Friday, November 19, 2010

ULAMA KERJA KERAJAAN

Siapakah ulama? Saya tidak berminat untuk membuka ruang perbincangan bagi membahaskan takrif ulama seperti ingin membuat thesis Masters mahupun Ph.D.

Apa yang ingin saya sebutkan ialah ada golongan lulusan agama yang dilantik sebagai pegawai atau penjawat awam di negara kita. Maksud penjawat awam ialah mereka yang bekerja dengan kerajaan bagi manfaat dan faedah awam iaitu pengundi kepada kerajaan yang telah membantu dalam pembentukan sesebuah kerajaan samada di peringkat persekutuan atau kerajaan negeri. Walaupun mereka tidak mengundi calon atau parti yang berjaya membentuk kerajaan, mereka tetap tertakluk kepada peraturan sebagai pegawai awam yang termaktub dalam Perintah Am.

Masalahnya di sini ialah tuduhan kepada golongan agama yang menjadi mufti, kadi, pegawai JAKIM termasuk juga para asatizah wal ustazat yang melata di seluruh negara yang gagal menasihati pihak pemerintah atas dosa dan maksiat peringkat persekutuan serta juga maksiat dan dosa peringkat negeri. Ini juga termasuk dosa dan maksiat yang ditampilkan dalam pelbagai upacara di peringkat universiti dan institusi pendidikan yang lain samada melalui aktiviti sukan dan lebih-lebih lagi aktiviti kebudayaan dalam organisasi perkhidmatan mereka.

Saya seperti biasa tidak mahu membela ataupun menyebelahi mana-mana pihak dalam isu ini. Saya hanya akan menceritakan pengalaman saya sebagai seorang pegawai awam persekutuan.

Saya mulakan dengan majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Dalam satu majlis Sambutan Kemerdekaan peringkat negeri, seperti lazimnya majlis didahului dengan bacaan doa. Selepas itu, persembahan nasyid disaksikan oleh para hadirin. Apabila zapin mengambil tempat memeriahkan majlis, mufti yang membaca doa sebelumnya kelihatan meninggalkan pentas VIP dan nasib baik pentas di dataran itu terbuka maknanya tidak di dalam dewan yang tertutup. Sekiranya tidak mungkin “kehilangan” ulama itu akan lebih terserlah.

Saya berselisih dengan seorang pegawai kanan negeri yang kebetulan berselisih dengan saya menyebut,” Tadi dah elok pakai tudung (sekarang) dah bukak pulak!”

Dalam sebuah ceramah kepada penggerak masyarakat seluruh negeri, seorang mufti menyebutkan dengan ikhlas menegur ahli-ahli pergerakan Puteri UMNO yang tidak memakai pakaian yang menutup aurat. Beliau berkata adalah sangat memalukan negara kita yang sudah mengisytihar sebagai sebuah Negara Islam tetapi akhlak dan penampilan Puteri UMNO (bukan semua) tidak menunjukkan sebagai mereka yang berpersonaliti Muslimah Mukminah Salehah.

Seorang sahabat pensyarah kanan yang menjawat jawatan Pengarah Pusat Islam di salah sebuah universiti menyebutkan beliau pernah menyuarakan hasrat untuk tidak membaca doa dalam majlis yang terdapat unsur maksiat di dalamnya. Sekiranya ada slot program yang berunsur sedemikian, beliau mencadangkan supaya diadakan selepas majlis perasmian iaitu setelah beliau selaku pembaca doa sudah beredar meninggalkan majlis.

Kerja “menasihat” pemimpin dan seterusnya kerajaan dilakukan dalam keterbatasan waktu, kesempitan kuasa dan kekurangan pengaruh dan pelbagai rintangan dan cabaran dalam melaksanakannya.

Teringat saya dalam Hikayat Pelayaran Abdullah Munsyi ke Pantai Timur ketika ditawarkan jawatan kadi atau penasihat agama kepada Sultan oleh Tengku Temena:

“Berkawan dengan raja ini seperti berkawan dengan ular, salah sedikit maka dipagutnya biji mata.” (Dengan sedikit penyesuaian).

Nasib ulama juga mungkin boleh terjadi sepertimana ke atas Tun Jana Khatib yang darahnya menitik di Singapura namun jasadnya terhantar ke Langkawi.

Sama-sama lah kita bersaha untuk melaksanakan peranan kita samada dari dalam mahupun dari luar “pengaruh istana” meminjam istilah zaman feudal Melayu.

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA DAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA

Kepada semua pelajar SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, Pontian yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan STPM, saya doakan agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang dan berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Tuesday, May 18, 2010

DOA MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL SEMPENA HARI GURU 2010

Segala puji dan puja hanya layak bagi Mu Ya Allah. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w. tokoh guru pendidik ummah tiada tandingan sepanjang zaman.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kami berhimpun pada pagi ini menyatakan kesyukuran kami kepada Mu atas segala nikmat kurniaan Mu yang tidak ternilai.

