Friday, November 19, 2010

KENANGAN ZAMAN DULU

Bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO, seorang pejuang UMNO veteran menceritakan kepada saya kisah peribadi beliau sewaktu tanahair berada di bawah penjajahan Jepun.

Beliau tinggal berjiran dengan sebuah keluarga Cina di Sg Burung, Pekan Nanas, Pontian. Sudah pasti tentera Jepun mencari orang-orang Cina di Tanah Melayu waktu itu lantaran persengketaan Cina-Jepun dari negara asal mereka.

Sebagai persediaan menanti kedatangan askar Jepun, keluarga Melayu tersebut telah meminjamkan beberapa buah songkok kepada keluarga Cina jirannya sebagai tipu helah.

Apabila askar Jepun datang, soalan mereka hanya satu: "Merayu Cina?" Maksudnya "Kamu orang Melayu atau Cina?" Rupanya askar Jepun boleh ditipu hinggakan mereka tidak dapat membezakan antara orang Melayu dengan orang Cina yang memakai songkok. Maka terlepaslah keluarga Cina itu daripada siksaan.

Merasa terhutang budi dengan pertolongan yang telah diberikan oleh keluarga Melayu, ketua keluarga Cina tersebut berkata (pastinya dalam pelat orang Cina):"Nanti satu masa kalau orang Cina perintah ini Malaya, awak dan keluarga awak saya jamin akan selamat."

Ada dua perkara yang saya lihat di sini. pertama orang Cina sejak dari dulu lagi memang ada niat untuk perintah negara ini dan kedua mungkinkah orang Melayu tidak akan selamat bila negara ini diperintah oleh orang bukan Melayu hinggakan jaminan keselamatan hanya diberikan kepada keluarga Melayu itu sahaja atas jasanya menyelamatkan mereka dari kekejaman tentera Jepun? Dan terbuktikah kenyataan ini apabila ramai orang Melayu yang disiksa termasuk dirogol serta hidup dalam ketakutan dalam jangkamasa hanya 14 hari Parti Komunis Malaya (PKM) menguasai tanahair.

KISAH CHEF WAN

Saya mendengar ceramah dari pensyarah salah sebuah kolej maritim yang diadakan di sebuah institusi pendidikan.

Antara pengajaran yang dapat saya simpulkan ialah bagaimana kemahiran mencatat sangat penting bagi tujuan mengurus maklumat yang kita perolehi.

Kebanyakan rakyat Malaysia mengenali Chef Wan sebagai seorang chef, pengajar masakan dengan pelbagai resipi menarik dan kini telah melangkah lebih hebat sebagai seorang selebriti dunia hiburan selain selebriti dunia masakan.

Pengalaman kerjaya Chef Wan sebagai seorang kelas kapal yakni dalam bidang maritim telah dimanfaatkan dengan sebaiknya berdasarkan minatnya dalam bidang masakan.

Beliau telah mendapatkan resipi dari setiap negara yang dilawati dan kemudian dikumpulkan ke dalam buku catatan. Buku catatan tersebut telah memuatkan sebanyak 1500 resipi makanan dari seluruh negara di dunia yang menyebabkan sukar untuk ditandingi oleh mana-mana chef yang ada dengan tidak menafikan kehebatan chef yang ada seperti Chef Ismail sebagai contoh yang memiliki keistimewaan tersendiri.

Iktibar dari kisah chef Wan ialah:

