sesat daripada terus berkembang dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan serta orangramai.

Ciri-ciri ajaran sesat

1. Mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam
2. Mengikut kepercayaan yang bertentangan dengan aqidah Islam
3. Meyakini turun wahyu selepas al-Qur’an
4. Mengingkari atau menafikan kebenaran al-Qur’an
5. Mentafsir ayat al-Qur’an tanpa merujuk kepada tafsiran yang muktabar
6. Menolak kedudukan hadis Nabi sebagai sumber ajaran Islam
7. Merendahkan martabat para Nabi dan Rasul
8. Mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul terakhir
9. Mengubah asas dan bentuk ibadat yang ditetapkan syarak
10. Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil yang syarie.

Kaedah mengatasi:

1. Memantapkan kefahaman Islam yang sebenar
2. Memberi maklumat mengenai kumpulan ajaran sesat kepada Pejabat Agama Islam
3. Mendidik anak dan pelajar dengan ilmu yang hak
4. Merujuk kepada Pejabat Agama agar guru yang bertauliah sahaja yang dibenarkan mengajar ilmu tariqat atau tasawwuf
5. Menguatkuasakan undang-undang bagi mengawal dan membenteras ajaran sesat hingga ke akar umbinya.

Wednesday, September 7, 2011

PEMIDATO TERBAIK NEGARA?



Mungkin terdapat beberapa tafsiran mengenai cara negara kita memperolehi kemerdekaan negara pada tanggal 31 bulan lapan 57..seperti lagu yang didendangkan dengan penuh semangat oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

Ramai yang telah terkorban semenjak Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511. Pastinya tempoh selama 446 tahun 7 hari dijajah tidak terkira mereka yang berjuang membebaskan kembali negara dari cengkaman penjajah. Sekiranya kita hendak senaraikan nama-nama pejuang selama 400 tahun itu kita tidak akan mampu melakukannya. Masing-masing ada peranan Cuma sejarah tidak mampu untuk menceritakannya semua.

Sebab itu kalau kita hendak mengkaji sejarah penentangan anak watan terhadap penjajah, kita membahagikan kepada beberapa period. Apa yang pasti semangat untuk merdeka telah tertanam selama 446 tahun.

Ada peranan golongan agama termasuk gerakan reformis Islam yang pulang dari pengajian di Mesir. Mereka juga mendapat inspirasi memperjuangkan Nasionalisme Melayu hasil pemerhatian mereka sewaktu belajar di luarnegara.

Begitu juga dengan kebangkitan golongan pondok seperti di Gunung Semanggol, Perak yang mahu membebaskan negara dari tangan penjajah kafir.

Golongan guru dan penulis juga tidak dapat dinafikan akan sumbangan mereka terhadap meniupkan kesedaran rakyat untuk memerintah sendiri.

Maka sudah tentulah penentangan secara terpisah-pisah tidak mampu untuk memperjuangkan nasionalisme Melayu.

Anak raja dan bangsawan Melayu diberikan pendidikan oleh pentadbir British. Maktab Melayu Kuala Kangsar yang ditubuhkan pada tahun 1906 bertujuan untuk mendidik anak-anak golongan elit Melayu pada masa itu.

Sewaktu belajar di London, anak-anak bangsawan Melayu ini telah terbuka horizon pemikiran mereka dengan keadaan di seluruh dunia. India sebagai contohnya telah mencapai kemerdekaan daripada pihak British pada tahun 1947 iaitu 10 tahun lebih awal daripada Tanah Melayu. ini menyebabkan mereka berfikir mengapa pula Tanah Melayu tidak cuba untuk menuntut kemerdekaan juga daripada British?

Peluang pendidikan yang terbuka luas kepada mereka ini menyebabkan mereka berfikir untuk tidak meneruskan kehidupan di bawah penjajahan. Mereka telah belajar mengenai demokrasi, sistem Westminster dan perlembagaan negara. Mengapa tidak boleh merdeka walaupun British mempunyai kepentingan ekonomi di Tanah Melayu namun abad ke 20 memperlihatkan bahawa aktiviti perdagangan dan perniagaan akibat Revolusi Perindustrian boleh diteruskan tanpa perlu menjajah sesebuah Negara. Penjajahan mungkin perlu bagi menguasai ekonomi serta hasil bumi negara anak jajahan pada abad ke 15 dan 16. Dunia sedang berhadapan dengan kuasa ekonomi yang berbeza berbanding dengan zaman perlunya armada kapal yang hebat sebagai lambang kemajuan sesebuah negara seperti Portugal dan Sepanyol.