Ya Fattah Ya Alim

Dengan keizinan Mu kami dapat bersama-sama membaca Surah Yasin, kami akui kebesaran Mu dengan kalimah Takbir, memuji Mu dengan kalimah Tahmid, mengulangi menyebut kesucian Mu dengan bertasbih. Ucapan Tahlil yang kami hidup dan mati dengannya La Ilaha Illa Allah kami lafazkan dengan penuh keinsafan.

Ya Aziz Ya Jabbar

Sekiranya bacaan kami melayakkan kami mendapat pahala, kami hadiahkan pahala bacaan kami berserta dengan ganjaran yang kami perolehi kepada guru-guru kami yang telah mendahului kami menyahut panggilan berada di sisi Mu.

Ya Zal Fadhli Wal Ihsan

Sesungguhnya guru-guru kami telah banyak menabur bakti, mendidik kami sepenuh hati, memberi harapan kepada kami walaupun kami kadangkala seumpama tidak menghargai. Namun guru tetap menyampaikan ilmu dengan mengenepikan rasa jemu, terguris hatinya tiada siapa yang tahu. Oleh itu, Engkau ampunkan dosa-dosa kami sekiranya kami pernah menyakiti hati guru kami dan lembutkan hati mereka agar memaafkan kami.

Ya Zal Jalali wal Ikram

Kepada guru-guru kami yang masih berkhidmat, kami mohon kepada Mu Ya Allah, sekiranya sewaktu melaksanakan amanah perguruan, kami tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat kepada pelajar kami, tersasar dari landasan kebenaran, tersilap dalam mentafsir fakta, tidak mampu menarik perhatian pelajar yang menjadi tugas utama profession kami, kurang berjaya menyediakan suasana yang kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran, kami beristighfar mohon keampunan dan berilah kekuatan agar kami mampu melakukan penambahbaikan. Amanah yang terpikul ke atas bahu kami, kami telah cuba sedaya upaya melaksanakannya dan kami sandarkan pengharapan supaya keikhlaan kami akan dapat menyelamatkan kami dari azab api neraka.

Akhirnya Ya Allah selamatkanlah guru-guru kami, anak-anak murid kami dan institusi pendidikan negara keseluruhannya. Martabatkanlah profession perguruan agar dihormati oleh masyarakat.

DOA RASMI JABATAN PELAJARAN JOHOR

DOA HARI GURU 2010M/1431H

Segala puji hanya untuk-Mu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekelian.

Bersempena dengan Sambutan Hari Guru yang penuh keberkatan ini. Kami merafakkan rasa kesyukuran kepadaMu ya Allah kerana mengizinkan kami meraikan Hari Guru bagi tahun 2010m/1431H dengan tema “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Ya Allah, ya Rahim wa ya Ghaffar,

Wahai Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Kami menadah tangan dengan penuh keinsafan dan kehambaan, memohon keampunan kehadratMu, agar Engkau ampunkan dosa-dosa kami dan dosa guru-guru kami samada yang masih hidup atau yang telah kembali kepangkuanMu. Limpahkanlah taufiq dan hidayah kepada kami dan guru-guru kami agar sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan inayahMu. Kurniakan mereka rezeki yang luas, keimanan yang teguh, ketaqwaan yang tinggi serta kebaikan di dunia dan di akhirat. Berkatilah segala rezeki yang telah Engkau curahkan kepada mereka dan berikanlah keberkatan kepada ahli keluarga serta zuriat keturunan mereka.

Ya Rahman ya Rahim,

Anugerahkanlah kesihatan, kesejahteraan, keikhlasan, kekuatan dan kecekalan kepada para pendidik. Jadikanlah mereka para guru yang berdaya saing dalam mendidik dan mengasuh para
pelajar kami. Kami juga memohon kehadratMu Ya Allah, agar hasrat dan cita-cita kami melahirkan modal Insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial akan tercapai dengan berkat usaha gigih guru-guru kami.

Ya Allah, Ya Fatah,

Anugerahkanlah guru-guru kami sifat sentiasa berlapang dada menerima dan menjalankan tugas membangunkan anak bangsa. Tanamkan semangat keikhlasan dan kejujuran di kalangan mereka dan balaslah segala kejujuran dan keikhlasan ini dengan ganjaran yang tinggi di dunia dan akhirat.

Thursday, April 22, 2010

DOA SEMPENA PROGRAM PERTEMUAN GURU DAN IBUBAPA PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Ya Allah Penguasa langit dan bumi

Kami merafakkan kesyukuran atas keizinan Mu dapat kami menghadirkan diri dalam program pertemuan guru bersama ibubapa pelajar berkeperluan khas pada hari ini hingga ke akhirnya dengan jaya.