  1. Kita boleh kembangkan minat kita dalam apa juga bidang yang lain dari profession seperti contoh Chef Wan seorang kelasi yang meminati bidang masakan sehingga berjaya membina karier yang mendatangkan pulangan yang sangat menguntungkan.
  2. Fokus sangat penting dalam apa juga bidang yang kita ceburi. Kesungguhan Chef wan berusaha mempelajari resipi yang pelbagai menyebabkan beliau memperuntukan masa bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan.
  3. Beliau berjaya mengurus maklumat hinggakan sebanyak 1500 resipi dari seluruh dunia berjaya disimpan sebagai koleksi dan kemudian dikembangkan kepada peminat dunia masakan.
  4. Disiplin diri dan tekun mengumpul maklumat telah membawa kejayaan kepada Chef Wan dan sepetutnya menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya
  5. Penentuan matlamat penting dibuktikan melalui kesungguhan Chef Wan menentukan objektif untuk muncul sebagai “pakar” masakan yang mampu mencurah ilmu dalam bidang yang menjadi minat beliau.
  6. Pengurusan masa sangat penting kerana mungkin hanya beberapa resipi sahaja dari semua tempat yang dsinggahi namun bila dikumpulkan telah menjadi jumlah yang meningkat ke angka 1500 jenis resipi.
  7. Manfaatkan masa lapang sebaiknya. Beliau memanfaatkan masa senggang beliau sebagai kelasi yang mungkin hanya 10% sahaja daripada keseluruhan masa beliau yang sibuk dengan tugasan lain hingga berjaya melakar kejayaan.
  8. Kadangkala perkara yang “minor” dalam agenda hidup kita mampu memberi kejayaan yang lebih daripada perkara “major” yang kita sangkakan.
  9. Sebarang usaha yang baik dan halal insya Allah akan diberkati Allah s.w.t.

Semoga kisah Chef Wan ini mampu merangsang kreativiti dan membantu kita dalam menetapkan matlamat kejayaan dalam hidup. Tetapkan matlamat dan jadilah orang yang fokus dalam apa sahaja bidang kita.

INDOKTRINASI FAHAMAN POLITIK

Saya dimaklumkan oleh seorang veteran UMNO mengenai satu peringatan yang disebut oleh Hj Shafie Daud, seorang aktivis UMNO Terengganu pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, MB Terengganu.

Beliau telah mengingatkan sekiranya orang UMNO Terengganu tidak bekerja bersungguh-sungguh maka negeri Terengganu boleh jatuh ke tangan PAS pada bila-bila masa sahaja.

Beberapa tahun kemudian, PAS telah berjaya menubuhkan kerajaan membuktikan dan mengesahkan peringatan yang telah diberikan sebelumnya.

Apa yang terlintas di fikiran saya ialah Hj Shafie Daud telah memerhatikan bagaimana usaha yang telah dilakukan oleh ahli PAS Terengganu bagi mengembangkan pengaruh mereka. Ahli-ahli PAS telah melakukan indoktrinasi fahaman politik kepada anak-anak mereka sejak dari bangku tadika lagi melalui penubuhan PASTI. Ibubapa PAS faham benar akan matlamat tadika mereka dan mungkin mereka tidak akan kecewa kalau ditakdirkan anak mereka tidak dapat mencapai kemahiran tertentu berbanding tadika yang lain kerana sememangnya mereka mahu anak mereka menjadi penyokong dan pengikut setia kepada parti mereka.

Anak-anak diasuh memakai pakaian seragam atau jubah seragam dengan kopiah hijau putih umpama lambang parti, daripada pakaian, cara bercakap,cara berjalan, cara melihat kepada pemimpin negara dan isu negara hinggakan anak-anak kecil sudah dilatih bercakap bahawa hanya PAS sahaja yang memperjuangkan Islam dan bukan mana-mana parti lain. Anak-anak ini dididik dengan kata-kata bahawa Malaysia bukan negara Islam dengan hujjah-hujjah yang diperdengarkan kepada mereka. Mereka terus mengawal bagi memastikan parti UMNO akan menemui kekalahan dalam semua pilihan raya.

Bagaimana pula proses indoktrinasi UMNO dalam kalangan masyarakat Melayu sedangkan PRU 13 hanya lebihkurang satu setengah tahun sahaja lagi? Sempatkah ditubuhkan tadika UMNO, sekolah perlembagaan, universiti pemikiran UMNO dan macam-macam lagi? Kita telah pun ada Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir di UUM..

ULAMA KERJA KERAJAAN

Siapakah ulama? Saya tidak berminat untuk membuka ruang perbincangan bagi membahaskan takrif ulama seperti ingin membuat thesis Masters mahupun Ph.D.

Apa yang ingin saya sebutkan ialah ada golongan lulusan agama yang dilantik sebagai pegawai atau penjawat awam di negara kita. Maksud penjawat awam ialah mereka yang bekerja dengan kerajaan bagi manfaat dan faedah awam iaitu pengundi kepada kerajaan yang telah membantu dalam pembentukan sesebuah kerajaan samada di peringkat persekutuan atau kerajaan negeri. Walaupun mereka tidak mengundi calon atau parti yang berjaya membentuk kerajaan, mereka tetap tertakluk kepada peraturan sebagai pegawai awam yang termaktub dalam Perintah Am.