Maka atas dasar kefahaman tersebut, pemimpin UMNO dan Perikatan telah bersepakat untuk menuntut kemerdekaan daripada British iaitu Tanah Melayu menjadi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat di samping menyediakan mekanisme bagi British masih boleh menjalankan aktiviti ekonomi mereka.

Kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang telah sekian lama bertapak dalam hati orang Melayu disusun dengan rapi mendapatkan persetujuan British agar Tanah Melayu merdeka. Pengalaman India merdeka menjadi inspirasi kepada rombongan menuntut kemerdekaan ini.

Sistem pentadbiran daerah dengan District Officer kini Pegawai Daerah (DO) diperkenalkan. Wujud skim perkhidmatan MCS (Malayan Civil Service) kini Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). System pengurusan dan pentadbiran tanah diperkenalkan dan kini menjadi begitu berkesan melalui pengenalan geran tanah.

Rakyat juga diajar untuk membentuk kerajaan dengan melalui sistem pilihanraya. 52 kawasan dibahagikan sebagai kawasan Parlimen. Parti yang menang akan membentuk kerajaan. Begitulah British mendidik kita bagaimana memilih pemimpin serta membentuk kerajaan.

Katalah kita tidak memilih cara begitu sebaliknya kita mengikut rentak mereka yang mahu merdeka bersama Gagasan Indonesia Raya. Cuba kita bayangkan sekarang mungkin keadaan negara kita tidak akan menjadi seperti pada hari ini. Kerana didikan yang akan kita terima akan berlainan daripada didikan British. Apakah dengan menerima gagasan Indonesia Raya itu kita akan menjadi lebih Islamik daripada sekarang? Tidak dinafikan mereka juga mempunyai cita-cita untuk memerdekakan negara ini pastinya!

Melihat kepada realiti hari ini, Indonesia berjaya menjadi negara yang mempunyai bilangan umat Islam yang ramai namun apakah sistem, perlembagaan dan segala-galanya akan menjadi serasi dengan syariat Islam sebenar.

Tidak siapa pun akan dapat menjangkakan atau meramal masa hadapan. Begitulah ikhlasnya para pejuang radikal atau golongan kiri dahulu. Mereka berjuang dengan cara yang mereka rasa berpeluang untuk menyumbang tenaga dan pemikiran ke arah merealisasikan negara berdaulat.

Oleh itu, peranan masing-masing kelompok pejuang tidak dinafikan maka apa salahnya anak-anak cucu cicit mereka pula mengiktiraf sumbangan UMNO dan parti Perikatan dalam memberikan kemerdekaan serta mengagihkan taraf kewarganegaraan yang melayakkan mereka mendapat biasiswa contohnya tanpa mengira ideologi parti.

Sekiranya PKM berjaya menubuhkan kerajaan di Tanah Melayu dalam tempoh darurat dari tahun 1948-1960 maka nenek moyang kita pasti melalui jalan yang lain daripada jalan yang telah pun tercatat dalam sejarah yang kita nikmati hasilnya sekarang.

Sejarah dipelajari untuk dihayati dan sebaliknya bukan untuk dikesali dan dicaci serta dinafi sumbangan sesiapa..

Apa yang penting sekarang ialah bagaimana untuk mengisi kemerdekaan negara bukannya mengungkit siapakah yang lebih berjasa kepada negara inipada masa yang lampau..

Maka debat tidak perlu buat masa ini..

Monday, September 5, 2011

UNDI POS ANGKATAN TENTERA


Berikut saya paparkan tulisan oleh Let Kol. (B) Shobri Darus yang juga merupakan salah seorang mantan Pengarah Penilaian Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri..

DAKWAAN wujudnya manipulasi dalam proses pengundian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh empat bekas tentera telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Malahan pendedahan yang dilakukan melalui sidang akhbar yang diatur oleh Pas, pada 17 Ogos lalu menarik perhatian pelbagai pihak terutama di kalangan pengikut dan ahli parti pembangkang, golongan anti-establishment dan rakyat yang inginkan kebenaran mengenai isu ini.