Ya Allah bagi Mu segala pujian

Kurniakan kami lisan yang lembut dan basah untuk sentiasa menyebut nama Mu agar kami terus mengingati dan mensyukuri nikmat Mu serta badan yang sihat untuk menunaikan segala titah perintah Mu.

Kembangkan lembayung dan gelombang rahmat Mu kepada anak-anak didik kami pelajar berkeperluan khas khususnya dan pelajar-pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), ibubapa mereka, guru-guru dan sahabat-sahabat seperjuangan yang saban hari berusaha memberikan penjagaan dan pendidikan bermutu kepada mereka.

Pada ketika dan saat ini, kami hulurkan tangan kehambaan yang penuh noda dan dosa serta menadah tangan penuh dengan pengharapan. Sesungguhnya kami berlumuran dengan dosa, maka ampunkanlah dosa-dosa kami. Sesungguhnya kami lemah dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dengan Islam dalam amal jamaie dan kolektif. Sesungguhnya dalam menjaga keselamatan dan memberikan didikan yg sempurna kepada anak-anak didik kami pelajar berkeperluan khas, kesabaran kami punya batasnya maka kurniakan kami nikmat kesabaran dalam mendidik mereka sebagaimana sabarnya Rasul-rasul dari kalangan Ulul Azmi. Sesungguhnya kami amat cenderung untuk mengutamakan diri kami sendiri maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan anak-anak didik kami sebagamana kekasih Mu Nabi Muhammad s.a.w. mendidik para sahabat berbuat demikian. Sesungguhnya juga hati kami sentiasa berbolak-balik dan bercerai- berai maka satukan hati-hati kami dan berilah ruang dan masa untk kami bantu membantu dalam melakukan usaha-usaha kebaikan dalam menegakkan amar makruf dan nahi munkar.

Akhirnya Ya Allah, Engkau berkatilah pelajar-pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan berilah pertolongan agar mereka juga dapat menikmati kehidupan yang bermakna sepertimana insan-insan yang lain.







Tuesday, February 23, 2010

DOA HARI SUKAN


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kami berhimpun pada petang ini keranaMu untuk mengisi seluruh ruang hidup
kami dengan ibadah kepadaMu sesuai dengan
firman Mu yang mulia :
.
Yang mafhumnya “Sesungguhnya solatku , ibadahku , hidupku , dan matiku
semata-mata hanya untuk Mu ya Allah”.

Ya Allah Ya Aziz Ya Jabbar

Sejahterakanlah penglihatan kami, sejahterakanlah pendengaran kami, sejahterakanlah tubuh badan kami ,
agar kami dapat menjalankan aktiviti pada
hari ini dengan lancar dan sempurna serta terpelihara daripada sebarang
kecederaan dan bahaya.

Ya Allah Ya Hayyun Ya Qayyum

Jadikanlah para peserta temasya pada hari ini bersungguh-sungguh dalam perlumbaan, berlumba-lumba mencari kemenangan, bekerjasama secara erat dalam pasukan, dengan semangat kental kesukanan, bagi meraih reda Tuhan, kerana umat Islam yg gagah lebih disayangi dari umat Islam yang lemah, supaya ibadat dapat disempurnakan, semangat jihad dapat ditegakkan agar syariat Ilahi dapat dipertahankan.

Ya Allah Ya Farijal Hammi wa Ya Kasyifal Ghammi

Sekiranya kami telah menyebabkan kemurkaan Mu sepanjang program ini, kami mohon ampun kepada Mu Ya Allah kerana hanya Engkaulah sahaja yang layak mengampunkan dosa hamba Mu.

Berkatilah usaha-usaha kami , mudah-mudahan (dengan usaha-usaha kami)
akan lahir pelajar-pelajar yang
berjaya dalam aspek akademik mahupun kokurikulum
di dunia dan juga di akhirat .
ا

Sunday, February 7, 2010

DAILOG DI GUNUNG PULAI

Hari ini pagi-pagi lagi saya dan keluarga menuju ke Air Terjun Gunung Pulai yang telah dibuka semula setelah ditutup akibat runtuhan beberapa tahun lalu.

Sambil berjalan menuju ke air terjun, kami bertegur sapa dengan beberapa orang yang kebanyakannya kaum Cina. Mereka begitu ramah dan mengucapkan "Selamat Pagi" lalu saya pun bertanya, "Dari mana boss? Singapura?"

Seorang menjawab, "Lagi jauh...negara Cina." Saya pun terfikir..kenapakah dia menjawab begitu..

Apakah ada kaitan dengan isu terbaru negara...?