Masalahnya di sini ialah tuduhan kepada golongan agama yang menjadi mufti, kadi, pegawai JAKIM termasuk juga para asatizah wal ustazat yang melata di seluruh negara yang gagal menasihati pihak pemerintah atas dosa dan maksiat peringkat persekutuan serta juga maksiat dan dosa peringkat negeri. Ini juga termasuk dosa dan maksiat yang ditampilkan dalam pelbagai upacara di peringkat universiti dan institusi pendidikan yang lain samada melalui aktiviti sukan dan lebih-lebih lagi aktiviti kebudayaan dalam organisasi perkhidmatan mereka.

Saya seperti biasa tidak mahu membela ataupun menyebelahi mana-mana pihak dalam isu ini. Saya hanya akan menceritakan pengalaman saya sebagai seorang pegawai awam persekutuan.

Saya mulakan dengan majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Dalam satu majlis Sambutan Kemerdekaan peringkat negeri, seperti lazimnya majlis didahului dengan bacaan doa. Selepas itu, persembahan nasyid disaksikan oleh para hadirin. Apabila zapin mengambil tempat memeriahkan majlis, mufti yang membaca doa sebelumnya kelihatan meninggalkan pentas VIP dan nasib baik pentas di dataran itu terbuka maknanya tidak di dalam dewan yang tertutup. Sekiranya tidak mungkin “kehilangan” ulama itu akan lebih terserlah.

Saya berselisih dengan seorang pegawai kanan negeri yang kebetulan berselisih dengan saya menyebut,” Tadi dah elok pakai tudung (sekarang) dah bukak pulak!”

Dalam sebuah ceramah kepada penggerak masyarakat seluruh negeri, seorang mufti menyebutkan dengan ikhlas menegur ahli-ahli pergerakan Puteri UMNO yang tidak memakai pakaian yang menutup aurat. Beliau berkata adalah sangat memalukan negara kita yang sudah mengisytihar sebagai sebuah Negara Islam tetapi akhlak dan penampilan Puteri UMNO (bukan semua) tidak menunjukkan sebagai mereka yang berpersonaliti Muslimah Mukminah Salehah.

Seorang sahabat pensyarah kanan yang menjawat jawatan Pengarah Pusat Islam di salah sebuah universiti menyebutkan beliau pernah menyuarakan hasrat untuk tidak membaca doa dalam majlis yang terdapat unsur maksiat di dalamnya. Sekiranya ada slot program yang berunsur sedemikian, beliau mencadangkan supaya diadakan selepas majlis perasmian iaitu setelah beliau selaku pembaca doa sudah beredar meninggalkan majlis.

Kerja “menasihat” pemimpin dan seterusnya kerajaan dilakukan dalam keterbatasan waktu, kesempitan kuasa dan kekurangan pengaruh dan pelbagai rintangan dan cabaran dalam melaksanakannya.

Teringat saya dalam Hikayat Pelayaran Abdullah Munsyi ke Pantai Timur ketika ditawarkan jawatan kadi atau penasihat agama kepada Sultan oleh Tengku Temena:

“Berkawan dengan raja ini seperti berkawan dengan ular, salah sedikit maka dipagutnya biji mata.” (Dengan sedikit penyesuaian).

Nasib ulama juga mungkin boleh terjadi sepertimana ke atas Tun Jana Khatib yang darahnya menitik di Singapura namun jasadnya terhantar ke Langkawi.

Sama-sama lah kita bersaha untuk melaksanakan peranan kita samada dari dalam mahupun dari luar “pengaruh istana” meminjam istilah zaman feudal Melayu.

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA DAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA

Kepada semua pelajar SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, Pontian yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan STPM, saya doakan agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang dan berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Tuesday, May 18, 2010

DOA MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL SEMPENA HARI GURU 2010

Segala puji dan puja hanya layak bagi Mu Ya Allah. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w. tokoh guru pendidik ummah tiada tandingan sepanjang zaman.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kami berhimpun pada pagi ini menyatakan kesyukuran kami kepada Mu atas segala nikmat kurniaan Mu yang tidak ternilai.