Apa pun sebelum kita membuat sebarang andaian, satu perkara yang harus difahami dan diakui ialah proses pengundian yang diamalkan oleh ATM sememangnya tidak boleh dipertikaikan atau diragui.

Sejak pilihan raya umum pertama hinggalah sekarang, ATM sentiasa memperkemaskan prosedur dan sistem pengendalian pengundian secara profesional, telus dan bersih seperti mana termaktub dalam Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 Seksyen 16.

Proses pengundian yang dilaksanakan oleh ATM tiada banyak bezanya seperti yang dilalui oleh pengundi awam, cuma ia dilakukan dalam kem atau pangkalan tentera dan dilaksanakan lebih awal.

Pembuangan undi lebih awal ini telah mengambil kira persekitaran, kondisi dan taburan pengundi tentera yang beroperasi di kawasan hutan belantara yang sukar dihubungi melalui jalan darat melainkan penggunaan pesawat udara (helikopter).

Adakalanya terdapat sebilangan kecil kertas undi tidak dapat disampaikan kepada warga ATM yang beroperasi atas sebab cuaca buruk dan sebagainya.

Namun kertas undi ini akan dikategorikan sebagai "kertas undi tidak dikembalikan". Pelaksanaan sebegini turut memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengiraan undi bagi mendapatkan keputusan pilihan raya mengikut jadual.

Di sepanjang proses pengundian sudah semestinya ia dikendalikan oleh SPR dan dihadiri serta disaksikan oleh wakil calon yang bertanding bagi memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi sekali gus telus dan bersih.

Justeru, ATM tidak pernah memanipulasi kertas undi tentera malah tidak mungkin ia akan dimanipulasikan. Segala dakwaan bekas-bekas tentera berkenaan adalah palsu, tidak benar dan tidak berasas serta bermotifkan kepentingan peribadi dan politik.

Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan dakwaan mereka berunsur fitnah manakala pihak berkepentingan terutamanya Pas memperalatkan mereka bagi menjejaskan imej ATM.
Kita seharusnya sedar bahawa ATM merupakan sebuah organisasi yang profesional dan berpendirian apolitikal.

Aspek keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa diutamakan oleh ATM sejajar dengan tonggak utamanya sebagai Perisai Pertahanan Negara.

Ketika ini terdapat banyak pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja cuba mencemarkan imej ATM.

Walau apa jua bentuk serangan, ATM diyakini dapat menghadapi cabaran kerana teras kekuatan semangat juang warganya tidak mudah goyah atau rapuh.
Hakikatnya, ATM tidak akan terpengaruh atau terjejas dengan pelbagai usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecah belahkannya.

Justeru, semua pihak terutama pihak pembangkang disarankan agar tidak mencampuri urusan ATM kerana pasukan itu tidak mahu diheret mencampuri kancah politik tanah air.
Rakyat khususnya pihak pembangkang tidak perlu ragu dan sangsi terhadap proses pengundian ATM. Hak mengundi dan kebebasan untuk memilih kekal menjadi tanggungjawab setiap warga tentera tanpa sebarang unsur pengaruh atau arahan daripada semua lapisan kepimpinan ATM.

Track record parti pembangkang yang memenangi kawasan Parlimen dan DUN yang terdapat ribuan undi tentera seperti Parlimen Bayan Baru (1,200 undi), Ipoh Timur (1,600 undi), Subang (3,000 undi), Bukit Bintang (1,800 undi), Ketereh (2,300 undi), Bandar Kuching (3,100 undi) dan kawasan DUN berkaitan jelas membuktikan ATM tidak memanipulasikan proses pengundian tentera.

Jika tidak, mana mungkin parti pembangkang mampu memenangi kawasan Parlimen atau DUN tersebut.

Inilah sikap pembangkang, jika menang, kitalah segalanya tetapi jika kalah bertanding, pelbagai alasan dikemukakan tanpa mahu menerima kenyataan kelemahan dan ketidakupayaan diri sendiri secara individu atau kumpulan.

Kenyataan Panglima Angkatan Tentera pada 18 Ogos lalu mempamerkan mesej yang jelas akan amalan dan pendirian ATM yang telus lagi bersih dalam proses pengundiannya.

Semua bekas tentera turut disarankan untuk mengimbau kembali sumpah dan ikrar ketaatsetiaan yang dilafazkan ketika berkhidmat.

Apa pun masih belum terlambat untuk bekas tentera yang bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk balik ke pangkal jalan dan berganding bahu bersama ATM mempertahankan kedaulatan negara. Ternyata pihak pembangkang terutama Pas amat bimbang tentang undi tentera walaupun tidak wujud sebarang manipulasi.

Persoalannya, adakah mereka tidak yakin dengan kekuatan sendiri dan jentera parti serta sokongan rakyat kepada mereka atau sememangnya mereka mempunyai pelbagai kelemahan dan ketidakupayaan mentadbir negara sekali gus majoriti sokongan rakyat terus berpihak kepada BN yang diterajui UMNO.

Sekali lagi diperjelaskan bahawa ATM tidak pernah memanipulasi proses pengundian dan ia kekal dilaksanakan secara telus dan bersih - dulu, kini dan selamanya.

Friday, September 2, 2011

SALAH CIKGU SEJARAH?


Sekali lagi Mat Sabu telah berjaya menimbulkan kontroversi dengan ceramahnya di Tasik Gelugor. Umum telah mengetahui sebelum ini Mat Sabu terkenal dengan ceramahnya yang hebat. Ceramahnya mengeluarkan apa sahaja yang terdapat dalam hati perutnya tanpa memikirkan kesannya seperti mengatakan Dr Mahathir (Tun) sebagai “God” kerana kononnya Tun merupakan seorang yang sangat ditakuti pada zaman pemerintahannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Bekas peminat boria ini sangat pandai berjenaka dan berseloka. Kelebihan ini mampu menjadikan beliau sebagai “crowd puller” kepada pendengar ceramah. Kita tidak mahu berbincang samada Mat Sabu sebagai aset atau liabiliti kepada parti PAS. Kerana dalam keadaan sekarang ini semua ahli dan penyokong tegar PAS tetap akan mempertahankan ceramah Mat Sabu ini. Hujjah mereka sudah pasti meletakkan UMNO dan BN sebagai lebih berdosa, lebih buta sejarah dan memutar belitkan fakta sejarah dan juga lebih “berdosa” terhadap bangsa Melayu seperti tanah rezab dan kemiskinan orang Melayu sejak awal merdeka lagi.

Inilah mungkin cara dan stail berhujjah Mat Sabu. Untuk mengatakan bahawa UMNO sebagai pengkhianat agama, bangsa dan negara sahaja tidak dapat menaikkan “kebencian” orang terhadap parti itu. Maka disebutkan bahawa perjuangan UMNO lebih bahaya daripada PKM. Untuk mengelakkan atau mempertahankan kononnya mereka (PAS) adalah antara unsur subversif dan menentang kerajaan sama seperti PKM maka mereka mengalihkan pemahaman bahawa PKM lebih baik daripada anggota polis Bukit Kepong yang mempertahankan “kerajaan penjajah British” dan mereka menyamakan UMNO juga adalah tali barut penjajah. Tali barut ini iaitu UMNO telah berjaya mendapatkan kemerdekaan palsu yakni merdeka pada fizikal namun tidak dari segi sistem pemerintahan, perlembagaan dan cara hidup sekular hasil pendidikan yang diberikan kepada anak bangsawan Melayu di bawah penjajah.

Oleh kerana PKM menentang kerajaan British maka UMNO yang berbaik dengan British dikatakan tidak berhak dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Isu ini sudah lama kerana golongan asal pejuang PAS lebih tertarik kepada slogan gagasan “Indonesia Raya” sepertimana pejuang golongan kiri yang tidak menyokong perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan melalui pintu rundingan.

Apa lagi yang puak ini mahukan kerana matlamat bersama telah dicapai iaitu merdeka walaupun cara mendapatkan kemerdekaan itu tidak melalui buluh runcing dan darah merah yang tumpah ke bumi Malaya.