Ya Fattah Ya Alim

Dengan keizinan Mu kami dapat bersama-sama membaca Surah Yasin, kami akui kebesaran Mu dengan kalimah Takbir, memuji Mu dengan kalimah Tahmid, mengulangi menyebut kesucian Mu dengan bertasbih. Ucapan Tahlil yang kami hidup dan mati dengannya La Ilaha Illa Allah kami lafazkan dengan penuh keinsafan.

Ya Aziz Ya Jabbar

Sekiranya bacaan kami melayakkan kami mendapat pahala, kami hadiahkan pahala bacaan kami berserta dengan ganjaran yang kami perolehi kepada guru-guru kami yang telah mendahului kami menyahut panggilan berada di sisi Mu.

Ya Zal Fadhli Wal Ihsan

Sesungguhnya guru-guru kami telah banyak menabur bakti, mendidik kami sepenuh hati, memberi harapan kepada kami walaupun kami kadangkala seumpama tidak menghargai. Namun guru tetap menyampaikan ilmu dengan mengenepikan rasa jemu, terguris hatinya tiada siapa yang tahu. Oleh itu, Engkau ampunkan dosa-dosa kami sekiranya kami pernah menyakiti hati guru kami dan lembutkan hati mereka agar memaafkan kami.

Ya Zal Jalali wal Ikram

Kepada guru-guru kami yang masih berkhidmat, kami mohon kepada Mu Ya Allah, sekiranya sewaktu melaksanakan amanah perguruan, kami tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat kepada pelajar kami, tersasar dari landasan kebenaran, tersilap dalam mentafsir fakta, tidak mampu menarik perhatian pelajar yang menjadi tugas utama profession kami, kurang berjaya menyediakan suasana yang kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran, kami beristighfar mohon keampunan dan berilah kekuatan agar kami mampu melakukan penambahbaikan. Amanah yang terpikul ke atas bahu kami, kami telah cuba sedaya upaya melaksanakannya dan kami sandarkan pengharapan supaya keikhlaan kami akan dapat menyelamatkan kami dari azab api neraka.

Akhirnya Ya Allah selamatkanlah guru-guru kami, anak-anak murid kami dan institusi pendidikan negara keseluruhannya. Martabatkanlah profession perguruan agar dihormati oleh masyarakat.

DOA RASMI JABATAN PELAJARAN JOHOR

DOA HARI GURU 2010M/1431H

Segala puji hanya untuk-Mu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekelian.

Bersempena dengan Sambutan Hari Guru yang penuh keberkatan ini. Kami merafakkan rasa kesyukuran kepadaMu ya Allah kerana mengizinkan kami meraikan Hari Guru bagi tahun 2010m/1431H dengan tema “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Ya Allah, ya Rahim wa ya Ghaffar,

Wahai Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Kami menadah tangan dengan penuh keinsafan dan kehambaan, memohon keampunan kehadratMu, agar Engkau ampunkan dosa-dosa kami dan dosa guru-guru kami samada yang masih hidup atau yang telah kembali kepangkuanMu. Limpahkanlah taufiq dan hidayah kepada kami dan guru-guru kami agar sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan inayahMu. Kurniakan mereka rezeki yang luas, keimanan yang teguh, ketaqwaan yang tinggi serta kebaikan di dunia dan di akhirat. Berkatilah segala rezeki yang telah Engkau curahkan kepada mereka dan berikanlah keberkatan kepada ahli keluarga serta zuriat keturunan mereka.

Ya Rahman ya Rahim,

Anugerahkanlah kesihatan, kesejahteraan, keikhlasan, kekuatan dan kecekalan kepada para pendidik. Jadikanlah mereka para guru yang berdaya saing dalam mendidik dan mengasuh para
pelajar kami. Kami juga memohon kehadratMu Ya Allah, agar hasrat dan cita-cita kami melahirkan modal Insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial akan tercapai dengan berkat usaha gigih guru-guru kami.

Ya Allah, Ya Fatah,

Anugerahkanlah guru-guru kami sifat sentiasa berlapang dada menerima dan menjalankan tugas membangunkan anak bangsa. Tanamkan semangat keikhlasan dan kejujuran di kalangan mereka dan balaslah segala kejujuran dan keikhlasan ini dengan ganjaran yang tinggi di dunia dan akhirat.