Hujjah yang tidak ilmiah ini sepatutnya tidak dilayan kerana ianya datang daripada pemimpin yang tidak akademik dan hanya berhujjah melaui pembacaan yang tidak matang ditambah lagi dengan nafsu yang tidak terkawal bagi mendapatkan kuasa pemerintahan dengan cara menimbulkan kebencian yang tidak berasas. Apakah kekalutan ini kerana mereka merasakan bahawa PRU 13 sudah tidak lama lagi maka sesuatu mesti dilakukan bagi meraih sokongan orang Cina dan juga orang Melayu kononnya UMNO tidak berhajat untuk mengamakan Islam dalam pemerintahan dan UMNO juga parti bersifat perkauman kepada orang Cina.

Niat Mat Sabu menjadikan isu ini sebagai “modal” sangat mudah difahami namun kenapa ada golongan cerdik pandai kononnya boleh mempercayai alasan longgar ini..

Mat Sabu tidak pandai dalam akademik namun kepandaiannya lebih terserlah dalam memainkan kata-kata kumpulan “boria” sungai tempayan..berbangga lah wahai penduduk Pulau Pinang yang berjaya melakonkan adegan lucu ini kini tinggal kita mendengar lagu dan penari boria pula sebagai penamat rancangan hiburan malam ini..

Wajarlah subjek Sejarah diwajibkan lulus sebagai syarat bagi mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia..


Monday, August 29, 2011

TULISAN TAN SRI NORDIN KARDI MENGENAI WAHAB JUSOH


Kebenaran atau kejahilan

PADA hujung minggu lalu, saya menerima pesanan melalui rakan saya, Kori bahawa seorang rakan lama yang mengikuti siri tulisan saya di Utusan Malaysia mencadangkan supaya menulis mengenai tradisi ilmu Islam bagi menentukan ketepatan sesuatu maklumat yang sekufu dengan kaedah saintifik moden.

Rakan yang saya maksudkan ialah Wahab Jusoh, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sekarang diletakkan di Jabatan Perkhidmatan Awam setelah ditukar serta-merta dari sebuah jabatan lain.

Saya kenali Wahab sebagai pegawai PTD yang sangat berdedikasi, jujur, setia kepada pemerintah dan tahap kesedaran tentang kesejahteraan negara adalah tinggi melampaui keghairahan rakan-rakan PTD lain yang saya pernah temui.

Ini diakui oleh bukan sahaja ketua-ketua beliau yang saya pernah berbual tetapi juga oleh rakan-rakan sebaya beliau. Demikian juga pengakuan mereka yang pernah bekerja di bawahnya. Jika beliau melalui Ujian Prestasi 360 Darjah yang saya pernah lalui di Universiti Harvard, saya yakin skor beliau akan lebih tinggi daripada skor saya.

Namun, Wahab seperti tidak dianugerahi pelbagai nikmat atas wibawanya itu dan pendakian kerjayanya seperti melalui jalan sukar. Mungkin nasib beliau sama dengan gagalnya kami semasa remaja mendaki puncak Tahan di Banjaran Titiwangsa tetapi dengan mudah menakluk puncak Kinabalu yang jauh lebih tinggi.

Demikianlah iktibar kehidupan yang perlu direnung: Bukan semua usaha mendapatkan yang rendah itu mudah dan semua yang tinggi itu pula susah. Suatu paradoks tentang kebenaran.

Panjang saya bercakap mengenai Wahab. Penting sangatkah beliau? Mungkin tidak penting kepada kebanyakan orang tetapi penting kepada saya dalam konteks isu yang beliau bawa dan kebolehpercayaan tubuh yang membawa isu itu.

Wahab bimbang dengan keadaan semasa segolongan rakyat Malaysia yang begitu mengambil ringan tentang kesahihan maklumat, rumusan dan kesudahannya membina pendirian tentang sesuatu kebenaran. Wahab risau adakah golongan itu mempunyai apa-apa kaedah dalam memastikan apa yang mereka percayai sebagai benar itu memang betul-betul benar? Atau, ‘kebenaran’ mereka itu hanyalah suatu elusi, delusi atau tahyul.

Tidakkah mereka takut nanti akan menjadi perosak, bukan pejuang kebaikan di muka bumi? Tidakkah mereka takut bahawa kebebasan abadi yang mereka perjuangkan itu rupa-rupanya suatu perjuangan menjerumuskan diri menjadi abdi kepada kuasa kezaliman yang jauh menyimpang dari pengabdian suci kepada Tuhan. Demikian fikiran Wahab yang saya dapat baca.

Golongan yang dimaksudkan oleh Wahab ini selalu pula menyeru bahawa kebenaran hanya boleh ditegakkan jika semua orang kembali kepada Quran dan Sunnah. Namun sangat sedikit yang rajin meneliti bagaimanakah tradisi ilmu mengumpul himpunan Sunnah itu sendiri.

Pemimpin mereka pula seperti dengan sengaja tidak mendorong ahli yang dipimpin mempelajari dan menyemak bagaimana cara mencari kebenaran. Mungkin mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana hadis Bukhari dikumpul selama 16 tahun oleh seorang manusia dengan menapis kira-kira 600,000 riwayat, yang kesudahannya hanya tinggal kira-kira 2,600 riwayat sahaja.

Demikianlah rapinya tradisi mencari kebenaran hadis walaupun yang diriwayatkan itu berkaitan dengan perbuatan dan kata-kata seorang manusia yang maksum. Sudah tentu daripada 600,000 riwayat itu terdapat ribuan riwayat yang baik-baik mengenai Nabi tetapi ditolak.

Adakah tradisi ini dipegang oleh golongan ini, termasuk oleh ilmuwan mereka yang terdiri daripada ahli-ahli teologi dan saintis? Atau, adakah mereka hanya fasih menyebut prinsip dan metodologi teologi dan sains di makmal atau semasa menghadap kitab, sebaliknya apabila berada di jalan raya atau di pasar mereka menjadi bomoh yang terikat dengan tradisi pasaran perbomohan dan perdukunan yang berminat dengan cerita hantu dan tahyul bagi mengikat pelanggan-pelanggan.
Sains menekankan tentang pentingnya metodologi yang tepat dan boleh dipercayai bagi memastikan sesuatu rumusan, kesimpulan dan dapatan itu diterima sebagai betul dan benar. Sama ada kaedah kualitatif atau kuantitatif dalam sains, kedua-duanya meletakkan kepentingan bukti sesuatu penemuan itu melalui proses yang rigor, tepat dan boleh dipercayai. Juga, ada prinsip-prinsip yang ketat untuk menolak atau menerima sesuatu anggapan kebenaran.

Dalam hal ini, saya selalu bercakap mengenai ketepatan ukuran statistik di dalam sains yang kadangkala gagal dilihat dalam sesuatu konteks. Seorang penyelidik sains sosial misalnya sudah cukup berpuas hati jika darjah kemungkinan salah (degree of error) berada pada tahap hanya lima peratus. Maksudnya dalam 100 kejadian, 95 daripadanya adalah benar seperti diramal.

Namun, saya kerap menyoal, jika di KLIA itu degree of error yang dipakai ialah 95 peratus tepat, saya pasti tidak akan ada sesiapa lagi yang berani berangkat terbang dari lapangan terbang itu. Maksud saya, dalam 100 keberangkatan terbang, lima kapal terbang akan kebarangkalian jatuh. Demikian pentingnya kebenaran dan ketepatan tafsiran statistik dilihat dalam konteks walaupun angka-angka yang dikemukakan seperti amat meyakinkan.

Tradisi mencari kebenaran dalam dunia Islam biasanya merujuk tradisi pengumpulan hadis kerana ia dikumpul oleh manusia biasa sedangkan al-Quran itu pula disampaikan oleh manusia yang maksum. Prinsipnya menyamai atau melebihi daripada tradisi sains yang saya ketengahkan secara ringkas sebentar tadi.
Pengumpulan hadis Bukhari, misalnya dikatakan mempunyai sifat ‘al-jamil’ kerana himpunan itu meliputi pelbagai perkara atau mengikut bahasa ilmu sekarang dipanggil sebagai komprehensif. Dalam konteks ini kita perhatikan bagaimana ahli ilmu di Malaysia sanggup bertegang urat, bahkan ada kalanya menjulang lengan ke udara, untuk menegakkan pendapat yang dianggapnya benar.

Pada hal, kebenaran yang dimilikinya itu sangat terhad kepada disiplin kecil ilmu yang dikuasainya, bukan kebenaran memenuhi ciri ilmu komprehensif. Dia pula dengan berani memetik cebisan hadis atau ayat-ayat Quran yang dipilih-pilih bagi memenangkan hujahnya.

Jika tradisi sains menekankan tentang ketepatan atau validity, tradisi hadis juga ada istilah yang dipanggil ‘sahih’. Menentukan ‘sahih’ dalam tradisi hadis bermaksud bahawa sesuatu riwayat itu telah melalui tapisan yang sangat ketat dari segi dokumen, periwayat, konteks riwayat itu dicatat atau didengar dan pelbagai lagi.

Dalam kaedah kualitatif sains sosial kesahihan dilakukan dengan kaedah seperti analisis kandungan, analisis dokumen, pengesanan tarikh, saksi-saksi kejadian dan triangulasi atau proses saling melengkapi antara dapatan dengan menggunakan pelbagai sumber dan kaedah pengumpulan dan analisis data bagi memastikan sesuatu itu benar-benar sahih.

Tepat semata-mata masih belum mencukupi di dalam tradisi hadis, sebaliknya riwayat itu ditapis lagi dengan apa yang dipanggil sebagai ‘al-musnad’. Di dalam sains istilah itu boleh disamakan dengan ukuran reliability. ‘Al-musnad’ melengkapkan ketepatan sesuatu riwayat dengan memastikan susur galur riwayat itu benar-benar rantaiannya sampai kepada Nabi. Jika putus, maka riwayat itu ditolak. Selepas dipastikan rantaian itu sampai kepada Nabi, disemak pula peribadi periwayat.

Jika periwayat itu biasa bercakap bohong dan kerap meninggalkan tanggungjawabnya kepada Tuhan, maka riwayat itu ditolak. Demikian ketatnya mencari kebenaran di dalam tradisi ilmu Islam, sedangkan dalam dunia sains sosial peribadi setiap responden daripada sesuatu sampel yang dipilih daripada sesuatu populasi yang besar tidaklah disemak sebegitu rapi dari satu individu ke satu individu.

Jika ada pun kaedah statistik untuk mengesan ‘pembohongan,’ ukuran itu hanya dibuat setakat mengukur kemungkinan pembohongan berdasarkan ‘respons’ pada suatu ketika dan pada lokasi itu sahaja. Statistik sains sosial biasanya tidak melakukan penyiasatan terperinci mengenai peribadi seseorang responden dalam konteks keseluruhan sejarah kehidupannya.

Demikianlah kebimbangan seorang bernama Wahab terhadap masa depan negara yang dicintainya. Dia bimbang melihat rakyat Malaysia yang mendabik dada hendak menegakkan kebenaran di tanah tumpah darahnya tetapi hanya merujuk sumber peperangan blog atau laman-laman sosial yang tidak mengetengahkan bagaimana sesuatu pendirian itu dibina.

Wahab tidak pernah takut dengan perubahan sebaliknya dia bimbang perubahan dibawa tidak ditegakkan di atas lantai kukuh dan dengan itu panji-panji kebenaran yang akan ditegakkan akan mudah rebah. Setelah rebah, panji-panji lain dicari lagi dalam kegelapan yang panjang dan tidak berkesudahan.

Sambil terkenangkan nasib kerjaya Wahab, teringat saya dan beliau dulu selalu berbincang untuk memahami maksud Wawasan 2020 Dr. Mahathir Mohamad yang menyebutkan, antara lain, ‘Malaysia hendaklah melahirkan masyarakat saintifik’ dan ‘maju dengan acuan sendiri’.

Apakah masyarakat saintifik memadai jika ditafsir sebagai melahirkan sebanyak mungkin graduan dalam bidang sains dan bolehkah Malaysia maju dengan acuan sendiri yang ditegakkan di luar konteksnya melalui tafsiran kebenaran dan kebebasan yang diimport? Atau, dia lebih dari itu.

Adakah nasib Wahab ditentukan oleh proses saintifik atau oleh kebenaran mengikut tradisi ilmu dan dalam konteksnya? Biarlah begitu kerana Wahab tidak penting.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za‘ba,
Universiti Pendidikan Sultan Idris